Label

RISAU SAKIT SARAF MULTIPLE SCLEROSIS JEJAS BAYI (SAKIT PUAN)


Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Doktor,

Saya seorang penghidap multiple sclerosis berusia 28 tahun dan sudah dua tahun mendirikan rumah tangga. Kini saya sedang hamil anak pertama di mana usia kehamilan mencecah tujuh bulan.

Sebaik mengambil keputusan menimang cahaya mata, saya dinasihat menghentikan sebarang rawatan terapi tiga bulan lebih awal sebelum disahkan hamil. Ini bagi memastikan kesan ubat hilang sekali gus melindungi janin dalam kandungan.

Persoalannya, saya mahu menyusukan anak secara eksklusif selama dua bulan sebelum kembali bekerja. Tetapi doktor menasihatkan saya supaya melupakan hasrat itu dan kembali menjalani terapi MS sebaik selesai bersalin kerana bimbang gejala MS akan berulang.

Bagaimanapun, saya perlu mendapatkan pandangan kedua dari doktor wajarkah tindakan saya untuk terus menyusukan anak selepas bersalin. Adakah dengan menyusukan anak gejala MS saya akan berulang dan membahayakan bayi.

Terima kasih doktor.

Munira
Labis, Johor

Jawapan:

ASSALAMUALAIKUM Puan Munira,

Saya amat bersimpati dengan apa yang puan alami sekarang dan berdoa semoga puan dapat menghadapinya dengan sabar. Terima kasih kerana sanggup berkongsi masalah puan dengan pembaca.

Bagi pembaca, penyakit multiple sclerosis (MS) adalah penyakit berpunca dari masalah autoimmune. Penyakit autoimmune berlaku apabila sel-sel imuniti melawan sel-sel normal yang lain walaupun dalam satu badan yang sama. Ini tidak sepatutnya berlaku kerana sel-sel imuniti sepatutnya kenal akan rakan sel-sel yang lain.

Kesan dari autoimmune ini adalah radang yang boleh merosakkan lapisan myelin (myelin sheath) iaitu penutup perlindungan bagi sel-sel saraf pada sistem saraf. Sistem saraf adalah termasuk otak, saraf tunjang dan saraf optik. Kerosakan pada lapisan myelin menyebabkan isyarat-isyarat saraf akan menjadi lembap atau terhenti dari menghantar isyarat.

Pesakit-pesakit MS akan mengalami pelbagai masalah yang berkaitan dengan saraf. Contohnya mereka mengalami masalah mengimbangi badan dan koordinasi; kebas; kejang otot; mengawal koordinasi tangan dan kaki terutama ketika berjalan dan lemah badan. Mereka juga sukar mengawal kencing dan buang air besar dan percakapan mereka juga sukar difahami. Semua ini mempunyai pelbagai darjah permasalahan berbeza.

Semua gejala tadi boleh berlaku dalam beberapa hari, minggu atau bulan. Gejala MS juga boleh berkurangan atau hilang sama sekali (remission) sebelum berulang semula (relapse). Penyakit MS boleh menjadi kronik dan lebih teruk.

Puan Munira, saya rasa anda sangat bernasib baik kerana pakar neurologi membenarkan puan hamil dan puan dapat hamil dalam masa yang singkat. Memang banyak kajian menunjukkan pesakit-pesakit MS tidak ada masalah semasa mengandung mahupun ketika bersalin nanti.

Anda memang boleh bersalin secara normal. Sebenarnya hamil adalah satu perlindungan bagi pesakit MS kerana pada waktu puan hamil sistem imun menjadi kurang aktif dan steroid yang banyak dapat mencegah ia berulang semula dari berlaku.

Apa yang menjadi masalah pertamanya walaupun ‘remission’ berlaku semasa puan mengandung (kiraan 12 bulan iaitu tiga bulan sebelum hamil dan sembilan bulan semasa hamil), ‘relapse’ adalah tinggi selepas bersalin iaitu kira-kira 20 hingga 40 peratus. Relapse kebiasaannya berlaku pada tiga hingga enam bulan pertama selepas bersalin.

Ini yang membuatkan pakar neurologi puan bersungguh-sungguh mahu mempercepatkan rawatan sebaik saja puan bersalin bagi mengelak ‘relapse’ berlaku. Puan boleh bayangkan bagaimana puan dapat menjaga bayi puan ketika ‘relapse’ tanpa bantuan orang lain dan mungkin juga puan tidak bermaya dan sukar untuk berjalan.

Keduanya, walaupun pesakit MS mempunyai risiko komplikasi mengandung seperti darah tinggi, kencing manis dan lain-lain lagi adalah sama dengan pesakit hamil tanpa MS. Tetapi disebabkan rawatan MS memerlukan ubat yang ‘toksik’, maka puan diberhentikan dari ubat-ubat itu tiga bulan sebelum puan merancang untuk hamil dan sembilan bulan semasa hamil.

Adakah ubat-ubat itu patut juga diberhentikan selepas puan bersalin? Seperti yang saya terangkan di atas, ‘relapse’ adalah tinggi selepas bersalin. Oleh itu, doktor tidak membenar puan menyusukan bayi puan kerana beliau mahu memulakan rawatan ubat-ubatan secepat mungkin selepas setahun diberhentikan. Puan sudah diberitahu oleh doktor mengenai ubat MS yang boleh masuk ke dalam susu puan dan boleh menjejaskan kesihatan bayi puan.

Perkara yang doktor puan bimbangkan adalah kesan sampingan ubat itu terhadap bayi puan dan bukannya penyusuan badan itu sendiri. Penyusuan badan dan penyakit MS tidak menyebabkan ‘relapse’ meningkat tetapi lambat memulakan rawatan adalah punca ‘relapse. Biarpun peratusan ‘relapse’ tidak berlaku selepas bersalin adalah 60 hingga 80 peratus, persoalannya adakah puan sanggup mengambil risiko itu?

Saya kira kalau puan sangat berhajat hendak menyusukan bayi untuk jangka masa pendek, eloklah berbincang dengan doktor puan. Ramai pesakit MS memilih untuk menyusukan bayi mereka dengan susu formula dan memulakan rawatan secepat mungkin. Saya harap puan faham dengan penjelasan ini.

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan