Label

ASPIRIN KETIKA HAMIL (SAKIT PUAN)


Dos rendah bantu ibu lelah elak risiko lebih bahaya

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM
Dr Suhaimi, saya kini hamil 22 minggu anak keempat. Oleh kerana kehamilan sebelum ini saya disahkan pre-eclampsia (PE), bagi kehamilan kali ini saya terpaksa mengambil aspirin 100mg bagi mengelak PE seawal genap sebulan kehamilan lagi. Malangnya selepas saja saya mengambil aspirin, saya mengalami batuk-batuk yang sangat teruk pada sebelah malam dan tidak dapat tidur langsung.

Pelbagai jenis ubat batuk sudah saya cuba atas nasihat doktor di klinik-klinik biasa tetapi tidak mendatangkan hasil sehinggalah saya dimasukkan ke sebuah hospital swasta di bawah penjagaan pakar. Alhamdulillah, saya sembuh dengan penggunaan ubat sedut ‘symbicort’ dan saya disahkan menghidap asma. Saya ada terbaca beberapa sumber dari internet bahawa, penggunaan aspirin boleh menyebabkan asma ketika hamil, tetapi apabila berjumpa dengan dua pakar pusat perubatan berbeza termasuk tempat saya menjalani pemeriksaan bulanan kehamilan, mereka menafikannya. Bolehkah doktor memberi lau doktor dapat mengupas lanjut mengenai kaitan penggunaan aspirin yang menyebabkan asma ketika hamil.

Terima kasih, Normy

Jawapan:

WAALAIKUMSALAM Puan Normy. Kira-kira 20 peratus pesakit asma mengalami sensitiviti kepada aspirin dan ´non-steroidal anti-inflammatory´ (NSAID) iaitu ubat-ubatan yang kerap digunakan bagi untuk sakit dan demam.

Pengidap asma yang alah dengan aspirin dan NSAID mestilah menjauhi ubat-ubat ini kerana asma mereka mungkin akan menjadi serius. Saya berpendapat, mungkin puan mengalami asma semasa mengandung kali ini. Kalau puan sememangnya pengidap penyakit asma, penyakit ini mungkin menjadi lebih kerap sewaktu mengandung terutama pada waktu malam yang sejuk. Tetapi dari cerita puan tidak pula menyatakan puan adalah pengidap asma.

Jangkitan kuman dalam paru-paru seperti pneumonia boleh menyebabkan gejala seperti asma kerana bronkus-bronkus kecil dalam paru tersumbat kerana lelehan akibat dari inflamasi. Jadi puan, sementara waktu ini teruskan rawatan dengan doktor pakar dan gunakan nebuliser seperti yang dinasihatkan.

Jika puan takut akibat pengambilan aspirin ini boleh menyebabkan asma puan bertambah teruk, pakar ginekologi atau perbidanan dan sakit puan akan memikirkan bagaimana hendak mengelakkan pre-eclampsia berulang lagi seperti kandungan yang lalu dan jawapannya adalah aspirin.

Adapun aspirin yang puan ambil setiap hari adalah dalam dos yang amat rendah. Dos biasa adalah lebih tinggi daripada itu dan pengambilan aspirin dalam dos yang tinggi boleh menyebabkan masalah termasuk pendarahan semasa bersalin dan plasenta ‘abruption’. Plasenta abruption adalah keadaan yang mana uri terpisah daripada dinding rahim sebelum bayi dilahirkan.

Puan tidak perlu risau kerana doktor pakar sudah membuat pertimbangan yang sebaik mungkin untuk kebaikan puan dan bayi yang akan dilahirkan. Puan sedia maklum mengenai risiko preeclampsia seperti sawan, kerosakan hati dan buah pinggang serta pendarahan di organ-organ, terutama otak.

Bayi pula akan mengalami tumbesaran yang terbantut, berat badan yang rendah dan pramatang. Jadi risiko-risiko ini adalah lebih merbahayakan daripada alahan puan terhadap aspirin. Bagi mengelak masalah pre-eclampsia ini, doktor puan memberi aspirin dos rendah sejak puan mula mengandung lagi. Ini adalah langkah pencegahan bagi mengurangkan risiko pre-eclampsia.

(Sumber Berita Harian)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan