Label

RISAU KEPUTIHAN TAMBAH TERUK (SAKIT PUAN)

Gambar Hiasan


Soalan:

ASSALAMUALAIKUM
doktor, saya ibu berumur 33 tahun dan memiliki lima anak yang berumur antara empat tahun hingga 12 tahun. Saya bekerja di jabatan kerajaan.

Saya mengambil pil perancang keluarga selepas anak kelima saya yang kini berusia empat tahun tiga bulan. Masalah saya ialah sejak awal 2010, saya mula mengalami keputihan. Keputihan saya sedikit pada mulanya dan berwarna putih cair serta akan hadir antara dua hingga tiga hari dalam sebulan.

Sehingga pertengahan 2010, keputihan semakin banyak malah boleh dikatakan setiap hari ada. Kadangkala berwarna kekuningan, coklat, seperti nanah pekat dan gatal-gatal sehinggalah saya terpaksa menggunakan pantiliners kerana merasa tidak selesa.

Ia mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan walaupun saya memakai pantiliners. Kadangkala, saya rasa kesakitan di bahagian ari-ari dan juga perut seperti urat kejang. Keadaan ini menyebabkan saya malu untuk banyak bergerak di pejabat kerana takut bau kurang menyenangkan mengganggu orang lain.

Hubungan intim dengan suami juga saya jarang lakukan. Ini kerana saya malu dan saya terpaksa beritahu suami keadaan saya sebenarnya dan bukanlah kerana saya menolak tanpa sebab.

Saya kasihankan suami tapi dalam masa yang sama saya tidak mahu suami rasa tak selesa dengan keadaan saya. Keadaan ini juga menyulitkan saya untuk beribadat dan saya terpaksa bersihkan alat sulit saya setiap kali sebelum solat atau bersama suami.

Suami pernah menasihatkan saya supaya membuat pemeriksaan doktor, tetapi saya malu dan merasa takut.

Kali terakhir saya melakukan ujian pangkal rahim (pap smear) ialah pada Disember 2009. Apa pendapat doktor mengenai masalah ini dan apa yang harus saya lakukan?

Ida
Sandakan, Sabah.

Jawapan:

ASSALAMUALAIKUM
Puan Ida, pendapat saya sama dengan suami puan. Mudah saja, puan perlu berjumpa dengan doktor. Jika puan boleh menolak perasaan malu dan takut sekarang, saya fikir puan tentu bersyukur pada masa depan selepas puan mendapat rawatan dengan doktor.

Perkara yang paling saya takut berlaku di kalangan wanita adalah kanser servik. Puan tentu tahu yang kanser servik pada masa sekarang banyak berlaku di kalangan wanita muda dan kanser servik adalah penyebab kematian kedua selepas kanser payudara.

Sedangkan saringan awal boleh dilakukan dengan pap smear. Banyak masalah wanita di negara ini mereka tidak melakukan pap smear kerana perasaan malu dan takut sakit walaupun mereka hanya mendengar dari cakap orang saja.

Apa yang saya ingin kemukakan ialah puan perlu melakukan ujian pap smear ini secara konsisten dan tidak boleh ponteng.

Kanser servik mempunyai gejala-gejala seperti yang puan jelaskan. Antara gejala lain adalah lelehan berdarah, darah keluar selepas hubungan seksual dan susut berat badan serta kurang selera makan.

Walaupun kanser servik jarang sekali jika dibandingkan dengan jangkitan vagina, tetapi ia akan memberikan kemudaratan kepada puan. Dari apa yang puan nyatakan saya berpendapat, mungkin ini adalah jangkitan vagina yang merebak ke dalam pelvis atau perut.

Di peringkat awal 2010, puan mempunyai masalah ‘erosion’ pada permukaan servik. Pil perancang boleh menyebabkan pintu servik yang dindingnya diselaputi sel endothelium terbuka dan terdedah pada jangkitan dalam vagina. Lelehan berbentuk lendir jernih dan banyak serta jika sudah dijangkiti, ia bertukar menjadi hijau-kekuningan, berbau dan gatal jika terlalu banyak.

Jika jangkitan kulat candidiasis lelehan menyerupai dadih kental dan amat gatal. Jangkitan parasit trichomoniasis juga menyebabkan lelehan kehijauan yang banyak dan gatal. Banyak kuman-kuman lain seperti streptococci dan vaginosis boleh menyebabkan lelehan yang sama.

Oleh kerana sukar menentukannya, kami akan mengambil contoh lelehan ini untuk dihantar ke makmal bagi menentukan punca sebenar. Ujian ini memerlukan puan berjumpa dengan doktor. Setelah disahkan punca kuman ini, rawatan sebenar dan tepat dapat diberikan.

Apabila jangkitan menjadi serius dan kronik, jangkitan akan merebak ke dalam rahim, saluran fallopian dan seterusnya ke dalam pelvis. Ini di kenali sebagai penyakit Inflamatori Pelvis (PID). Tanda-tanda PID adalah sakit di bahagian ari terutama bila diperiksa, rasa demam yang tidak kebah dan lelehan berupa nanah.

Darah haid semasa ada PID ini selalunya banyak dari biasa, panjang dan berketul. Rawatannya mudah dengan mengambil antibiotik sama ada dalam bentuk kes kecil dan sederhana dan suntikan melalui darah kalau serius.

PID jika tidak dirawat dengan betul boleh menyebabkan nanah terjadi dalam pelvis dan juga saluran fallopian. Jangkitan boleh menyebabkan saluran fallopian tersumbat dan sukar untuk mengandung. PID juga boleh menyebabkan sakit pada perut berpanjangan.

Sehubungan itu, untuk kebaikan puan dari segi kebersihan diri, kebahagiaan rumah tangga saya syorkan puan berjumpa dengan doktor dengan segera. Puan akan berterima kasih pada suami puan kerana membantu puan menyelesaikan masalah ini segera.

(Sumber Berita Harian)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan