Label

BERHUTANG UNTUK BERKAHWIN (KEWANGAN)

>> Pikul tanggungjawab, komitmen bersama ketika berumahtangga

APABILA melalui alam kedewasaan, kita akan bertemu dengan pasangan hidup yang kita ingin kahwini. Perkahwinan pula adalah satu komitmen atau tanggungjawab yang besar dan kita hanya boleh berumah tangga jika kita sudah benar-benar bersedia memikul tanggungjawab itu.

Sambil menikmati alam romantis, kita juga akan berhadapan dengan isu kehidupan sebenar termasuk isu kewangan.

Belanja kahwin

Kita sepatutnya bersikap realistik mengenai perbelanjaan perkahwinan. Kita pastinya terperanjat apabila mengetahui betapa besar jumlah yang terbabit bagi semua perbelanjaan berkaitan seperti hadiah, majlis istiadat, majlis makan, pakaian dan gambar perkahwinan.

Seperti aspek lain dalam kehidupan, sediakan suatu bajet atau anggaran perbelanjaan terlebih dahulu. Senaraikan barangan yang mustahak bagi perkahwinan ini. Bincang bersama pasangan kita jumlah yang mampu bagi menampung perbelanjaan perkahwinan itu.

Dapatkan petua dan nasihat daripada mereka yang sudah melaluinya dan cara berbelanja secara berhemat bagi peristiwa penting ini.

Jangan berbelanja sehingga kita terpaksa meminjam daripada ahli keluarga serta kawan atau dari bank untuk membiayai kos majlis perkahwinan itu semata-mata untuk menjaga hati orang lain.

Malah, kita sepatutnya membuat simpanan awal bagi perkahwinan sebagai sebahagian daripada perancangan kewangan kita secara menyeluruh. Terdapat banyak kes di mana pasangan mengalami masalah disebabkan hutang besar yang terpaksa ditanggung kerana perbelanjaan perkahwinan.

Sering kali masalah kewangan mengakibatkan kesukaran lain.

Perkahwinan dan keluarga

Wang adalah isu sensitif dan disebabkan itu, ramai pasangan mengharungi alam perkahwinan tanpa berbincang antara satu sama lain secara terbuka mengenainya.

Adalah sangat penting bagi kita serta pasangan bersetuju dalam perkara yang membabitkan kewangan (andaian yang dibuat adalah kita berdua bekerja);

·    • Perancangan kewangan kita sepatutnya beralih daripada perancangan individu kepada perancangan bersama pasangan.
• Buat keputusan bagaimana menangani bil rutin, perbelanjaan untuk keluarga dan anak, bajet isu rumah, termasuk simpanan dan pelaburan.
• Untuk membuat bayaran bagi perbelanjaan bersama, simpan duit dalam akaun bersama setiap bulan. Kaji semula perbelanjaan ini sekurang-kurangnya sebulan sekali untuk melihat sama ada perbelanjaan ini bertambah kerana inflasi atau gaya hidup kita yang baharu.
• Jika kita dan pasangan membuat keputusan untuk menggunakan kad kredit sebagai perbelanjaan bersama, pastikan pasangan yang menggunakan kad kredit mempunyai akses kepada akaun bersama untuk memudahkan
• Seperti mana perancangan semasa kita bujang, kita perlu menyediakan dana kecemasan untuk menghadapi perbelanjaan di luar dugaan yang mungkin membebankan kita, pasangan dan keluarga kita.
• Bincang tentang cara pelaburan kita dan pasangan termasuk jenis risiko dan kecenderungannya. Adalah bijak untuk mempunyai portfolio pelaburan yang serupa bagi memenuhi matlamat kewangan kita seperti persaraan bersama dan hidup dalam keselesaan.
• Pelaburan ini juga adalah untuk menanggung pembiayaan pengajian dan kos sara hidup anak kita nanti.

Kaji kemampuan

Perkara ini mungkin tidak sedap didengar atau dibincang tetapi kita harus berbincang mengenai hutang yang dibebani bersama, jika ada.

Setiap pasangan harus membuat komitmen untuk menyelesaikan hutang masing-masing dalam jangka masa tertentu selepas berkahwin sekiranya hutang itu tidak dapat dijelaskan sebelum berkahwin.

Sekiranya perlu bagi kita untuk mendapatkan pinjaman atau kad kredit selepas berkahwin, berbincanglah terlebih dahulu mengenai komitmen dan kemampuan kita. Kita tiada pilihan mesti bersetuju dengan terma dan tempoh pembayaran untuk menyelesaikan hutang.

Kita dan pasangan tidak perlu berselindung daripada berbincang mengenai hutang. Sesetengah perkahwinan dilaporkan gagal kerana masalah hutang yang dialami oleh pasangan mereka.

(Petikan artikel dari Berita Harian, 26 Januari 2013)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan