Saya musykil dengan ubat perancang jenama Yaz. Adakah ubat perancang ini boleh mendatangkan kesan sampingan misalnya darah beku dan kanser?
Saya bersalin secara pembedahan anak pertama dan ingin merancang keluarga. Adakah sebarang panduan yang selamat untuk merancang? Sekiranya saya menggunakan Yaz, adakah saya boleh kembali hamil selepas penggunaannya?
Adakah kemungkinan saya bersalin normal untuk anak kedua kerana saya mengalami masalah air ketuban sedikit dan bayi kecil semasa kandungan bulan kelapan sebelum ini?
Wawa
Johor Bahru, Johor
Saya akan menjawab secara umum bagi pil perancang berhormon kombinasi, tanpa merujuk kepada mana-mana jenama.
Sebenarnya, risiko darah beku terjadi lebih tinggi apabila wanita itu hamil daripada dia mengambil pil perancang berhormon kombinasi.
Pil perancang berhormon kombinasi juga sebenarnya menurunkan risiko kanser ovari dan kanser endometrium rahim sehingga 50 peratus. Kajian juga sebaliknya mendapati risiko kanser serviks meningkat dengan pengambilan pil ini tetapi ini disanggah oleh pendapat bahawa kumpulan kajian itu mungkin turut mengamalkan seks rambang dan itulah (seks rambang) yang secara tidak langsung menaikkan risiko kanser serviks.
Apapun, kanser serviks boleh dibantu pencegahannya dengan ujian Pap smear berkala dan ditambah perlindungannya dengan vaksin HPV. Kanser ovari dan kanser endometrium pula tidak dapat dicegah menggunakan ujian saringan atau vaksin, kedua-duanya hanya dapat dikesan pada peringkat awal.
Banyak kaedah merancang keluarga yang termasuk dalam kategori sangat berkesan. Ini termasuk kaedah pil, suntikan hormon progestin, alat dalam rahim dan implan. Anda perlu diperiksa atau disaring oleh doktor sebelum diberikan pilihan yang sesuai, kemudian barulah anda membuat keputusan. Ini kerana setiap kaedah terbabit sememangnya berkesan dalam mencegah kehamilan, tetapi mempunyai kesan sampingan yang tidak semestinya sedia diterima oleh setiap wanita.
Semestinya kaedah pil membolehkan seseorang hamil semula. Pil juga termasuk dalam kaedah merancang sementara saja, bukannya kekal. Kebanyakan wanita kembali subur seperti sebelumnya dalam masa enam bulan hingga setahun selepas berhenti penggunaannya.
Anda tidak memberi maklumat lanjut mengenai keadaan yang menyebabkan air ketuban sedikit dan bayi bersaiz kecil. Kebiasaannya ia tidak berkaitan, kecuali jika ia disebabkan oleh faktor dalaman anda seperti pemakanan, namun ini sangat jarang.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan