Label

ISTERI PCOS IDAM ZURIAT (SAKIT PUAN)

SAYA disahkan oleh doktor menghidap sindrom ovari polisistik (PCOS). Saya sudah berkahwin hampir dua tahun dan tidak dikurniakan anak. Saya juga membuat pemeriksaan ulangan di hospital dan doktor meminta saya makan ubat Duphaston lima kali sebulan memandangkan saya tidak akan datang haid tanpa bantuan ubat.

Untuk pengetahuan doktor, berat badan saya ialah 90 kilogram dan ketinggian 162 sentimeter. Berat badan saya meningkat selepas saya mengambil pil perancang yang diberikan doktor empat tahun lalu disebabkan haid tidak teratur.

Adakah saya mempunyai waktu subur jika saya mengharapkan ubat untuk didatangi haid? Adakah saya boleh hamil seperti orang lain?

Apakah saranan doktor supaya saya boleh hamil? Adakah penggunaan termometer untuk memeriksa suhu itu berkesan bagi memantau waktu kesuburan?

SALWANI
Kuala Lumpur

DENGAN ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah di antara 50 kilogram sehingga 65 kilogram saja. Malah, sekiranya berat badan anda bertambah kepada 92 kilogram, anda termasuk dalam kategori obes morbid (obes berpenyakit dengan pertambahan risiko seperti penyakit jantung, darah tinggi dan seumpamanya).

Eloklah anda berusaha lebih giat untuk menurunkan berat badan anda kepada 85 kilogram terlebih dulu sebelum meneruskan usaha mencapai berat badan ideal di atas. Saya sarankan anda mendapatkan nasihat pakar dietetik yang boleh memberi panduan mudah, praktikal dan berkesan mengenai pengambilan makanan mengikut kepentingan, kalori dan bilangan hidangan. Selain itu, senaman berterusan juga penting.

Pil perancang mengandungi dua jenis hormon (estrogen dan progestin) yang menyerupai hormon yang dikeluarkan oleh ovari yang aktif. Dalam erti kata lain, pemberian pil perancang bertujuan menggantikan kekurangan hormon terbabit, lazimnya ketiadaan ovulasi (dinamakan anovulasi) yang juga menjadikan seseorang tidak subur.

Kesan peningkatan berat badan anda dilaporkan dalam sebilangan kecil (sebilangan lain pula melaporkan tiada perubahan, malah sebilangan kecil lagi sebaliknya melaporkan penurunan berat badan!), ia lebih disebabkan oleh pengumpulan cecair di dalam tubuh.

Pemberian ubat mengandungi hormon progestin yang anda ambil untuk menurunkan haid juga bertujuan menggantikan hormon progesteron yang tidak cukup akibat ketiadaan ovulasi terbabit. Bagi mereka yang sememangnya mempunyai masalah anovulasi, haid lazimnya hanya keluar setelah ubat ini diberikan, menjadikan mereka bergantung terhadap ubat itu bagi membolehkan mereka didatangi haid sedangkan punca utama (anovulasi) tidak dirawat.

Penggunaan termometer untuk mengambil bacaan suhu badan (lebih dikenali sebagai BBT) tidak sesuai diguna pakai bagi mereka yang tidak mempunyai kitaran haid yang teratur. Bagi mereka yang mempunyai bilangan kitaran haid yang tepat (misalnya setiap 35 hari atau setiap 28 hari), kaedah BBT hendaklah dicatatkan sekitar tiga kitaran terdahulu sebelum mereka dapat menelah hari ovulasi pada kitaran akan datang. BBT tidak digunakan untuk mengetahui waktu seseorang akan subur pada bulan terbabit, tetapi perubahan suhu itu menandakan sudah berlaku ovulasi sekitar 24 jam yang lalu.

Seseorang yang masih mempunyai telur di dalam ovarinya (walaupun tidak diovulasi), rahim dan tiub fallopio yang berfungsi, masih mempunyai peluang untuk hamil.

Lazimnya bagi keadaan anda, penurunan berat badan dan pil kesuburan mungkin kaedah awal yang akan dicadangkan oleh doktor setelah menjalankan beberapa ujian asas (ultrabunyi pelvis, ujian darah, HSG serta ujian tahap kesihatan umum).

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan