Label

1.4 JUTA BERISIKO HILANG KAKI (KESIHATAN)

PENGALAMAN kehilangan kaki sama ada akibat penyakit diabetes atau kemalangan pasti meninggalkan kesan trauma yang berpanjangan. Seorang pesara sebuah syarikat percetakan di ibu negara, Azmir Abu Bakar, 57, tidak pernah menyangka kakinya terpaksa dipotong pada tahun pertama persaraannya tahun lalu.

“Luka itu bermula di jari kaki kanan saya dan ia merebak begitu pantas. Dalam tempoh beberapa minggu ia sudah bernanah dan membusuk,” kata Azmir yang kini kudung kaki hingga ke paras lutut.

Pembedahan membuang kaki itu dilakukan November lalu iaitu 12 tahun selepas Azmir dikesan menghidap diabetes.

Ketiadaan sebelah kaki sahaja pun bagaikan telah merentap separuh daripada kehidupan Azmir.

“Cuba bayangkan anda yang dahulu aktif bersukan tiba-tiba kehilangan kaki. Malah, pekerjaan saya sebagai pemandu juga menuntut penggunaan kaki untuk menekan pedal minyak dan brek,” beritahu penggemar nasi lemak dan teh tarik kaw ini.

Kini, Azmir tidak lagi berani memandu. “Kalau nak pergi ke hospital atau pasar, saya akan minta anak saya hantar atau naik teksi sahaja. Pergerakan di dalam rumah juga terbatas. Selain isteri, kerusi roda adalah peneman setia saya sekarang,” ujarnya.

Penyakit diabetes yang dihidap Azmir bermula dengan simptom yang sering diambil mudah oleh kebanyakan orang.

“Saya sentiasa berasa haus dan kerap buang air kecil tanpa sebab,” kenang Azmir yang masih mengingati amaran seorang doktor bahawa kakinya berisiko dipotong jika beliau tidak menjaga pemakanan dan malas bersenam.

Beliau yang menyukai makanan manis dan berlemak termasuk air berkarbonat kini terpaksa mengambil suntikan insulin dua kali sehari sebelum disusuli ubat kapsul.

“Insulin ini bertujuan mengawal gula dalam darah,” ujar Azmir yang bersyukur mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada isterinya, Amidah Baharom, 53.

Sebenarnya, Amidah juga merupakan pesakit diabetes yang sudah kehilangan tiga jari kaki kanan.

“Adakalanya suami saya suka makan makanan berlauk atau teh tarik, tetapi saya akan kurangkan makanan yang mengandungi gula dan lemak.

“Dia juga selalu mengadu berasa bosan kerana duduk sahaja di rumah. Tetapi dia masih boleh melakukan kerja ringan seperti melipat pakaian atau membersihkan kabinet televisyen dan sofa,” cerita Amidah yang menunggu kaki palsu bernilai RM4,300 untuk suaminya itu.

Luka

Bagi P. Selvaraju, 58, dari Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur, kehidupannya sudah berakhir apabila kedua-dua kakinya dipotong. Segalanya bermula selepas beliau terlibat dalam satu kemalangan jalan raya di Petaling Jaya pada tahun 2004.

“Kaki saya bengkak selama beberapa bulan. Selepas mengetahui saya menghidap kencing manis, saya lebih banyak makan sayur-sayuran.

“Malangnya, saluran darah kaki kanan saya tersumbat dan dijangkiti kuman serta bernanah. Ia dipotong pada hujung tahun berkenaan,” kata bekas kakitangan Universiti Malaya itu. Pada tahun 2009, beliau kehilangan kaki kiri pula akibat masalah yang sama.

Azmir dan Selvaraju adalah antara 5.6 juta pesakit diabetes di negara ini. Daripada jumlah itu, 1.4 juta mengalami komplikasi kaki yang serius, kata Koordinator Jawatankuasa Penjagaan Luka, Hospital Kuala Lumpur, Dr. Harikrishna K.R. Nair.

“Malaysia mempunyai ramai pesakit diabetes berbanding 28 juta penduduknya. Implikasi penyakit itu mengundang kepada penambahan komplikasi kaki yang turut dipengaruhi oleh faktor pengambilan makanan seperti nasi dan gula yang tidak terkawal,” ujarnya baru-baru ini.

Secara umum, pesakit diabetes berisiko mendapat penyakit kaki diabetik. Penyakit itu menyebabkan kulit kaki menjadi kering dan senang merekah, kurang atau hilang bulu, peningkatan pigmentasi pada kulit dan juga jangkitan kulat pada kaki dan kuku.

Diabetes juga menyebabkan seseorang tidak menyedari kerosakan pada kakinya seperti luka, pecah ataupun berkudis (ulser). Masalah oksigen yang tidak sampai pula membuatkan luka kaki terbabit lambat sembuh atau bernanah hingga terpaksa dipotong.

Menurut Pakar Bedah Ortopedik, Hospital Pusrawi, Dr. M. Ismail Maulut, komplikasi kaki sama ada disebabkan kemalangan atau penyakit diabetes mempengaruhi kehidupan pesakit pada masa akan datang.

“Pihak hospital akan mempertimbangkan dua perkara sebelum membuat keputusan untuk memotong kaki pesakit, iaitu penyakit metabolik atau diabetes dan kecederaan teruk akibat kemalangan sehingga tulang mangsa hancur."

“Ketumbuhan atau kecederaan pada kaki di samping masalah saluran darah tersumbat turut menyumbang kepada komplikasi kaki."

Gergaji

“Selain itu, kes kongenital kaki iaitu kecacatan sejak lahir atau jangkitan sehingga tisu yang mati bertukar hitam juga menjadi punca amputasi atau pemotongan kaki dilakukan,” terang beliau.

Menurut Ismail, pemotongan kaki tidak dibuat secara sesuka hati sebaliknya keadaan pesakit akan diteliti terlebih dahulu. Ini termasuk menjalankan ujian angiografi untuk mengetahui sama ada saluran darah kaki tersumbat atau tidak.

“Selalunya pesakit akan meminta jari mereka sahaja yang dipotong. Namun, kami akan mencadangkan supaya mereka memotong ke tahap yang lebih selamat iaitu di paras lutut kerana nanah boleh merebak dengan pantas ke bahagian itu,” hujahnya yang mengakui sebahagian pesakit takut untuk membuang kaki mereka.

Bagaimanapun, katanya, doktor akan melakukan pemotongan seberapa minimum yang boleh supaya kecacatan anggota badan pesakit dapat dikurangkan.

Ismail menambah, nanah pada kaki yang luka boleh merebak walaupun telah dicuci berulang kali manakala darah yang tercemar dengan kuman mampu mengakibatkan kematian.

“Terdapat kes pesakit yang mengalami komplikasi kaki datang mendapatkan rawatan dalam keadaan kaki mereka sudah bernanah hingga ke lutut.

“Namun, ia berjaya dibuang dan luka itu dibersihkan sebelum kesan luka pembedahan itu ditampal dengan kulit yang diambil daripada paha pesakit,” ujarnya lagi yang kesal dengan sikap orang ramai yang tidak serius dalam menangani masalah diabetes.

Ismail berkata, gergaji khas diperlukan untuk memotong kaki yang sakit. Selepas kaki dipotong, pesakit dikehendaki mendapatkan rawatan susulan selama satu hingga dua bulan.

“Pesakit kemudian dirujuk semula kepada doktor pakar bagi mengawal kandungan gula dalam darah,” katanya sambil memberitahu, kaki yang dipotong itu disimpan untuk eksperimen pada masa akan datang.

(Sumber Kosmo)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan