Label

PERLUKAH TUKAR KERETA BARU? (KEWANGAN)

>> Fikirkan soal kemampuan, antara keperluan dan keinginan

PENGUMUMAN kerajaan menurunkan harga kereta baru-baru ini, antara 0.7 peratus hingga 11 peratus, untuk 10 model terpilih pastinya membuatkan ramai teruja untuk memiliki kenderaan sendiri.

Sekurang-kurangnya ada yang merancang untuk menukar kereta baru dengan harga agak murah bagi mendapatkan ansuran lebih rendah.

Bagi yang berkemampuan, memiliki kereta bukanlah satu kemewahan lagi. Ia adalah satu keperluan seperti kegunaan untuk pergi ke tempat kerja, melawat keluarga atau saudara mara di kampung, tengok anak di asrama atau sekurang-kurangnya membawa keluarga makan angin.

Apabila ada kereta bolehlah kita merancang perjalanan selain menjimatkan kos dan masa, terutama di tempat yang tidak ada pengangkutan awam atau perkhidmatannya pula tidak menentu.

Bagaimanapun, kita masih perlu bertanya pada diri sama ada memiliki kereta itu adalah suatu keperluan atau untuk memenuhi kehendak semata-mata.

Bijak membeli kereta

• Buat perbandingan terlebih dahulu untuk mendapatkan kereta yang boleh diharap dan memenuhi keperluan. Mintalah nasihat daripada kawan, ahli keluarga atau mereka yang arif pasal kereta.

• Kalau nak beli kereta terpakai (second hand), dapatkan khidmat mekanik yang boleh dipercayai atau kalau perlu, buat pemeriksaan PUSPAKOM ke atas kereta itu.

• Fikirkan juga harga jualan semula atau nilai tukar beli kereta kalau suatu hari nanti bercadang untuk menukarkannya kelak.

• Kalau mengambil keputusan memohon pinjaman kereta, cari pakej terbaik berdasarkan kemampuan kita. Dapatkan maklumat mengenai kadar faedah terbaik.

• Rancang bajet mengikut bajet pendapatan. Ambil kira ansuran bulanan dan lain-lain kos seperti petrol, tol, tempat letak kereta dan perbelanjaan lain termasuk cukai jalan, insurans dan kos penyelenggaraan.

• Cuba tambahkan simpanan untuk bayaran pendahuluan supaya pinjaman yang diambil lebih rendah dengan tempoh pembayaran yang lebih pendek. Kena ingat, semakin panjang tempoh pinjaman, semakin banyak faedah yang perlu dibayar. Ini mungkin menyukarkan kita untuk menjual kereta itu kerana nilai pasaran menjadi jauh lebih rendah berbanding baki pinjaman.

• Jangan guna kad kredit untuk buat bayaran pendahuluan kerana ia akan menyebabkan kita terikat dengan pinjaman pada kadar faedah sangat tinggi.

• Bersedia menanggung perbelanjaan di luar dugaan seperti membaiki kereta apabila rosak atau kemalangan. Ada baiknya kalau boleh mengetahui mengenai kemudahan mendapatkan alat ganti serta kos untuk menggantikannya.

• Pastikan kereta kita mempunyai perlindungan insurans komprehensif yang mencukupi atau sekurang-kurangnya ada perlindungan insurans pihak ketiga.

Kereta baru atau terpakai

Ramai yang beranggapan beli kereta baru lebih baik sebab kos penyelenggaraan lebih rendah. Itu mungkin betul. Hakikatnya memiliki kereta baru juga ada kelemahan. Misalnya, kadar ansuran bulanan yang tinggi.

Ketika hendak memutuskan jenis kereta, nilai dulu kemampuan kita. Kalau beli kereta baru membebankan, belilah kereta terpakai yang masih berkeadaan baik. Lagipun, kereta hanya sebuah kenderaan yang membawa kita bergerak dari satu tempat ke satu tempat.

(Petikan artikel dari Berita Harian, 22 Jun 2013)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan