Label

RISAU JEJAS IBADAH (SAKIT PUAN)

Wanita mahu berangkat mengerjakan umrah bimbang ibadat dibatasi haid

Soalan

SAYA berumur 40 tahun. Saya akan mengerjakan umrah bermula 24 Mac hingga 7 April depan. Haid saya teratur di mana selalunya bermula pada 26 hingga 2 hari bulan setiap bulan.

Jika kitaran haid saya bermula pada bulan Mac, saya akan berada di dalam hadas besar ketika mengerjakan umrah dan ini menyebabkan banyak ibadat yang saya tidak dapat laksanakan.

Soalan saya, apakah ada ubat yang boleh saya ambil untuk membuatkan haid saya datang awal dan kering sebelum saya berangkat ke Makkah pada 26 Mac. Atau mungkin doktor ada nasihat untuk saya atasi persoalan ini.

Sekian, terima kasih.

Noor,
Selangor

JAWAPAN

ADA dua cara bagaimana kita boleh melambatkan haid tetapi kedua-dua kaedah ini menggunakan hormon. Pada kitaran haid yang normal, ada dua jenis hormon iaitu estrogen dan progesteron yang memainkan peranan penting.

Progesteron adalah hormon yang terhasil selepas ovulasi berlaku pada hari ke 14 haid. Paras progesteron akan memuncak tinggi dan terus berada pada tahap tinggi sekiranya berlaku persenyawaan dan implantasi embrio dalam rahim.

Sekiranya kandungan tidak menjadi, maka paras progesteron yang turun dan dinding akan luruh menjadi haid. Oleh itu berpandukan fakta di atas, kita boleh cuba mengawal atau melambatkan haid untuk turun.

Sekiranya puan mengamalkan pil perancang keluarga sebagai langkah mencegah kehamilan, puan boleh mengambil pil ini secara ‘back-to back’. Apa yang saya maksudkan di sini ialah selepas habis pil 21 biji itu, puan perlu teruskan dengan paket 21 biji yang baru tanpa mengambil ‘cuti rehat selama tujuh hari’.

Sesiapa yang mengambil pil perancang tahu mereka perlu mengambil pil satu biji sehari selama 21 hari (satu paket mengandungi 21 biji). Selepas itu, mereka perlu tunggu haid datang beberapa hari kemudian dan memulakan paket yang baru selepas hari terakhir haid.

Mengambil pil ‘back-to back’ ini boleh dilakukan berterusan selama tiga paket berturut-turut. Berikutan puan akan berada di Makkah lebih kurang dua minggu, saya cadangkan ambil dua paket saja.

Bagi sesiapa yang menginginkan kaedah pil perancang sebagai cara melewatkan haid, saya syorkan gunakan lebih awal beberapa bulan sebelum pergi umrah atau haji kerana ia lebih berkesan. Ketika mengambil ini, dinding rahim akan terus menebal tetapi ovulasi tidak akan berlaku. Ada beberapa kesan sampingan ketika mengambilnya seperti ‘break through bleeding’, sakit perut dan ‘bloating’.

Jika puan tidak menggunakan pil perancang diatas, kaedah lain adalah menggunakan hormon noretisterone. Contohnya, Primolut-N. Noretisterone adalah hormon progesteron. Banyak hormon-hormon pregesteron yang lain di pasaran.

Noretisterone ini perlu diambil tiga hari sebelum haid dijangka keluar. Ia boleh selama dua minggu sebelum ‘break through bleeding’ berlaku. Saya rasa ini cukup untuk puan mengerjakan umrah di Makkah. Pil ini boleh diambil sebiji tiga kali sehari atau tiga biji sekali sehari dan berterusan selama dua minggu maksimum.

Selepas berhenti mengambil pil noretisterone ini, haid akan datang dalam masa dua hingga tiga hari. Perlu saya ingatkan di sini bahawa haid turun selepas ditahan untuk beberapa minggu akan banyak, berketul dan sakit. Pengambilan progesteron ini boleh menyebabkan kenaikan berat badan, tekanan, pening, demam, sakit kepala, fluid retention dan gangguan pada paras glukosa dalam darah.

Saya syorkan puan berjumpa dengan doktor mengenai masalah untuk melewatkan haid puan. Mengambil hormon-hormon tidak 100 peratus menjamin haid dapat ditangguhkan sehingga puan kembali ke Malaysia kerana masalah ‘break through bleeding’ agak sukar dibendung kerana dinding rahim yang terlalu tebal tetap akan luruh. Tambahan, jika puan selalu terlupa atau tidak mengikut waktu mengambilnya, maka pendarahan boleh terjadi. Semoga puan selamat mengerjakan umrah dan kembali dalam keadaan sihat.

(Sumber Berita Harian)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan