Label

PUNCA BENGKAK SEBELAH KAKI (KESIHATAN)

KEADAAN kaki pesakit DVT


BENGKAK pada sebelah kaki secara tiba-tiba boleh disebabkan pelbagai masalah. Tetapi, yang perlu diberi perhatian dan rawatan segera ialah keadaan dipanggil Deep Vein Thrombosis (DVT), di mana ketulan darah terbentuk pada pembuluh darah vena yang terletak di bahagian dalam betis atau paha.

Darah dalam badan kita yang kaya dengan oksigen akan dipam oleh jantung ke semua anggota badan. Darah ini membekalkan makanan dan oksigen kepada semua tisu badan. Darah yang telah dipam ke kaki, akan dipam semula ke jantung oleh otot pada betis dan paha.

Semua darah akan dibawa melalui pembuluh darah vena dari kaki ke atas melalui pembuluh darah vena pada rongga abdomen (perut) dan dihantar semula ke paru-paru untuk menerima bekalan oksigen dan akhirnya ke jantung semula.

Pembentukan darah beku pada pembuluh darah vena di betis atau paha boleh disebabkan tiga faktor.

Faktor pertama ialah gangguan perjalanan darah berkenaan. Sebagai contoh, kanser pada rongga abdomen atau ibu mengandung yang menghimpit saluran pembuluh darah itu.

Orang berusia atau pesakit yang baru menjalani pembedahan pula jarang berjalan seterusnya menyebabkan pergerakan darah dalam pembuluh darah itu menjadi perlahan. Ia juga berlaku pada mereka yang dalam kenderaan menuju perjalanan jauh seperti menaiki kapal terbang.

Faktor kedua ialah masalah darah itu yang menjadi likat. Kejadian ini menyebabkan arus pergerakan darah dari kaki ke jantung menjadi perlahan manakala faktor ketiga ialah kerosakan pada dinding dalam salur darah yang diakibatkan oleh kecederaan fizikal. Semua faktor itu menjadikan peredaran darah perlahan serta menyebabkan darah bergumpal selain membentuk darah beku.

Apabila darah ini terbentuk, ia akan menyebabkan pembuluh darah tersumbat. Cecair mula keluar dari pembuluh darah ke ruang antara tisu pada kawasan betis dan paha.

Ini mengakibatkan bahagian itu bengkak, sakit dan kemerahan. Ada kala, ia disalah anggap sebagai jangkitan kuman pada kulit. Oleh itu, untuk mengesahkan pembentukan darah beku ini, ujian ultrasonografi khusus perlu dijalankan dan seterusnya mengenal pasti lokasi dan saiz darah beku itu. Ujian ini dipanggil Doppler. Selain itu, beberapa ujian darah perlu dijalankan untuk mengesahkan dan mencari punca mengapa ia terjadi.

Rawatan segera perlu diberikan. Ubat untuk mencairkan darah beku itu perlu diberikan secepat mungkin dan diberikan melalui suntikan. Selain itu, terdapat beberapa kaedah lain perlu dilakukan untuk mengeluarkan darah beku itu jika perlu.

Penyebab utama perlu dirawat. Rawatan perlu disegerakan untuk mengelakkan daripada darah beku ini pecah menjadi ketulan kecil dan dipam ke anggota badan yang lain.

Darah beku ini boleh menyebabkan berlaku penyumbatan pada salur darah kecil di paru-paru, otak dan jantung yang akhirnya menyebabkan maut.

Individu yang berisiko seperti orang tua, pesakit yang baru lepas menjalani pembedahan besar, pesakit kanser kronik, mereka yang terlantar di katil dan tidak boleh bergerak dinasihatkan supaya memakai sarung kaki khas untuk mengepam darah dari betis ke jantung.

Bagi mereka yang mengalami obesiti, ibu mengandung, kecederaan kaki, melalui perjalanan jauh seperti dalam kapal terbang, dinasihatkan untuk banyak bergerak supaya darah pada bahagian kaki berjalan lancar selain senaman kaki agar otot pada betis dan paha mengecut dan mengepam darah ke jantung.

Ada juga beberapa individu lain yang perlu mengambil pil untuk mencairkan darah bagi mencegah darah menjadi likat.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan