SAYA berusia 23 tahun dan sudah tiga tahun mendirikan rumah tangga serta mempunyai seorang cahaya mata. Dulu saya mengamalkan perancangan keluarga menerusi suntikan.
Tetapi saya sudah pun berhenti mengambil suntikan terbabit selama dua tahun. Saya ingin menimang cahaya mata cuma masih belum berhasil.
Adakah ia disebabkan pengambilan suntikan yang banyak sebelum ini? Apakah yang harus saya lakukan?
CONNIE,
Kuala Kurau, Perak
SUNTIKAN pencegah kehamilan mengandungi hormon progestin yang disuntik ke dalam otot yang bertindak sebagai tempat simpanan (depo) dan kemudian hormon ini dikeluarkan sedikit demi sedikit ke dalam aliran darah.
Kesan hormon progestin ini menyerupai hormon progesteron yang ada dihasilkan oleh badan. Ia bertindak secara:
- Menghalang pengeluaran telur (ovulasi).
- Menjadikan lendir pintu rahim pekat dan ini menyukarkan perjalanan sperma dari faraj ke dalam ruang rahim.
- Menyebabkan penipisan lapisan haid (endometrium) rahim sehingga menjadi tidak sesuai untuk perlekatan janin.
Melalui perkiraan, saya andaikan anda hanya mengambil suntikan ini untuk tempoh yang pendek saja memandangkan anda sudah pun dua tahun berhenti mengambilnya dan perkahwinan baru saja berusia tiga tahun dengan dikurniakan seorang anak.
Suntikan lazimnya diambil setiap lapan minggu (jenis mengandungi hormon norethisteron) atau 12 minggu (jenis mengandungi hormon DMPA depo medroxy-progesterone). Berkemungkinan suntikan bukanlah penyebab masalah kesuburan anda.
Bagaimanapun, memandangkan suntikan ini menyebabkan ketiadaan ovulasi, anda boleh memastikan sama ada anda mempunyai masalah ini melalui ujian darah paras hormon progesteron yang diambil pada sekitar seminggu sebelum haid berikut dijangka keluar.
Sekiranya keputusan menunjukkan anda mengalami ovulasi, berkemungkinan besar suntikan bukanlah punca masalah kesuburan anda.
Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan kesuburan dan rawatan bersesuaian. Usia anda yang masih muda memberi harapan tinggi untuk peluang rawatan berjaya.
Ini kerana pertambahan usia wanita memberi kesan negatif kepada kualiti telur yang dikeluarkan. Usah menunggu lebih lama.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan