>> Setiap bulan pening memikirkan hutang menimbun
BERHUTANG adalah perkara yang cuba dielakkan oleh semua orang. Kalau boleh, semua pembelian dilakukan secara tunai. Bagaimanapun, kemampuan untuk berbelanja setiap individu tidak sama. Ada yang terpaksa berhutang demi memenuhi keperluan asas dalam hidupnya.
Namun, ada yang berhutang kerana perkara tidak perlu. Mungkin kerana hendak bergaya, memenuhi nafsu beli-belah atau tidak mahu dianggap sebagai ketinggalan daripada pihak lain walaupun sedar diri sendiri tidak ada kemampuan untuk berbelanja besar.
Akhirnya, kita terperangkap dengan hutang yang menimbun. Memang pening apabila setiap bulan duit gaji terpaksa diagihkan untuk menyelesaikan hutang ansuran rumah, kereta, kad kredit dan mungkin hutang dengan kawan, malahan lebih parah kalau terpaksa berhutang dengan ah long pula.
Dalam keadaan ini mungkin pendapatan kita tidak mencukupi dan terpaksa menggunakan tabungan atau pelaburan untuk membayar hutang.
Satu daripada punca utama menyebabkan keadaan hutang berlebihan adalah kerana tamak. Mahatma Gandhi pernah berkata: “The world has enough for everyone's need, but not enough for everyone's greed!”. Ungkapan membawa maksud, sumber di muka bumi ini memang sudah cukup untuk memenuhi keperluan setiap manusia, tetapi tidak cukup untuk memuaskan ketamakan mereka (manusia).
Ada orang yang terlalu tamak sehingga mudah terpengaruh dengan skim cepat kaya dan akhirnya menanggung kerugian besar. Lebih teruk, ada dikalangan mereka yang sanggup menggunakan pinjaman untuk melabur dalam skim penipuan itu dan terperangkap pula dalam belenggu hutang lebih besar. Inilah yang dikatakan sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula...
Berhutang untuk jaga imej
Ada orang yang nampak hidup mewah dengan membeli barangan mahal, padahal mereka ini sebenarnya tidak berkemampuan. Mereka berasakan penting mengekalkan imej. Orang dalam golongan ini sentiasa menggunakan kad kredit untuk berbelanja dan membuat bayaran minimum (paling rendah) setiap bulan.
Mereka inilah yang dikatakan berhutang secara berlebihan kerana mengamalkan hidup di luar kemampuan sebenar.
Keadaan tidak diduga
Ada orang terpaksa berhutang disebabkan peristiwa yang tidak dapat dielakkan. Mungkin kita sudah mengambil langkah sewajarnya untuk meminjam mengikut had kemampuan tetapi keupayaan membayar balik hutang boleh terjejas kalau berlaku peristiwa di luar kawalan.
Peristiwa tidak diduga ini seperti kehilangan pekerjaan, hilang upaya, menghidap penyakit kritikal atau lain-lain bentuk kecemasan.
Malangnya ada orang masih tidak sedar bahawa mereka sebenarnya mengalami masalah kewangan tetapi berterusan menafikan dan menjadikan situasi betambah buruk hari demi hari.
Tanda masalah kewangan
Bacalah senarai perkara dibawah ini. Sekiranya ada antara perkara yang disenaraikan itu memang kita sedang menghadapinya, bermakna kita kena semak dan melihat semula kedudukan kewangan kita. Mengapa ia menjadi hutang menimbun dan segera mencari jalan untuk mengatasinya.
Kad Kredit
• Hanya mampu membayar baki minimum sahaja setiap bulan
• Baki tertunggak meningkat setiap bulan
• Menggunakan kad kredit pada had maksimum
• Tidak membayar atau selalu lewat buat bayaran
• Kad kredit dibatalkan oleh pihak bank
Pinjaman
• Kerap kali menggunakan overdraf atau kemudahan pinjaman automatik daripada akaun semasa
• Menerima notis bayaran daripada pemiutang kerana tidak bayar hutang
• Gagal mendapat pinjaman kerana laporan kredit tidak memuaskan
• Meminjam wang dari keluarga atau kawan untuk bayar hutang
• Kerap kali dihubungi oleh pihak pemungut hutang
Simpanan
• Menggunakan simpanan pada kadar membimbangkan
• Mempunyai sedikit atau tiada langsung simpanan untuk menangani perbelanjaan kecemasan
Perbelanjaan
• Hidup semata-mata bergantung pada pendapatan bulanan
• Bergantung kepada kerja sampingan, kerja lebih masa, komisen atau bonus untuk membiayai sara hidup
• Tidak tahu berapa banyak hutang sehingga penyata diterima
• Kerap kali bertengkar dengan pasangan mengenai wang
Padah akibat gagal bayar hutang
Kegagalan membayar ansuran pinjaman atau hutang kad kredit boleh membawa padah buruk. Apabila kita gagal menjelaskan pinjaman, institusi kewangan akan mengambil tindakan mahkamah terhadap kita.
• Kalau pinjaman kereta, institusi kewangan akan menarik balik dan menjualkan kereta kita untuk menampung bayaran hutang kereta tertunggak.
• Kalau pinjaman perumahan, institusi kewangan akan merampas rumah kita dan melelongnya. Kalau hasil lelongan tak cukup untuk menjelaskan hutang sepenuhnya, institusi kewangan akan mengambil tindakan terhadap kita (dan/atau penjamin, jika ada) untuk menuntut baki hutang.
• Bagi pinjaman cagaran, institusi kewangan mempunyai beberapa pilihan untuk melaksanakan penghakiman yang diperolehi untuk mendapatkan semula hutang mereka. Ini termasuk perintah rasmi rampasan dan jualan, saman prosiding ‘garnishee’, saman penghutang penghakiman dan petisyen kebangkrapan ke atas peminjam (dan/atau penjamin, jika ada)
Buat masa ini petisyen kebangkrapan boleh dimulakan kalau hutang terkumpul mencecah lebih RM30,000.
(Petikan artikel dari Berita Harian, 18 Mei 2013)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan