Label

TIADA ZURIAT SELEPAS KAHWIN 14 TAHUN (SAKIT TUAN)

SAYA berusia 43 tahun dan bertaraf orang kurang upaya (OKU). Saya menghidapi penyakit polio ketika kecil dan pada usia remaja saya pernah terbabit dengan kemalangan yang mengakibatkan kerosakan buah pinggang kiri hingga terpaksa dibuang melalui skrotum kiri.

Saya berkahwin 14 tahun lalu dan isteri kini berusia 31 tahun. Usia yang semakin meningkat membuatkan saya tertekan kerana kami belum berjaya mendapatkan zuriat.

Saya juga pernah mendapatkan rawatan kesuburan dan doktor memberitahu air mani saya tiada sperma. Menurutnya, sperma saya mati ketika air mani keluar dan ia benar-benar menghampakan saya.

Adakah lelaki yang mempunyai satu skrotum sememangnya tidak dapat memperoleh zuriat? Saya juga cepat berasa penat dan tidak bertenaga ketika bersama isteri. Adakah ia disebabkan saya mempunyai satu buah pinggang? Selain itu, adakah air mani yang tiada sperma membawa maksud saya mandul dan adakah rawatan untuk masalah saya?

DAN
Johor Bahru

ANDA menjelaskan yang anda seorang OKU. Anda sudah berkahwin 14 tahun dan belum dikurniakan zuriat. Anda juga pernah menjalani pemeriksaan doktor dan diberitahu anda tiada sperma.

Jika anda kebetulan hanya memiliki satu buah zakar, bagi memastikan ia berfungsi secara normal atau sebaliknya hanya boleh dikenal pasti melalui pemeriksaan teliti seperti mengambil secebis tisu dari buah zakar (pengambilan biopsi dan pemeriksaan mikro) untuk pemeriksaan kedudukan kilang sperma, sama ada berfungsi atau tidak.

Pemeriksaan ini boleh dilakukan oleh pakar urologis yang mahir dalam bidang kesuburan lelaki atau dengan pakar andrologis. Secara rambang, jika air mani tiada sperma, keadaan ini dikenali sebagai 'azoospermia'.

Keadaan 'azoospermia' boleh berlaku jika kilang sperma rosak dan gagal menghasilkan sperma atau salur sperma tersumbat. Jadi pemeriksaan susulan oleh pakar dapat memastikan salur tersumbat atau kilang rosak.

Jika tiada sperma dalam air mani, keadaan ini dikenali sebagai mandul. Sebaliknya, jika sperma ada tetapi kaku atau tidak bergerak, keadaan itu tidak menunjukkan tanda mandul.

Jika perlu, sperma boleh disuntik ke dalam telur isteri melalui kaedah ICSI (Intracytoplasmic Sperm Injection Technique) dan jika cantuman benih berlaku, embrio yang terhasil akan dimasukkan ke dalam rahim isteri.

Gambaran ini adalah satu rawatan canggih dan memerlukan perbelanjaan tinggi. Kaedah ICSI rumit dan kadar kehamilan boleh menghampakan. Lebih baik fikirkan pengambilan anak angkat bagi mengatasi masalah ini.

Mengenai keletihan dialami ketika bersama isteri, ia mungkin kerana keadaan OKU anda.

Sebenarnya, satu buah zakar mencukupi untuk menghasilkan hormon testosterone lelaki. Bagaimanapun, anda hanya boleh dapat kepastian mengenai tahap hormon itu melalui ujian darah.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan