SAYA berusia 36 tahun dan sudah berkahwin selama lapan tahun tetapi belum dikurniakan zuriat.
Saya pernah keguguran pada 2009 dan pada tahun lalu, saya membuat rawatan kesuburan di hospital dan ujian HSG. Didapati tiub fallopio kanan saya tersumbat. Saya kemudian melakukan rawatan IUI sebanyak tiga kali tetapi gagal, disusuli dengan rawatan IVF.
Hasilnya saya hamil tetapi saya mengalami kehamilan ektopik. Pembedahan dijalankan dan saya sudah membuang tiub yang rosak itu.
Persoalannya, bagaimana fungsi ovari tanpa tiub fallopio? Adakah keadaan ini boleh mendatangkan risiko kanser?
Shaja,
Kuala Lumpur
TANPA tiub fallopio, ovari masih boleh berfungsi. Ini kerana ovari mempunyai bekalan atau salur darahnya sendiri. Hormon daripada ovari pula memberi tindakan melalui salur darah dan bukannya melalui saluran tiub fallopio.
Haid anda juga sepatutnya teratur seperti sebelumnya. Cuma mungkin anda boleh mengalami pendarahan berwarna coklat berpanjangan selepas haid dijangka habis jika sebahagian pangkal tiub masih ada.
Malah secara kajian, risiko kanser ovari dijangka menurun bagi mereka yang menjalani pembedahan menutup tiub fallopio. Namun anda harus faham risiko kanser juga boleh meningkat disebabkan faktor lain.
Di samping itu, anda juga boleh mendapatkan maklumat lanjut mengenai kehamilan ektopik yang dialami termasuk di bahagian mana letaknya kandungan ektopik pada tiub fallopio itu serta kemungkinan lain ia berlaku.
Dalam rawatan IVF, embrio yang sudah terbentuk dimasukkan ke dalam ruang rahim, maka secara logiknya perlekatan embrio itu juga sepatutnya berlaku di dalam rahim. Mungkin kandungan ektopik anda berada di pangkal tiub fallopio di kawasan bucu rahim. Ini dipanggil kehamilan kornual di mana kawasan bucu rahim terbabit juga mungkin terpaksa dipotong.
Maklumat ini penting untuk kehamilan akan datang. Maklumat lain termasuk penyebab kehamilan ektopik yang dikesan sewaktu pembedahan itu. Adakah anda mempunyai penyakit jangkitan pelvis atau endometriosis serta bagaimanakah keadaan dalam pelvis anda?
Adakah anda turut menerima rawatan bagi penyakit terbabit? Doktor juga mungkin akan menilai semula keperluan ubatan untuk mengawal aktiviti rahim anda dalam rawatan IVF akan datang bagi mengelakkan masalah embrio sebaliknya ditolak masuk ke dalam tiub fallopio.
Anda juga tidak menyatakan tiub fallopio mana yang mengalami ektopik itu. Jika ia tiub fallopio kanan, adakah ini bermakna hanya penghujung tiub kanan yang tersumbat sebelum ini? Bagaimanakah keadaan tiub fallopio kiri sewaktu pembedahan itu, adakah ia masih elok?
Jika tiub fallopio kiri yang mengalami ektopik (dan terpaksa dibuang), adakah tiub kanan dilakukan prosedur membuka tiub atau adakah tiub kanan juga dibuang kerana terdapat pembengkakan berair (hidrosalping)?
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan