SAYA berumur 33 tahun, sudah berkahwin hampir enam tahun dan tiada anak. Saya pernah melakukan rawatan IUI sebanyak lima kali tapi tidak berjaya.
Suami dan saya tidak mempunyai sebarang masalah kesihatan manakala kiraan sperma suami dilaporkan baik.
Saya juga tiada masalah cuma menurut doktor, serviks saya senget dan susah untuk memasukkan sperma ke dalam rahim. Banyak duit sudah pun saya belanjakan dan kini, saya kesempitan wang, tetapi terlalu inginkan anak.
Doktor menyuruh saya membuat rawatan IVF, tetapi saya tidak mampu. Apakah saranan doktor?
MALATI
Puchong, Selangor
PELUANG kehamilan dengan IUI adalah sekitar 10 peratus bagi yang mengambil pil kesuburan dan 20 peratus bagi yang mengambil suntikan kesuburan, itu pun bergantung kepada penyebab tambahan masalah kesuburan wanita dan pasangannya serta bilangan percubaan IUI terbabit.
Peluang di atas lazimnya benar bagi setiap percubaan sehingga ke percubaan IUI ketiga saja. Apabila memasuki IUI keempat dan seterusnya, peratusan kejayaan IUI dilaporkan lebih rendah dan doktor lazimnya akan menilai semula dengan lebih lanjut kerana mungkin ada faktor tambahan tidak dikenal pasti sebelum itu, lebih-lebih lagi dengan tempoh mencuba yang anda tempuhi.
Jika ia hanya berpunca daripada masalah serviks yang senget, IUI lazimnya dapat membantu untuk hamil lebih awal lagi. Kedudukan serviks senget boleh memberi petanda penyakit tertentu, malah lebih signifikan daripada kedudukan rahim ke belakang.
Anda mungkin ingin berjumpa pakar sakit puan yang mendalami bidang rawatan kesuburan selepas ini. Lebih elok jika anda turut membawa rekod perubatan atau salinan keputusan ujian yang pernah dijalani agar ia tidak perlu diulangi.
Terdapat badan yang memberi peluang bantuan rawatan IVF secara percuma sebanyak dua kali, tetapi hanya setelah memenuhi syarat tertentu dan bergantung kepada kedudukan tabung kewangan yang ada.
Anda mungkin pernah mendengar mengenai Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF). Terdapat juga pusat IVF yang secara amnya menawarkan IVF pada kos yang lebih rendah seperti di universiti tempatan atau hospital kerajaan tertentu.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan