SAYA mewakili ibu saya yang berumur 43 tahun. Kali terakhir dia melahirkan anak tiga tahun lalu menerusi pembedahan.
Baru-baru ini, ibu saya menyatakan dia berasa peranakannya seolah-olah jatuh, tetapi ibu tidak berasa sakit.
Adakah seseorang yang mengalami keadaan peranakan jatuh berasa sakit? Ada jiran memberitahu jika peranakan jatuh, wanita itu berasa sakit. Ibu saya bekerja kuat dan biasanya dia perlu mencangkung ketika bekerja.
Selain daripada berurut tradisional, adakah sebarang ubat tradisional yang boleh diambil untuk menangani masalah peranakan jatuh?
Akma,
Kuala Lumpur
PERANAKAN jatuh lebih dikenali sebagai prolaps uterus atau rahim. Ia dapat disahkan melalui pemeriksaan doktor secara membandingkan aras pangkal rahim dan rahim relatif kepada petanda aras tertentu pada bahagian pelvis bawah.
Prolaps uterus yang teruk boleh dikenal pasti secara melihat bahagian rahim yang menonjol keluar daripada pintu kemaluan. Prolaps minor pula memerlukan doktor memasukkan jari atau alat spekulum.
Prolaps bermakna otot lantai yang menampung berat rahim tidak lagi utuh. Ini disebabkan tekanan dalam abdomen yang tinggi secara kronik, contohnya bilangan kehamilan atau kelahiran yang lebih banyak, bayi bersaiz besar, batuk berpanjangan dan mengangkat barang berat.
Jika ia berlaku, ini tidak dapat disembuhkan dengan memakan ubat, teknik ataupun berurut kerana otot lantai terbabit sudahpun melendut sehingga rahim di atasnya turut ‘turun’. Bukan saja rahim, pundi kencing dan usus juga boleh ‘turun’.
Ramai wanita yang mengalami prolaps rahim selepas bersalin, tetapi hanya prolaps peringkat pertama saja dan ini tidak membimbangkan.
Senaman boleh menguatkan otot. Wanita digalakkan mengamalkan senaman kegel. Sama penting adalah untuk mengurangkan tekanan dalam abdomen secara berlebihan dan berterusan yang boleh berlaku apabila kegemukan, batuk berpanjangan, mengangkat barang berat, kehamilan, kelahiran bayi besar serta kelahiran dalam bilangan yang banyak.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan