>> Pilih bidang kerja yang disukai, bijak dan cepat menyesuaikan diri
MENJALANI kehidupan seharian memerlukan anda membuat pilihan bijak sama ada dalam memilih kerjaya, membeli kereta atau rumah.
Membuat pilihan bijak memerlukan perancangan awal, menyelidiki apa yang terdapat di pasaran dan mengelak daripada membuat keputusan secara tergesa-gesa.
Kita mungkin sudah memperoleh pandangan, cadangan dan nasihat bagaimana
merancang dan menguruskan kewangan kita dari bab yang lepas. Apa yang perlu hanyalah untuk mengamalkan dalam kehidupan seharian kita.
Dalam apa pun pekerjaan yang diceburi atau dipilih, ia adalah pengalaman pertama yang akan seterusnya membentuk kerjaya kita.
Tidak kira apa yang kita pilih, pupuk minat dalam kerjaya yang diceburi dan
pastikan kita menyayangi dan menyenangi kerjaya itu.
Adalah lebih baik kalau kita mempunyai bakat dan kebolehan dalam bidang yang diceburi. Sebagai contoh, jika kita tidak menyukai matematik, jangan paksa diri kita menceburi bidang perakaunan.
Sebaliknya, jika kita suka berurusan dengan orang ramai, kerjaya dalam bidang jualan dan pemasaran mungkin bidang yang sesuai untuk diceburi.
Bukan sekadar gaji semata-mata
Peranan kerjaya amar besar dalam kehidupan kita. Jadi, kita perlu melakukannya dengan bersungguh-sungguh.
Kemajuan kerjaya akan menentukan kualiti hidup kita. Oleh itu, rancang kerjaya kita dengan betul.
Ingatlah! Setiap kali kita bertukar pekerjaan, pastikan ia adalah langkah positif terhadap peningkatan kerjaya serta meluaskan potensi kita untuk terus berjaya, bukan hanya setakat meningkatkan kapasiti pendapatan (gaji) semata-mata.
Walau apapun pekerjaan pertama kita, gunakan pengalaman itu sebagai pengajaran asas untuk menjalani kehidupan di mana-mana tempat bekerja.
Tingkatkan kemahiran komunikasi, baik dalam bentuk tulisan mahupun percakapan kerana mereka yang boleh menulis dan bercakap dengan baik berkemungkinan berdaya maju dalam sesebuah syarikat.
Amalkan kemahiran berinteraksi dengan semua kawan-kawan di tempat kerja dari pelbagai peringkat. Dapatkan tugasan yang boleh meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran kita.
Dalam keadaan tertentu, ambil bahagian secara sukarela dalam aktiviti untuk menonjolkan bakat kita.
Kita juga boleh membina kerjaya dalam syarikat yang sama sepanjang hayat atau bertukar pekerjaan dari satu syarikat ke syarikat lain.
Sekiranya kita ingin menukar pekerjaan, nilai dengan teliti dan berfikir secara mendalam, bagaimana pekerjaan baru boleh menambah, bukan hanya pendapatan sahaja, tetapi juga pengetahuan, kemahiran dan perkembangan kerjaya kita.
Bolehkah ia membantu kita menuju ke arah kerjaya yang ingin kita capai? Atau adakah ia membawa kita lebih hampir untuk mencapai matlamat kewangan kita?
Jadi, apapun alasan yang kita pilih untuk bertukar pekerjaan, pastikan ia memberi manfaat kepada kita bagi jangka masa panjang.
Ketahui dan fahami bahawa kejayaan dan kecemerlangan kita dalam sesuatu pekerjaan adalah tertakluk kepada usaha kita.
Ia tidak akan membosankan kalau kita menggunakannya untuk mengembangkan diri selain menyumbang kepada syarikat.
Boleh melewatkan matlamat
Pinjaman pelajaran adalah suatu tanggungjawab yang tidak boleh dipandang ringan. Apabila kita mula bekerja, sepatutnya kita tidak menangguhkan tanggungjawab untuk membayar semula pinjaman pelajaran.
Kita sudah membincangkan betapa pentingnya bagi kita berbuat demikian. Pinjaman pelajaran adalah sebuah pinjaman, bukannya pemberian hadiah.
Ia adalah satu kewajipan dari segi perundangan dan moral bagi kita untuk membayarnya supaya orang lain juga dapat menikmati faedah sama yang sudah kita nikmati.
Jika kita tidak membayar semula pinjaman pelajaran, ini boleh menjejaskan peluang kita untuk bekerja dengan baik. Kita juga mungkin tidak berpeluang mendapat pembiayaan daripada institusi kewangan kelak. Ini berkemungkinan melambatkan usaha mencapai matlamat hidupan dan kewangan kita.
(Petikan artikel dari Berita Harian, 19 Januari 2013)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan