SAYA berumur 24 tahun dan mempunyai puting payudara leper (inverted). Saya mengalami perkara ini sejak berumur 12 tahun lagi (sejak baligh).
Adakah keadaan puting ini satu perkara biasa di Malaysia? Disebabkan keadaan ini, saya pernah mengalami jangkitan bakteria apabila kawasan puting payudara saya membengkak dan berwarna kemerah-merahan.
Namun, setelah berjumpa doktor, doktor itu membuat hirisan pembedahan kecil sebanyak dua kali dan mengunakan jarum halus untuk menyedut keluar cecair yang mengandungi bakteria dari kawasan terbabit.
Alhamdulillah, sejak peristiwa tiga tahun lalu itu, saya tidak mengalami apa-apa masalah berkaitan puting leper saya.
Namun apa yang merisaukan saya ialah hirisan kecil yang dilakukan doktor itu meninggalkan kesan parut dan saya bakal berkahwin tidak lama lagi.
Saya risau mengenai penerimaan bakal suami mengenai keadaan puting payudara dan parut itu.
Adakah sebarang cara untuk saya 'membetulkan' kembali puting leper itu? Adakah keadaan puting itu akan kekal selama-lamanya?
INGIN TAHU
Muar, Johor
PUTING leper atau inverted adalah suatu keadaan yang bukan saja berlaku di Malaysia tetapi juga di negara lain, malah ia ada dibincangkan beberapa kali dalam ruangan ini sebelumnya.
Ada yang mengalami masalah puting payudara leper seperti anda. Memandangkan terdapat ruang lekuk, peluh, daki atau kotoran boleh berkumpul dan jangkitan boleh berlaku seperti yang anda alami.
Parut pembedahan sama seperti parut yang lain, anda hanya perlu menjelaskan kepada suami mengenai keadaan ini. Puting leper bukanlah masalah besar lebih-lebih lagi puting leper kongenital (semula jadi sejak lahir), ia lazimnya tidak membahayakan.
Namun memandangkan ia sejenis kelainan anggota badan, doktor yang memeriksa anda ketika lahir mungkin sudah memeriksa kemungkinan terdapat juga kelainan pada bahagian atau organ lain badan.
Walaupun ia disedari pada usia anda 12 tahun (ketika berlaku tumbesaran payudara sebelum baligh), berkemungkinan anda sememangnya dilahirkan begitu.
Terdapat teknik mudah secara manual untuk membantu 'mengeluarkan' puting leper ini. Bagaimanapun, anda harus bersedia kerana ia memerlukan kesungguhan.
Jika ligamen yang menyebabkan ia tertarik ke dalam itu tebal, ia mungkin lambat atau tidak berjaya ditarik keluar, malah mungkin memerlukan pembedahan kecil, itupun jika anda mahukanya.
Teknik manual adalah secara menggunakan dua jari (lazimnya jari telunjuk dan ibu jari) pada sisi bertentangan puting itu di dasar areolar. Kemudian, kedua-dua jari ini dijarakkan secara menggerakkannya ke luar iaitu arah bertentangan.
Ia boleh juga ditambah dengan menggunakan dua jari tangan sebelah lagi satu untuk cuba menarik puting terbabit sementara jari tadi dijarakkan.
Anda mungkin ingin berjumpa doktor untuk demonstrasi teknik ini. Hasilnya, ia mungkin berjaya dikeluarkan sama ada sebahagian atau keseluruhannya, ia mungkin juga tidak berjaya. Apapun, puting leper tidak memberi masalah untuk penyusuan badan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan