Label

KELUHAN PESAKIT BARAH RAHIM (SAKIT PUAN)

SAYA kini berumur 58 tahun dan suami saya 56 tahun. Hubungan kelamin kami mempunyai masalah selepas saya mengalami menopaus.

Pada 1997, saya menerima rawatan radioterapi luar dan dalam faraj di Singapura dalam tempoh lebih sebulan kerana saya menghidap barah rahim.

Doktor mencuba untuk membuang melalui pembedahan tetapi gagal disebabkan rahim saya melekat pada dinding. Justeru, saya dihantar ke Singapura dan sejak itu saya tidak lagi datang bulan yang dikira menopaus.

Doktor sakit puan menyatakan selepas beberapa tahun, saya sudah bebas daripada penyakit itu, barangkali doa daripada keluarga. Sejak mendapat tahu saya menghidap penyakit terbabit, saya berpantang makan daging.

Hubungan kelamin kami pada permulaannya berjalan lancar, tetapi sejak tahun lalu, kami seperti ada masalah seolah-olah faraj saya sukar menerima.

Menurut doktor sakit puan, ukuran faraj saya semakin pendek selepas menerima rawatan berkenaan.

Saya dalam kebingungan kerana suami saya masih aktif dan seperti biasa, kami menggunakan pelincir.

Saya ingin tahu sekiranya ada rawatan lain supaya ukuran faraj saya normal kembali. Harap doktor dapat membantu hubungan kami suami isteri.

Bingung,
Kuala Lumpur

SEKIRANYA anda berada di Kuala Lumpur, eloklah anda berjumpa pakar sakit puan yang turut mempunyai kemahiran tambahan dalam bidang kanser sakit puan. Terdapat pakar sedemikian di Lembah Klang sama ada di beberapa hospital kerajaan mahupun swasta.

Adakah anda mengalami kanser rahim (lebih merujuk kepada kanser endometrium dalam dinding rahim) atau sebenarnya serviks (pangkal rahim)?

Apa yang anda alami adalah kesan daripada radioterapi itu. Radioterapi dalam faraj (brachy-terapi) boleh memberikan kesan sedemikian sehingga sebahagian faraj tertutup atau bercantum. Untuk makluman puan, rawatan radioterapi ini sudah ada di negara kita seawal 1997.

Pemeriksaan doktor mungkin mendapati hanya sebahagian iaitu penghujung faraj saja yang dapat dilihat menggunakan alat spekulum bersaiz paling kecil (itu pun anda mungkin mengalami kesakitan) manakala serviks atau pangkal rahim yang terdapat di pangkal faraj pula tidak kelihatan.

Jika keseluruhan faraj dapat dilihat sehingga menampakkan serviks di pangkalnya, maka lazimnya ia bukanlah akibat kesan radioterapi tetapi kesan menopaus yang menipiskan dinding faraj sehingga anda berasa kekeringan dan tidak selesa sewaktu hubungan seks penetratif. Cuma dalam keadaan ini, keluhan yang diberi bukanlah faraj yang terasa pendek tetapi sempit dan kering.

Penting juga untuk doktor menilai sama ada masih terdapat aktiviti kanser terbabit. Dalam keadaan rahim yang melekat pada dinding sehingga pembedahan terpaksa dihentikan, ia bukanlah kanser peringkat awal. Seeloknya anda teruskan menjalani rawatan susulan dengan doktor.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan