Label

BIMBANG GUGUR BERULANG (SAKIT PUAN)

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM doktor, saya ibu muda berusia 30-an dan memiliki anak yang sudah meningkat dewasa. Anak pertama dan kedua adalah perempuan berusia 17 dan 16 tahun manakala anak ketiga lelaki berusia 15 tahun.

Pada pertengahan 2006, saya mengalami keguguran dan melakukan DNC di hospital kerajaan. Selepas itu, pada awal 2007, saya disahkan mengandung kembar. Namun, sayangnya kandungan saya hanya dapat bertahan selama 28 minggu kerana bayi kembar mengalami risiko Twin-to-Twin Transfusion Syndrome (TTTS). Saya pula mengalami jangkitan kuman sehingga dimasukkan ke ICU.

Ketika itu, saya mendapat tahu dan disahkan mengalami sista ovari di kilang telur, selepas melakukan pembedahan appendix pada November 2010. Pada Mei 2011, satu lagi pembedahan dilakukan untuk membuang batu hempedu.

Persoalan saya ialah adakah saya masih berpotensi mengandung kembar tanpa sindrom TTTS dan apakah risiko hamil jika sista ovari saya tidak dibuang?

Jawapan:

ASSALAMUALAIKUM Puan Zuraida, pertamanya, persoalan adakah puan berpotensi mengandung kembar tanpa TTTS? Kebarangkalian mengandung kembar secara semula jadi adalah kembar dua sebanyak 15 dalam 1,000 kehamilan. Manakala kembar tiga pada kadar satu dalam 5,000 kehamilan manakala kembar empat sebanyak satu dalam 360,000 kehamilan. Kembar lima ke atas adalah amat jarang sekali tetapi ia masih boleh berlaku juga tetapi survival anak adalah terlalu tipis.

Ada beberapa faktor lain yang menyebabkan kandungan kembar meningkat iaitu sejarah pernah mengandung kembar, sejarah keluarga yang mempunyai kembar, meningkatnya jumlah anak dan umur ibu.

Contohnya, umur ibu lebih dari 35 tahun adalah 22 dalam 1,000. Sementara lebih 45 tahun pula 57 dalam 1,000. Faktor lain bangsa dan penggunaan bantuan reproduksi seperti Clomiphene sebagai ejen induksi ovulasi meningkat 10 peratus, Inseminasi Uterin (IUI) meningkat 10 hingga 20 peratus serta kaedah tabung uji (IVF) dengan dua embrio meningkat ke 20 hingga 30 peratus.

Di sini, puan boleh lihat kebarangkalian puan mendapat kembar dua adalah dalam 15 hingga 20 dalam 1,000 dan bagaimana pula kebarangkalian untuk kembar puan mendapat TTTS? Bagi pembaca lain, TTTS atau Twin-to-Twin Transfusion Syndrome adalah satu keadaan di mana terdapat saluran-saluran darah di antara kembar ini bercantum antara satu sama lain di dalam uri. Ini menyebabkan ketidakseimbangan peredaran darah di mana darah dari satu kembar 'penderma' berpindah ke kembar satu lagi yang dikenali sebagai kembar 'penerima'.

Akibat dari TTTS ini adalah kembar penyumbang akan mengalami kekurangan darah dan anemia, pertumbuhan terbantut dan air ketuban kekeringan (Oligohidramnios). Sementara kembar penerima pula akan mengalami berlebihan darah dan haemoglobin, berlebihan air ketuban (polihidramnios) dan akhir sekali berlakunya 'Fetal Hydrops'. Fetal Hydrops boleh menyebabkan kematian kepada bayi disebabkan jantung lemah.

TTTS adalah salah satu komplikasi yang boleh berlaku bila mengandung kembar. Sebenarnya, banyak lagi komplikasi-komplikasi mengandung kembar. Komplikasi boleh berlaku kepada bayi dan juga ibu. TTTS ini terdapat pada lima hingga 25 peratus kandungan kembar monokorionik dan tidak dirawat manakala 80 peratus akan meninggal. Risiko untuk mendapat monokorionik adalah amat kecil sekali. Kejadian monokorionik bukannya 'keturunan' tetapi ia terjadi secara rawak.

Saya berpendapat puan tidak perlu khuatir mengenai kembar dengan TTTS kerana untuk mendapat kembar adalah kecil tambahan pula kembar dengan TTTS.

Keduanya, persoalan apakah risiko mengandung dengan sista ovari. Kejadiannya adalah kecil, (satu peratus saja). Majoriti sista semasa mengandung adalah bukan kanser. Sista kanser hanya dalam lingkungan satu hingga dua peratus saja. Komplikasi sista semasa hamil adalah seperti sista terpulas dan menyebabkan kesakitan yang amat sangat, muntah dan demam.

Ia biasa berlaku pada akhir trimester pertama dan semasa dalam pantang. Pendarahan dalam sista juga menyebabkan sakit perut, demam dan muntah-muntah. Pecah dalam perut dan menyebabkan 'peritonitis', keguguran, lahir pramatang serta menyebabkan kedudukan bayi tidak betul semasa mengandung.

Sista perlu dibuang semasa mengandung jika mempunyai gejala-gejala terpulas, pendarahan atau pecah, disyaki kanser dan saiz lebih dari 10 sentimeter. Pembedahan selalunya dilakukan pada usia kandungan 16 minggu. Risikonya adalah keguguran tetapi ia adalah rendah. Jika sista tidak memberi apa-apa masalah dan tidak membesar ia boleh dirawat secara konservatif saja.

(Sumber Berita Harian)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan