Label

ANAK 'SUMBER KEWANGAN' DIANAKTIRIKAN (KAUNSELING REMAJA)

Abang dan kakak hanya pandai minta duit ibu bapa


BETAPA sukarnya saya untuk menerima hakikat bahawa ibu bapa bersikap pilih kasih di kalangan kami adik beradik.

Saya anak ketiga daripada lima beradik yang baru saja bekerja. Ini bukan rungutan atau enggan membantu keluarga, tapi saya mahu mereka faham gaji diterima tidak banyak.

Dengan gaji yang sedikit itu, saya sentiasa berdepan dengan keperitan kewangan, namun saya masih menghulurkan belanja buat ayah dan ibu di kampung kerana faham mereka juga sering kesempitan belanja.

Saya ikhlas membantu mereka sedaya upaya, tapi ada kalanya perasaan saya gelisah kerana berasa seperti dianaktirikan oleh ibu ayah.

Untuk pengetahuan Dr, saya ada seorang kakak sulung yang berkeluarga, namun masih menetap di rumah ayah.

Rumah itu asalnya untuk disewa bagi menambah pendapatan belanja keluarga kami terutama buat adik lain yang masih belajar.

Walaupun kakak ada menghulurkan sedikit wang pada ibu ayah, namun seharusnya dia tidak mengambil kesempatan. Dia perlu membayar sewa mengikut harga ditetapkan.

Abang pula baru memulakan perniagaan.

Ibu ayah bergolok gadai demi abang selain menghulurkan bantuan kewangan yang saya anggap datang dari hasil pemberian wang saya setiap bulan.

Saya geram kerana abang seperti mahu bersenang lenang, hanya tahu membuka mulut untuk meminjam duit saja. Malah seingat saya, dia tidak pernah membayar wang yang dipinjam itu.

Adik bongsu masih belajar dan sudah tentu dia tidak boleh menghulurkan bantuan.

Pada pendapat Dr, adakah perlu saya terus memberi duit kepada ibu bapa dalam situasi begini. Jika tidak, apakah alasan yang harus saya boleh gunakan supaya ibu ayah tidak berkecil hati.

Anak Terdesak
JOHOR

DR ucapkan terima kasih atas kesudian menghulur bantuan kewangan kepada ibu bapa walaupun dalam keadaan adik mengalami kesulitan kewangan.

Islam menjelaskan memenuhi permintaan ibu bapa lebih baik berbanding melakukan ibadat sembahyang sunat dan berpuasa sunat.

Diriwayatkan daripada Bukhari dan Muslim, Ibnu Umar berkata: "Saya bertanya kepada Nabi Muhammad SAW: Apakah perbuatan disukai oleh Allah?" Lalu Baginda bersabda: "Sembahyang pada waktunya." "Kemudian apa?" tanya saya lagi. Baginda menjawab: "Berbakti kepada kedua ibu bapa." Saya bertanya: "Apa lagi?" Jawab Baginda: "Berjihad pada jalan Allah."

Dr juga gembira adik ikhlas memberi wang buat ibu ayah. Sebaik-baiknya pemberian kepada mereka tidak dilakukan atas rasa bersalah.

Begitu juga, mengungkit akan peranan adik beradik lain dalam memberi ibu ayah wang akan lebih melukakan hati. Secara psikologi, ia memberi kesan negatif kepada emosi adik.

Seeloknya, adik secara ikhlas membantu ibu bapa dan tidak menyimpan sebarang rungutan. Jika ini berlaku, adik berkemungkinan mempunyai masalah dengan ibu ayah adik dalam jangka masa panjang yang perlu diatasi segera.

Dr memahami situasi yang adik alami. Memberi wang kepada ibu ayah tersayang dalam keadaan kewangan sempit bukan sesuatu yang mudah dilakukan. Justeru, adik perlu mengkaji kemampuan kewangan seperti berapa jumlah yang boleh diberikan.

Perbincangan dengan mereka mengenai status dan setakat mana kemampuan adik untuk membantu dari segi kewangan dapat memberi gambaran kepada ibu bapa kemampuan sebenar kewangan adik.

Dr percaya, ibu bapa adik pasti faham mengenai kesusahan adik dan tidak mahu menyusahkan anaknya. Apa yang perlu adik lakukan ialah memberitahu mereka keadaan sebenar.

Apa yang adik lakukan sangat baik dan membuktikan adik seorang anak yang ingin berbakti kepada kedua ibu bapa tersayang.

Adik boleh menghulurkan bantuan, tapi biarlah dalam keadaan termampu. Perbincangan juga mungkin dapat menghuraikan isu adik 'dianaktirikan' kerana dapat mengetahui sebab-sebab ibu bapa bertindak sedemikian.

Jika adik tidak berkemampuan membantu ibu bapa dalam bentuk kewangan, adik masih boleh membahagiakan mereka dalam bentuk kasih sayang yang muncul dalam pelbagai rupa.

Adik masih boleh berbakti kepada ibu bapa adik dengan pemberian kasih sayang dan itu lebih bermakna.

Anak yang baik tidak melupakan jasa dan kasih sayang ibu bapa. Sering kali secara emosi, ibu bapa yang diabaikan akan kesunyian, terasa disisih dan tidak dipedulikan.

Hal ini memberi tekanan perasaan dan menyebabkan kemurungan, malah jika tiada tindakan diambil akan memberi kesan kepada kesihatan fizikal dan mental ibu bapa.

Selain itu, adik boleh sentiasa memohon kepada Allah agar ibu bapa adik diberkati dan dicucuri rahmat.

Mendoakan kebaikan untuk ibu bapa juga satu bentuk memberi kasih sayang. Anak perlu sentiasa mendoakan kebaikan untuk ibu bapanya.

Firman Allah bermaksud: "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua seperti mereka mencurahkan kasih sayang memelihara dan mendidikku ketika kecil." (Surah al-Isra, ayat 24).

Amalan mendoakan kebaikan untuk ibu bapa perlu diteruskan walaupun mereka meninggal dunia.

Sabda Rasulullah bermaksud: "Apabila meninggal seseorang itu, maka terputuslah segala amalannya, melainkan tiga perkara iaitu sedekah jariah yang berterusan memberi manfaat, ilmu yang memberi kebaikan diajarkan kepada orang lain dan anak soleh yang sentiasa mendoakan kebaikan kepada kedua ibu bapanya." (Hadis riwayat Muslim).

Semoga adik berterusan menjadi anak yang berbakti kepada kedua ibu ayah tercinta dan pada masa sama dapat memelihara kesejahteraan diri.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan