Label

WANITA 40-an MUDAH TERKUCIL (KESIHATAN)

PADA usia 40-an, kebanyakan wanita mempunyai karier stabil, kehidupan lebih teratur dan anak yang makin membesar. Mereka lebih mantap dari segi emosi dan tahap keyakinan diri bertambah.

Detik itu benar-benar bermakna dalam hidup mereka kerana memiliki kehidupan ceria dan lebih tenang, sekali gus menyerlahkan aura positif.

Bagaimanapun, pada usia berkenaan, mereka juga mengalami perubahan fizikal dan kesihatan. Bangun pagi melihat cermin, terlihat kedutan di wajah menandakan usia semakin meningkat.

Mereka juga mula ingin menjalani pemeriksaan mamogram serta pemeriksaan kesihatan bagi mengenal pasti kemungkinan menghidap penyakit diabetes, darah tinggi mahupun tahap kolesterol tinggi.

Pada usia berkenaan juga, satu lagi masalah mungkin dihadapi iaitu lemah kawalan kencing (LUL) atau terkucil. Ramai menyangka masalah itu perkara normal tanpa berusaha menanganinya. Kesulitan dilalui dirahsiakan daripada pengetahuan orang lain kerana dianggap memalukan.

Akhirnya, masalah dibiarkan berlarutan dan wanita terbabit menghadapinya kerana menganggap ia sebagai sebahagian daripada proses kehidupan. Malah, ramai tidak tahu di mana mahu mendapatkan bantuan.

Pakar Psikologi dan Penolong Profesor Psikologi, Dr Hariyati Shahrima Abdul Majid berkata, ramai wanita tidak sedar keadaan itu boleh dirawat dengan pendekatan yang praktikal dan sederhana.

Menurutnya, semakin meningkat usia, kawalan terhadap pundi kencing semakin terjejas. Menghadapi LUL mengurangkan keupayaan untuk wanita terbabit bergerak, selain membataskan aktiviti seharian.

“Ini bermakna mereka hilang kemerdekaan. Mereka mungkin tidak dapat membuat keputusan mengenai ke mana mereka mahu pergi, apa yang mereka mahu lakukan. Katakan sebagai contoh, anda baru saja dijemput untuk memberi ceramah selama dua jam di atas pentas tetapi menolak pelawaan itu kerana tidak mampu melakukannya disebabkan tidak berupaya mengawal LUL.

“Kualiti hidup mereka terjejas dalam cara berbeza dan menjengkelkan. Jika masalah ini gagal ditangani dengan baik, mereka mungkin mengambil keputusan mengasingkan diri daripada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kempen ‘Menghadapi Realiti Kewanitaan dan Masalah Lemah Kawalan Kencing’ anjuran Poise.

Kempen itu disertai pakar sakit puan, Dr Seri Suniza Sufian dan juga pakar fisioterapi kesihatan wanita, Neng Shahidah Sabullah.

Hadir sama, Pengurus Jenama Kumpulan - Penjagaan Dewasa, Kimberly-Clark, (pengeluar produk Poise), Emily Chong dan Pengarah Pemasaran Kimberly-Clark, Soo Woon Yee dan duta produk Poise yang juga hos TV dan radio, pelakon dan pelawak, Raja Azura.

Kempen itu bertindak sebagai cara relevan untuk meningkatkan semangat wanita yang mengalami LUL untuk menerima kenyataan.

Selepas mengakuinya, mereka boleh mengambil langkah seterusnya untuk mengetahui lebih lanjut mengenai masalah itu dan merasa yakin untuk mengambil tindakan iaitu mendapatkan maklumat untuk menangani LUL dengan betul dan berkesan.

Dr Seri Suniza berkata, kebanyakan wanita menganggap kebocoran kecil sesuatu yang normal atau mereka mencuba kaedah salah seperti kurang minum air, membawa bersama banyak pakaian tambahan atau memakai tuala wanita biasa secara berterusan.

Bagaimanapun, katanya, langkah berkenaan tidak berkesan dan boleh memburukkan lagi kesihatan mereka.

“Hakikatnya, kaedah betul dalam menangani LUL adalah sangat mudah dan hanya memerlukan sedikit penyesuaian dalam kehidupan seharian seperti kerap melakukan senaman Kegel dan mengelak minuman dan makanan yang boleh merangsang pundi kencing.

“Selain itu, penting untuk menggunakan produk betul bagi menangani kebocoran yang mengejut. Ini akan membantu wanita berasa lebih selesa dan yakin serta menghalang keradangan kulit dan jangkitan yang boleh berlaku dengan mudah jika kulit terdedah kepada kelembapan secara berterusan,” katanya.

Kajian Malaysia Incontinence Usage and Attitudes 2010; Kimberly-Clark menunjukkan, masalah LUL yang dialami satu daripada empat wanita berusia 35 tahun ke atas sekurang-kurangnya sekali dalam seminggu adalah masalah yang diselubungi salah tanggapan, perasaan malu dan cara rawatan salah.

Soo berkata, tanpa pengetahuan dan maklumat tepat, ramai wanita akan terus bergantung kepada penyelesaian jangka pendek dan tidak berkesan untuk menyembunyikan masalah ini.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan