Label

IBU MUDA SEDIH GUGUR TIGA KALI (SAKIT PUAN)


SAYA sudah dua tahun berkahwin dan mengalami keguguran sebanyak tiga kali berturut-turut tahun lalu. Keguguran pertama berlaku ketika bulan kedua perkahwinan iaitu awal 2011.

Saya tidak tahu saya mengandung ketika itu walaupun berlaku perubahan fizikal. Oleh kerana haid hanya turun sedikit selama tiga hari, saya buat ujian kehamilan seminggu selepas itu, namun jalur kedua hanya samar-samar jadi saya pergi membuat pemeriksaan di hospital. Saya positif hamil selepas imbasan ultrasound dilakukan.

Saya kerap turun darah, jadi selepas usia kandungan tujuh minggu saya ke hospital pakar, hasilnya doktor menyuruh saya untuk membuat D&C disebabkan kandungan saya tidak membesar. Imbasan hanya menunjukkan ada kantung saja. Selang dua bulan, saya hamil lagi. Saya sangka kandungan kali ini baik. Tapi apabila kandungan mencecah lapan minggu, saya mula turun darah.

Saya sempat ke hospital tetapi doktor menasihati saya mendapatkan rawatan lanjut tetapi tidak sempat. Petang selepas saya pulang dari kerja, ada ketulan darah yang keluar dan ari-ari saya sangat sakit. Jadi saya reda gugur lagi.

November lalu, saya rasa saya hamil lagi, jadi saya terus ke doktor pakar untuk rawatan lanjut. Saya disahkan hamil tujuh minggu. Saya terpaksa ke pakar untuk mendapatkan suntikan sebab doktor kata rahim saya lemah dan doktor menasihatkan saya supaya mengambil cuti sehingga usia kandungan empat bulan dan tidak membenarkan saya membuat apa-apa kerja kerana risau turun darah lagi.

Minggu ke sembilan doktor menasihati saya melakukan D&C kerana sepatutnya usia kandungan saya 14 minggu tapi saiz bayi hanya tujuh minggu. Doktor menasihatkan saya untuk menggugurkan bayi sebab kandungan saya lambat membesar dan jika saya terus hamil, risau kandungan tidak sihat.

Saya tidak mahu melakukan D&C jadi doktor memberikan ubat dan suntikan untuk menggugurkan bayi. Hari yang sama dua ketulan daging sebesar telapak tangan keluar. Alhamdulillah sebab saya rasa semuanya sudah keluar dan tidak perlu lakukan D&C sekali lagi.

Bulan lalu saya ke pakar untuk meminta nasihat untuk hamil semula, namun saya tidak berpuas hati dengan penjelasan doktor. Doktor mengatakan saya normal dan boleh hamil pada bila-bila masa saja tanpa melakukan apa-apa rawatan, suntikan atau ubatan.

Saya keliru adakah selepas ini jika berlaku kehamilan lagi, saya tidak perlu diberi apa-apa rawatan khas daripada pakar untuk memastikan kandungan saya selamat sehingga dilahirkan. Saya dan suami sangat-sangat buntu sekarang. Saya sangat teringin untuk menimang cahaya mata dalam waktu terdekat ini. Tolonglah saya doktor.

Lenna
Banting

ASSALAMUALAIKUM Puan Lenna. Masalah puan dikenali sebagai gugur berulang atau 'Recurrent Miscarriage' di mana insiden ini amat kecil iaitu satu atau dua peratus dari keseluruhan kes keguguran.

Lebih dari setengah kes gugur berulang tidak diketahui punca ia berlaku setiap kali mengandung. Mengikut definisi, ia adalah keguguran yang berlaku tiga kali berturut-turut ketika trimester pertama. Masalah ini boleh terjadi walaupun seseorang itu pernah melahirkan anak cukup bulan.

Ada dua isu di sini yang selalu pesakit sukar memahaminya sehingga menimbulkan salah faham dan rasa tidak puas hati. Isu itu adalah masalah kesuburan dan keguguran. Persoalan pertama adalah, adakah puan mengalami masalah kesuburan atau infertiliti?

Saya sependapat dengan pakar yang puan temui tempoh hari. Puan memang tidak mempunyai masalah untuk hamil. Puan dan suami sudah membuktikan yang puan pernah mengandung tiga kali. Oleh sebab itu, puan adalah normal, tidak perlu apa-apa bantuan kesuburan, rawatan dan puan boleh mengandung bila-bila masa.

Persoalan kedua adalah, adakah puan mengalami masalah keguguran? Jawapannya sudah tentu sekali ya dan ini sememangnya masalah besar puan. Masalah keguguran berturut-turut ini memang memerlukan pertolongan dari doktor pakar sekiranya puan didapati hamil sekali lagi.

Saya harap puan tidak bercelaru dengan persoalan pertama dan kedua. Ia adalah dua masalah yang berbeza. Puan hanya mempunyai masalah untuk mempertahankan kandungan puan sehingga cukup bulan.

Pada peringkat ini iaitu keguguran tiga kali berturut-turut sudah sampai masa puan dan suami perlu disiasat untuk mencari punca dan harap membantu kandungan seterusnya yang akan datang. Puan perlu berjumpa dengan doktor pakar. Ada beberapa hospital yang mempunyai disiplin khusus serta doktor pakar dan kakitangannya yang merawat masalah semasa di peringkat semester pertama termasuklah masalah kes keguguran berulang seperti kes puan.

Ada beberapa sebab yang boleh menyebabkan keguguran secara berturut-turut. Pertama, sindrom anti fosfolipid yang paling penting dan didapati 15 peratus wanita yang mengalami masalah itu. Ujian darah perlu dilakukan untuk melihat sama ada puan mempunyai antibodi antikardiolipin atau lupus antikoagulan. Kedua, genetik iaitu tiga hingga lima peratus, di mana salah seorang dari mereka adalah pembawa resiprokal seimbang (Robertsonian Translocations).

Pasangan pembawa, 'phenotypicaly'/luaran adalah normal tetapi 50 hingga 70 peratus gamet (sel jantina) yang terhasil dari persenyawaan adalah tidak seimbang atau tidak normal. Ketiga, kromosom janin tidak normal. Keempat, anatomi rahim tidak normal di mana dianggarkan, dua hingga 38 peratus wanita yang mengalami keguguran berulang mempunyai anatomi rahim yang tidak normal. Contohnya 'uterine septum' dan 'bicornuate uterus'.

Kelima, fibroid di mana 30 peratus wanita mengalami masalah ini. Kesan fibroid terhadap reproduktif wanita adalah kontroversi. Fibroid jenis submukusal dan intramural boleh menyebabkan keguguran.

Keenam, masalah Trombofilia darah. Ketujuh, jangkitan namun buktinya masih spekulatif dan tiada bukti jelas. Contoh jangkitan 'Bacterial Vaginosis'. Isu kelapan ialah masalah Endokrin seperti diabetes dan penyakit Tiroid.

Kesembilan, kelemahan servik. Kebiasaan lebih kepada keguguran pada trimester kedua. Sukar dipastikan sama ada ia punca keguguran berulang pada trimester pertama.

Di sini, puan boleh lihat amat sukar untuk menentukan punca sebenar kenapa keguguran berulang ini terjadi. Sekiranya puan berjumpa doktor pakar nanti beberapa penyiasatan akan dilakukan terhadap puan dan suami.

Ujian 'Karyotyping' darah puan dan suami boleh dikendalikan di mana kosnya adalah tinggi. Kalau boleh, semasa keguguran yang lalu, doktor sudah menghantar sampel-sampel tisu kandungan itu untuk ujian analisis sitogenik yang kosnya juga tinggi.

Saringan Trombofilia, antibodi antikardiolipin dan antikoagulan adalah ujian darah dan bacterial vaginosis memerlukan sampel diambil dari dalam vagina. Imbasan ultrasound dan histeroskopi  boleh mengenal pasti anatomi rahim yang tidak normal. Ujian diabetes dan tiroid juga dilakukan.

Puan jangan hairan jika pada akhirnya, majoriti penyiasatan ini mendapati keputusannya adalah normal. Memang sukar untuk diterima dan kami juga sukar untuk menjelaskan kepada pesakit apakah puncanya. Saya selalu nasihatkan kepada pesakit untuk berdoa kepada Allah semoga diberikan anak yang sempurna dan cukup bulan kerana kuasa doa itu lebih kuat dari ubat-ubat kami.

Apa yang penting jangan berputus asa, dengan Allah puan akan dikurniakan zuriat yang diimpikan. Perlu diingatkan bahawa gaya hidup kita perlukan perubahan bagi menambahkan lagi peluang seperti rehat banyak semasa mengandung dengan mengambil cuti lama, berhenti merokok atau suami perlu berhenti merokok dan kurangkan berat badan.

Walaupun semua ini tidak mempunyai bukti yang nyata, tetapi sekurang-kurangnya kita sudah berusaha mengurangkan risikonya.

Dari segi perubatan, di antara rawatan yang kami beri adalah menggunakan aspirin dan heparin bagi mencairkan darah, suntikan hormon progesterone atau hCG bagi membantu pertumbuhan janin di peringkat awal kandungan.

Rawatan antibiotik diperlukan bagi kes bacterial vaginosis. Istilah 'a tender loving care' yang kami gunakan untuk pesakit yang mengalami keguguran berulang bermaksud lawatan yang kerap ke klinik bagi memberi sokongan psikologi kepada mereka.

Semoga berjaya.

(Sumber Berita Harian)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan