Label

KHUATIR ANTIBIOTIK JEJAS KANDUNGAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 26 tahun dan kini hamil anak pertama. Baru-baru ini saya mengalami sakit bahagian ari-ari seperti peranakan saya hendak jatuh. Setelah berjumpa doktor, saya diberitahu mengalami jangkitan air kencing.

Doktor ada memberi saya antibiotik tetapi saya khuatir ia akan memberi kesan kepada bayi saya. Bolehkah saya mengambil antibiotik terbabit? Apakah kesannya jika saya tidak mengambilnya?

Milah,
Johor Bahru, Johor

JAWAPAN


JANGKITAN air kencing lazimnya membabitkan pundi kencing. Ia lebih kerap berlaku pada wanita memandangkan organ uretra wanita (saluran kencing yang menghubungkan pundi kencing ke luar) lebih pendek iaitu sekitar 4 sentimeter (sm) berbanding lelaki (sekitar 10 sm).

Ini menyebabkan kuman dari bahagian luar kemaluan lebih mudah dan cepat untuk memasuki pundi kencing wanita. Pembiakan kuman di dalam pundi kencing juga lebih senang berlaku jika ia berada untuk jangka masa lebih lama (misalnya dalam keadaan seseorang yang gemar menahan kencing).

Tambahan pula, perubahan hormon kehamilan sendirinya menyebabkan berlakunya ‘stasis’ air kencing (aliran air kencing menjadi perlahan dan menggalakkan pembiakan kuman di dalamnya).

Jangkitan air kencing lazimnya tidak membahayakan bayi. Namun bagi wanita hamil, saluran kencing uretra yang mengembang menyebabkan kuman mudah menaiki lebih atas sehingga ke bahagian buah pinggang dan menyebabkan komplikasi teruk kepada wanita ini seperti pyelonephritis. Atas sebab inilah, jangkitan air kencing terutama sewaktu hamil perlu dirawat.

Ujian air kencing mudah (secara pemeriksaan menggunakan mikroskop) boleh diketahui pada hari yang sama manakala ujian kultur air kencing dapat mengesan jenis kuman dan antibiotik bersesuaian namun ia memerlukan masa beberapa hari. Lazimnya doktor memberikan ubat antibiotik yang sudah lama digunakan dalam wanita hamil.

Selain itu, beberapa amalan dapat mengelak atau mempercepatkan penyembuhan jangkitan air kencing seperti:

- Banyak meminum air. Ini menyebabkan seseorang lebih kerap membuang air kencing dan kuman yang berada di dalamnya keluar sebelum ia lebih membiak lagi

- Tidak menahan kencing.

- Mengelap kemaluan dari arah hadapan ke belakang. Ia mengurangkan kemungkinan kuman dari dubur untuk ke hadapan dan memasuki uretra.

- Mengambil rawatan jika mengalami keputihan. Kuman keputihan seperti kulat Candidiasis juga boleh menjangkiti pundi kencing.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan