>> Pengurusan sempurna, berdisiplin wujudkan suasana harmoni
HUTANG memainkan peranan penting dalam kehidupan kita. Kebanyakan daripada kita tidak mampu membeli semua keperluan yang dikehendaki secara tunai.
Oleh itu, kita tidak ada pilihan, terpaksa berhutang untuk membolehkan kita membeli aset seperti rumah dan kereta. Lainlah kalau kita memang daripada keluarga kaya raya yang mempunyai wang menimbun dalam bank untuk membolehkan kita mampu membeli rumah dan kereta secara tunai.
Bagaimanapun, kalau digunakan secara bijak, hutang juga boleh jadi alat berguna untuk membantu mencapai matlamat kewangan kita.
Maknanya, hutang bukan semestinya perkara tidak baik kerana ia juga membolehkan kita memiliki apa yang diinginkankan dengan cepat dan selesa.
Cuma, kalau kita mengambil hutang dengan cara berlebihan, itu yang mungkin menyebabkan kita akan menghadapi masalah untuk membayarnya. Ini seterusnya mendatangkan masalah kewangan kepada kita.
Jadi, adalah penting untuk mengurus hutang secara bijak dan hidup dengan jumlah hutang yang mampu diurus.
Mempunyai hutang yang terurus bermakna kita hidup mengikut kemampuan. Ia tidak melebihi batasan komitmen atau keadaan kewangan kita.
Ingat! Pengurusan hutang yang baik membantu kita mencapai matlamat kewangan dengan lebih cepat. Sebaliknya, pengurusan hutang yang lemah memberikan kesan negatif terhadap kehidupan kita.
Mengapa perlu diurus dengan bijak?
Kita hanya perlu sedikit dorongan serta disiplin mengurus hutang dengan bijaksana. Berikut adalah kebaikan mengurus hutang secara efektif:
• Pengurusan aliran tunai lebih baik
Kalau berjaya kawal hutang, kita akan mempunyai lebihan wang untuk tabungan dan seterusnya mempunyai kedudukan aliran tunai positif.
Memiliki aliran tunai yang positif adalah perlu kerana kita mempunyai dana berlebihan untuk membantu membina tabung kecemasan, mengurangkan hutang dan juga boleh memanfaatkan peluang pelaburan yang baik.
Aliran tunai positif boleh dicapai sekiranya kita mempunyai bajet dan memantaunya dengan baik.
• Pengurusan kekayaan lebih baik
Sebahagian besar proses membina kekayaan memerlukan kita membuat keputusan bijak mengenai hutang. Menerusi pengurusan hutang yang bijak, kita mengurangkan liabiliti sambil meningkatkan kedudukan nilai harta bersih.
Semua ini secara efektif akan membawa kepada pengurusan kekayaan yang lebih baik.
• Mengelak bayaran lewat dan caj penalti
Jadilah seorang pembayar hutang yang berhemah!
Lebih cekap kita mengurus hutang, maka lebih banyak penjimatan faedah dan caj lain yang kita peroleh. Ambillah langkah pertama dengan membayar hutang mengikut jadual.
• Kurangkan kos pinjaman
Kita boleh melangsaikan pinjaman dengan cepat kalau mengurus hutang secara bijak dan sentiasa memantaunya. Lebih cepat kita melangsaikan hutang, lebih banyak penjimatan kos faedah kita peroleh.
• Meningkatkan kedudukan kredit
Pengurusan hutang yang bijak akan membantu kita membina rekod kredit yang lebih baik bagi memudahkan kita mengambil pinjaman di masa hadapan.
Ini kerana rekod pembayaran kita akan dijejak atau diawasi melalui Biro Kredit, Bank Negara Malaysia. Setiap kali kita meminjam daripada institusi kewangan berlesen, semua hutang dan rekod pembayaran kita akan dicatatkan.
Oleh itu, kalau kita pernah terlewat atau gagal menjelaskan pinjaman, ini boleh menjejaskan keupayaan kita untuk mendapatkan pinjaman pada masa hadapan.
• Mengelakkan gangguan atau tindakan undang-undang
Untuk mengelak tindakan undang-undang, pastikan kita membayar ansuran bulanan tepat pada masanya. Kita perlu sedar bahawa kalau kita tertinggal atau tidak membayar ansuran mengikut jadual, kedudukan kredit kita akan terjejas dan si pemiutang akan mencari atau menghubungi kita.
• Hubungan keluarga lebih baik
Semakin cekap kita menguruskan hutang, semakin baik hubungan kita dengan ahli keluarga. Sering kali pertelingkahan atau salah faham yang berlaku antara ahli keluarga adalah berpunca daripada masalah kewangan.
Pengurusan hutang yang baik akan mengeratkan hubungan kita dengan keluarga serta kawan dan rakan sekerja. Ini pasti memupuk suasana lebih harmonis di rumah dan di tempat kerja.
(Petikan artikel dari Berita Harian, 11 Mei 2013)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan