Label

TELAN JAMU MERAGUKAN (SAKIT PUAN)

Wanita disahkan alami PCOS disyorkan guna kaedah IUI, pembedahan atau IVF jika ingin hamil

SAYA sudah berkahwin selama enam tahun dan masih belum dikurniakan cahaya mata. Saya disahkan mempunyai masalah ovari polycystic (PCOS).

Kedatangan haid saya tidak teratur dan pihak hospital memaklumkan satu-satunya cara untuk saya hamil ialah melalui kaedah persenyawaan tabung uji (IVF) dan keputusan pun hanya 50/50. Saya dan suami pekerja biasa dan tidak mempunyai sumber kewangan yang mencukupi untuk melakukan kaedah terbabit.

Pelbagai jamu (yang didaftarkan di bawah Kementerian Kesihatan) daripada pelbagai syarikat di Malaysia sudah saya cuba bagi mengatur kembali kitaran haid dan mengatasi masalah ini, tetapi keputusannya mengecewakan.

Justeru, rakan saya menyarankan saya menggunakan sejenis jamu (Jamu Susuk Dara). Daripada pengakuan beberapa pasangan, ia berjaya membuatkan mereka mendapat cahaya mata walaupun mempunyai masalah yang sama dan sudah berkahwin lebih 10 tahun.

Adakah jamu itu selamat digunakan kerana saya tidak menjumpai sebarang pelekat daripada Kementerian Kesihatan atau sebarang kod pendaftaran yang menunjukkan jamu itu didaftarkan dan selamat digunakan. Lagipun, penggunaan jamu itu agak berlainan daripada jamu lain iaitu jamu ini perlu dimasukkan ke dalam bahagian sulit dan bukannya dimakan atau diminum.

Kamsiah
Puchong, Selangor


SESEORANG wanita dikatakan mempunyai PCOS jika dia mempunyai dua daripada tiga perkara berikut:

1. Masalah telur tidak matang (anovulasi) atau jarang matang (oligo-ovulasi). Ini boleh dikesan menggunakan pemantauan ultrabunyi pelvis ataupun menggunakan ujian darah. Secara amnya haid yang jarang-jarang iaitu tiga hingga empat kali setahun lazimnya petanda anovulasi atau oligo-ovulasi.

2. Berlebihan hormon kelelakian. Ini ditunjukkan melalui ciri-ciri kulit kasar, berminyak atau berjerawat, mempunyai taburan bulu roma yang lebat misalnya pada kawasan misai atau janggut.

3. Ultrabunyi ovari menunjukkan banyak cyst kecil yang lazimnya berada hampir pada permukaan ovari. Namun, tidak semua yang mempunyai ovari sedemikian mempunyai masalah sukar hamil, justeru hasil keputusan ultrabunyi saja tidak mencukupi untuk melabelkan seseorang wanita itu tidak subur akibat PCOS.

Sekiranya anda hanya mempunyai masalah PCOS (ini bermakna tiub fallopio dan rahim anda normal serta sperma suami juga baik) rawatan kesuburan bagi anda adalah secara ubat pil dalam dos yang sesuai sehingga ia menunjukkan ovari anda dapat menghasilkan telur matang.

Jika ia masih gagal, anda perlu bertukar kepada jenis ubat kesuburan suntikan dan dalam dos yang dipantau lebih kerap untuk mendapatkan hasil yang dikehendaki. Hanya setelah ovari dapat menghasilkan telur matang, barulah doktor menyarankan teknik bantuan tambahan seperti permanian berhadas (IUI). Jika tidak berjaya, pilihan rawatan lain adalah secara pembedahan ataupun secara IVF.

Anda harus berhati-hati dengan pengambilan sesuatu ubat atau bahan. Semak teliti kelulusan yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan contohnya sama ada ia diluluskan sebagai bahan ubat atau diluluskan hanya sebagai bahan tambahan atau suplemen saja.

Saya tidak dapat menjawab soalan selanjutnya mengenai produk yang dinyatakan melainkan apabila hasil keberkesanannya disahkan.

Kajian perubatan moden adalah berlandaskan kajian beberapa fasa, hasilnya juga perlu disahkan menggunakan analisa statistik. Banyak kajian perubatan yang menunjukkan angka keberkesanan melebihi angka keburukan, tetapi apabila diuji secara analisa statistik, rupa-rupanya perbezaan angka atau hasil terbabit tidaklah signifikan untuk diterima pakai, justeru keberkesanan ubat terbabit masih diragui.

Barangkali apa yang anda dapati atau dengar adalah hasil kajian pemerhatian saja. Sukar untuk menyatakan bentuk kebaikan melebihi keburukan produk sedemikian, kesanggupan seseorang menggunakannya bolehlah dijadikan bahan bukti atau bahan uji produk terbabit. Apapun diharapkan bahan uji ini tidak menimbulkan kesan buruk yang dikesali kelak.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan