Label

KESIHATAN REPRODUKTIF JANJIKAN KEBAHAGIAAN (KESIHATAN)


Anak penyeri rumah tangga

MELIHAT kanak-kanak bermain, bergurau dan mengembangkan kreativiti mereka, terdetik di hati betapa bahagianya memiliki insan bergelar cahaya mata. Menjadi aset paling berharga bagi pasangan suami isteri, anak menjadi pengikat kasih dan penghibur kala duka.

Ketika meniti kehidupan berkeluarga, perkara yang terjadi kadangkala tidak seperti kita harapkan. Ada masanya pasangan mengambil masa lama untuk menimang cahaya mata. Puas berikhtiar, akhirnya si kecil yang dinanti hadir menyeri kehidupan.

Tahap kesuburan tinggi memberi peluang lebih cerah untuk pasangan suami isteri mendapat ramai anak. Hakikatnya, wanita mahupun lelaki tidak terlepas mengalami masalah ketidaksuburan.

Sering kita dengar seseorang itu memberi jawapan ‘tiada rezeki’ jika belum dikurniakan anak selepas beberapa tahun berkahwin.

Sebaik-baiknya, ikhtiar dengan segera mendapatkan nasihat atau jalani pemeriksaan pakar sakit puan jika wanita berusia bawah 35 tahun masih gagal hamil selepas setahun mencuba.

Wanita berusia lebih 35 tahun pula harus menjalani pemeriksaan jika masih gagal hamil selepas enam bulan mencuba.

Sebelum masalah ketidaksuburan terjadi, penting untuk kita mengetahui cara mengukuhkan tahap kesuburan. Kesihatan reproduktif ialah keupayaan melakukan hubungan kelamin yang selamat, memuaskan dan bertanggungjawab.

Ia juga bermaksud pasangan berkenaan berkeupayaan menghasilkan zuriat apabila berkeinginan, pada masa sesuai.

Sistem reproduktif wanita merangkumi vagina (faraj), uterus (rahim), tiub fallopio dan kilang telur manakala bagi lelaki, ia meliputi testis, kelenjar prostat dan penis.

Perunding Perbidanan dan Sakit Puan, juga Pakar Kesuburan Pusat Perubatan Tropicana, Dr Nurhazinat Mohamed Yunus berkata, kesihatan reproduktif merangkumi kesihatan dari segi mental, fizikal dan hubungan sosial.

Menurutnya, banyak faktor mempengaruhi kesihatan reproduktif seperti usia, gaya hidup, tabiat, genetik, penggunaan ubat-ubatan, pendedahan terhadap bahan kimia dan penyakit.

Pada usia 35 tahun ke atas, penghasilan telur dari kilang telur mulai menurun, sekali gus mengurangkan tahap kesuburan.

Gaya hidup sibuk dan stres selain tabiat merokok, mengambil minuman beralkohol dan dadah juga boleh menjejaskan kesuburan.


PERCUTIAN yang menggembira dan menenangkan boleh bantu meningkatkan kesihatan reproduktif.

Katanya, pendedahan terhadap bahan kimia, misalnya radioaktif, penggunaan ubatan, misalnya bagi rawatan kemoterapi, boleh mempengaruhi kesihatan reproduktif.

Selain itu, penyakit seperti mumps (beguk) dan penyakit kelamin seperti gonorrhea, sifilis dan clamidia boleh merosakkan sistem reproduktif.

Kajian menunjukkan lelaki yang mempunyai berat badan berlebihan kurang sperma manakala bagi wanita, ia memberi kesan ketidakseimbangan hormon dan menyebabkan kitaran haid tidak teratur dan masalah ovulasi (mengeluarkan telur) kerana kualiti telur dihasilkan tidak baik. Terlalu kurus juga boleh menyebabkan ketidakseimbangan hormon.

Panduan memperkukuhkan kesihatan reproduktif

- Dapatkan berat badan ideal dengan diet seimbang dan senaman.

- Urus tahap stres secara bijak - bercuti atau lakukan perkara yang menggembirakan.

- Amalkan seks selamat.

- Hindarkan merokok - kuat merokok boleh menjejaskan kualiti sperma.

- Elakkan pengambilan alkohol.

- Amalkan diet sihat - diet seimbang, makan banyak sayur-sayuran dan buah-buahan setiap hari, kawal pengambilan daging ayam atau ternakan yang disuntik. Cuba beralih kepada ayam organik.

- Amalkan pengambilan makanan mempunyai pelbagai vitamin

Wanita: Amalkan pengambilan asid folik, makanan mengandungi Vitamin E dan selenium, L-Arginine, Vitamin B6 dan B12, besi, magnesium dan zink.

Lelaki: L-Carnitine, asid ferulic, Vitamin C dan E dan selenium, zink dan Vitamin B (B6, B12 dan Folate).

Pengambilan herba tertentu seperti:

Wanita: spirulina (sejenis alga), bee pollen (debunga lebah), cordyceps (sejenis kulat), vitex agnus-castus (herba chasteberry), teh hijau (antioksidan).

Elakkan makanan berasaskan soya bagi wanita ketika evolusi kerana kajian menunjukkan ia menghasilkan sejenis bahan kimia yang boleh berada dalam cairan faraj yang memberi kesan negatif kepada sperma ketika hubungan kelamin.

Lelaki: potenzhi, bee pollen, cordyceps, dong guai (ginseng).

Langkah tambahan yang boleh diambil:

- Rancang kehamilan ketika usia muda - Usia 22 hingga 30 tahun adalah waktu paling subur bagi wanita.

- Tahap kesuburan wanita menurun secara semula jadi selepas usia 35 tahun.

- Kenali pusingan haid anda.

- Makan makanan semula jadi - kaya dengan nutrisi, antioksidan dan asid folik.

Contoh: buah sitrus, sayuran hijau, brokoli dan bijirin.

Pilih yang organik (bagi mengelak pengambilan hormon dan racun serangga).

Dapatkan nasihat atau pemeriksaan pakar sakit puan sekiranya:


- Mengalami masalah senggugut yang teruk.

- Sakit ketika melakukan hubungan kelamin.

- Keluar cecair/lendir faraj yang tidak normal.

- Kitaran haid tidak teratur.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan