SAYA mempunyai seorang anak berusia tujuh bulan. Selepas melahirkan anak pertama, saya mengambil suntikan perancang iaitu suntikan Depo Provera. Saya baru mengambil suntikan itu dua kali iaitu pada November 2012 dan Januari 2013.
Masalahnya, sejak awal Januari lalu sehingga kini, haid saya masih tidak kering sehinggakan setiap masa saya perlu memakai tuala wanita.
Namun kuantiti darah haid yang keluar hanya sedikit. Saya dijadualkan untuk menerima suntikan ketiga pada 9 Mac lalu, tetapi tidak berbuat demikian kerana khuatir masalah haid saya berkaitan dengan suntikan terbabit.
Adakah masalah ini berkaitan dengan suntikan atau ada masalah lain? Bantulah saya kerana saya tidak dapat menunaikan tanggungjawab saya sebagai seorang hamba Allah dan seorang isteri.
Kartini,
Pusat Darah Negara, Kuala Lumpur.
SEBELUM menggunakan sesuatu kaedah pencegah kehamilan, anda sepatutnya menjalani pemeriksaan doktor.
Pada masa sama, doktor akan menerangkan kebaikan serta kesan sampingan setiap kaedah yang terdapat di situ. Penting untuk seseorang mengetahui kesan sampingan sesuatu kaedah supaya dia tidak cemas apabila mengalaminya.
Selain itu, sekiranya dia tidak sanggup menerima kesan sampingan itu, bolehlah dia memilih kaedah lain dari awal.
Kaedah suntikan pencegah kehamilan adalah kaedah yang sangat berkesan.
Namun ia boleh menyebabkan gangguan haid seperti yang anda alami. Namun sebaliknya, selepas setahun penggunaannya, ramai pengguna yang mengalami ketiadaan haid pula. Ini tidak membahayakan dan tidak perlu dibimbangkan, asalkan anda sudah menjalani pemeriksaan doktor.
Sekiranya anda lebih gemarkan ketiadaan haid berbanding masalah haid anda sekarang, anda perlu bersabar sehingga penghujung setahun penggunaannya.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
jemput ke blog saya www.lexee4ever.blogspot.com
BalasPadam