>> Buatlah perancangan mulai sekarang untuk kehidupan selesa pada hari tua
KITA tidak terlalu muda atau tua untuk merancang persaraan. Sebenarnya, lagi awal lagi baik, tetapi lebih baik ada daripada tiada langsung.
Bagaimanapun, adalah baik untuk memupuk tabiat menyimpan pada usia muda. Bahkan menabung patut menjadi amalan hidup kita.
Adalah bijak untuk tidak hanya mengharapkan simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kerana kemungkinan simpanan kita itu tidak mencukupi untuk menampung kehidupan selesa ketika persaraan.
Mereka yang berada pada peringkat dewasa, lazimnya tidak memikirkan bahawa suatu hari nanti akan bersara.
Persaraan sememangnya bukan perkara mudah bagi semua peringkat umur. Orang yang berumur dalam lingkungan 40-an juga tidak mahu memikirkan aspek persaraan.
Mereka mempunyai pelbagai tanggungan – rumah, pelajaran anak, kesihatan ibu bapa dan 1,001 macam perkara yang perlu diberi keutamaan.
Takut ketinggalan
Kita juga mempunyai perasaan takut mengenai perkara yang tidak diketahui. Tanpa mengetahui apa yang akan berlaku pada hari tua kadang-kadang menghindarkan kita daripada memikirkan kebajikan kewangan.
Kadang-kadang kita seperti lebih rela hidup pada masa sekarang daripada memikirkan untuk merancang bagi masa hadapan.
Mungkin kita berasa takut kerana jauh ketinggalan dalam perancangan persaraan ini.
Kita mungkin sudah membelanjakan terlalu banyak wang, keupayaan menjana pendapatan pula tidak meningkat dan kita tidak mampu meningkatkan tabungan.
Kalau kita selalu menabung, kita mungkin berada dalam keadaan lebih selesa dan rasa diri berkuasa.
Asas perancangan persaraan
Seperti dalam proses perancangan, kita patut tahu kedudukan kita sekarang:
1) Berapa banyak simpanan dan aset yang kita ada sekarang?
2) Berapakah pendapatan bulanan kita?
3) Berapa peratusan pendapatan diagihkan kepada KWSP dan lain-lain pelan persaraan?
4) Berapa banyak pulangannya yang dikehendaki daripada pelaburan kita?
5) Berapa tahun yang kita boleh menjana pendapatan sebelum bersara?
Selepas menganalisis aset (harta) dan liabiliti (tanggungan) semasa, anggarkan keperluan perbelanjaan dan selaraskannya untuk menangani sebarang inflasi. Kemudian, buat keputusan bila anda ingin bersara – pada umur 45, 55, 60 atau 65 tahun?
Kos kesihatan ketika hari tua
Buat kiraan pendapatan yang diperlukan ketika persaraan mengikut gaya hidup yang diinginkan. Perancangan persaraan perlu merangkumi pengurangan hutang, bajet, mempelbagaikan pelaburan dan pengekalan kesihatan melalui diet dan bersenam.
Persoalan mengenai kesihatan adalah penting semasa hari tua. Kos kesihatan menjadi perbelanjaan besar yang boleh menghakis simpanan persaraan kita. Walaupun kita mempunyai insurans perubatan dan insurans hayat yang meliputi penyakit kritikal, ini mungkin tidak meliputi prosedur dan preskripsi yang kita perlukan.
Kadang-kadang sesetengah penyakit hanya dilindungi secara separuh atau tidak langsung dilindungi di bawah manfaat insurans. Oleh itu, perancangan persaraan yang lengkap harus dilakukan untuk mengekalkan gaya hidup yang sihat.
Garis masa persaraan
• Bukalah akaun KWSP pada hari pertama bekerja. Namun, disebabkan kesan inflasi, wang dalam simpanan KWSP mungkin tidak mencukupi bagi persaraan kita. Buka akaun simpanan di bank dan buatlah tabungan persaraan peribadi sekurang-kurangnya 10 peratus daripada pendapatan boleh guna pada setiap bulan.
• Untuk setiap peningkatan umur kita, tambahlah tabungan dalam tabung persaraan peribadi dalam peratusan tertentu daripada pendapatan kita setiap tahun.
• Kenal pasti dan masukkan sebahagian daripada setiap kenaikan atau bonus tahunan kita ke dalam tabung persaraan. Pastikan kita mengambil kira tabungan yang perlu dibuat dalam bajet bulanan bagi tujuan persaraan.
• Apabila kita membuat simpanan untuk persaraan, kaji portfolio pelaburan untuk memastikan wang kita bertambah mengikut rancangan persaraan.
Kehidupan yang seimbang
Walaupun wang adalah perkara penting dalam kehidupan, ia bukanlah segalanya. Jangan jadikan sebagai matlamat utama hidup kita. Kesihatan, keluarga dan keseimbangan rohani adalah ciri-ciri penting dalam kesejahteraan hidup.
Kita patut menghulurkan derma dan memberi bantuan kepada yang kurang mampu agar dapat meringankan kesengsaraan dan keperitan hidup mereka. Adalah penting untuk mempunyai keseimbangan dalam hidup kita.
Kesimpulan
• Kita harus mempunyai strategi untuk mengharungi kehidupan.
• Perancangan kerjaya adalah penting supaya kita dapat menjana pendapatan.
• Adalah penting bagi kita untuk membayar balik pinjaman dan membayar cukai pendapatan
• Kita tidak terlalu muda atau tua untuk merancang persaraan.
• Adakan keseimbangan dalam kehidupan kerana wang bukan satu-satunya matlamat hidup.
(Petikan artikel dari Berita Harian, 2 Februari 2013)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan