Label

BELUM DATANG HAID KERANA SUSUKAN ANAK (Sakit Puan)

SAYA berumur 29 tahun dan mempunyai anak sulung berumur lapan bulan. Saya menyusukan anak secara ekslusif sehingga kini. Memandangkan umur makin meningkat, saya mahu cepat menimang cahaya mata untuk kali kedua.

Pada masa sekarang, haid saya masih tidak datang sejak melahirkan anak sulung pada November tahun lalu.

Apa yang perlu saya buat? Saya masih mahu meneruskan menyusu anak saya sehingga dua tahun.

Adakah saya perlu mengambil pil hormon atau kesuburan? Adakah selepas mengambil pil hormon atau kesuburan itu boleh menyebabkan susu saya kering?

MAMA MIMIE
Kajang

PENGHASILAN susu badan dirangsang hormon prolaktin. Hormon prolaktin pula boleh mengganggu kesuburan secara menghentikan pengeluaran telur (ovulasi). Itulah sebabnya penyusuan badan secara ekslusif boleh digunakan sebagai kaedah mencegah kehamilan yang berkesan sehingga enam bulan daripada kelahiran bayi.

Selepas tempoh enam bulan, kaedah ini tidak lagi dijamin dapat mencegah kehamilan. Ini juga bermakna anda sepatutnya berpotensi hamil semula dari dua bulan yang lalu.

Pemeriksaan doktor dapat membantu mengesan apakah puncanya. Ujian darah paras hormon prolaktin juga boleh dibuat di samping ujian yang lain.

Pil hormon yang berkait kesuburan lebih mengandungi hormon jenis antiestrogen. Secara amnya, hormon jenis estrogen sebaliknya yang didapati mengurangkan penghasilan susu badan.

Saya kurang jelas apakah yang anda maksudkan dengan penyusuan ekslusif pada usia bayi lapan bulan sekarang, adakah ia bermakna bayi anda tidak diberikan air atau makanan tambahan selain hanya susu badan sahaja sehingga bayi berusia dua tahun?

Lazimnya ibu digalakkan mengamalkan penyusuan badan ekslusif pada enam bulan pertama tanpa air atau produk susu lain atau makanan tambahan. Makanan tambahan boleh dimulakan apabila bayi berusia empat hingga enam bulan sementara penyusuan badan diteruskan sehingga bayi berusia dua tahun, tetapi ia tidaklah lagi dipanggil penyusuan badan ekslusif.

Harian Metro

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan