PEMERIKSAAN terhadap discaj dapat menentukan punca jangkitan |
Kuman, kurang hormon estrogen punca discaj
ASSALAMUALAIKUM doktor,
SAYA mempunyai anak perempuan berusia tujuh dan empat tahun. Saya dapati kedua-dua anak saya mengalami lendiran atau cecair berwarna kekuning-kuningan di seluar dalam mereka.
Saya dapati ada masa, kesan lendiran berkenaan agak berbau. Pernah saya membuat pemeriksaan sendiri ke atas anak saya sulung, didapati vaginanya mengeluarkan bau agak kuat dan agak kemerah-merahan.
Kedua-dua mereka mengadu mengalami kegatalan. Saya pastikan mereka mencuci vagina setiap kali mereka membuang air kecil.
Adakah perkara ini normal bagi usia semuda mereka? Atau berlakunya jangkitan kuman dan bagaimana untuk mengatasi masalah ini? Sila bantu saya kerana ia adalah aset penting apabila mereka dewasa kelak.
Terima kasih.
Miah
Tanjung Kling, Melaka
ASSALAMUALAIKUM,
MASALAH discaj ini, saya fikir sering berlaku pada kanak-kanak yang belum balikh. Tetapi tidak ramai ibu bapa yang membawa anak mereka berjumpa doktor untuk nasihat dan rawatan. Kebiasaannya, discaj ini berwarna kuning disertai dengan kulit di bibir faraj kemerahan dan gatal.
Ada beberapa sebab ia senang terjadi pada kanak-kanak ini. Pertama, ia persoalan kebersihan pada bahagian sulit. Ini perlu diajar dari kecil. Selepas ke tandas, cara yang baik untuk mencuci bahagian bawah adalah dengan mencuci dari arah depan ke belakang dan bukan sebaliknya.
Ini bertujuan bagi mengelak najis dari dibawa ke depan dalam vagina dan pundi kencing. Selepas itu lap hingga kering. Kalau digunakan pencuci, elak sabun terutama yang berparfum.
Segelintir kanak-kanak boleh mengalami allergi atau alah pada bahan kimia berkenaan. Pencuci yang baik antaranya Lactasyd dan Sebamed yang mempunyai pH sama seperti kulit manusia.
Selepas itu, lap hingga kering. Seluar dalam yang baik jika mempunyai alahan atau kegatalan pada bahagian bawah adalah jenis kapas. Elak memakai seluar yang ketat kerana boleh menyebabkan perpeluhan.
Kedua-dua discaj ini boleh disebabkan jangkitan kuman. Discaj dari jangkitan kuman selalunya banyak dan berbau. Contohnya ialah Candida. Candida boleh menyebabkan seseorang mengalami discaj yang berketul dan gatal.
Tetapi bagi kanak-kanak ini adalah amat jarang terjadi. Ini lebih pada golongan dewasa terutama yang mengandung. Kuman lain boleh juga menjangkiti vagina dan memerlukan penyiasatan bagi memastikan punca sebenar.
Kadangkala cacing kerawit dan benda asing seperti pasir boleh masuk ke dalam vagina dan menimbulkan masalah discaj ini.
Dari pengalaman saya, ada kes-kes kanak-kanak yang dibawa oleh ibu mereka kerana discaj pada seluar dalam. Ujian bakteria kebanyakannya negatif. Discaj yang bukan berpunca dari jangkitan kuman adalah disebabkan oleh kekurangan hormone estrogen pada kanak-kanak ini.
Ada dua peringkat umur di mana seseorang itu akan mengalami kekurangan hormone estrogen iaitu semasa zaman kanak-kanak dan menopaus. Akibatnya vagina akan menjadi kering. Lapisan dinding vagina menjadi nipis dan sedikit jangkitan kuman akan menyebabkan discaj kuning dan kadangkala perdarahan.
Tambahan lagi perlindungan semula jadi vagina iaitu asid amat berkurangan. Ini mengakibatkan mudah vagina dijangkiti. Jika kekurangan estrogen adalah puncanya rawatan yang kami beri adalah sedikit krim estrogen untuk disapukan dan bukannya antibiotic.
Puan tidak perlu khuatir mengenai masalah ini kerana ia bersifat sementara di mana apabila ovari mula aktif, masalah akan hilang. Jika puan risau bawalah anak puan berjumpa doktor untuk pemeriksaan selanjutnya.
(Sumber Berita Harian)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan