Label

RISAU KEPUTIHAN TERUK JEJAS PELUANG HAMIL (SAKIT PUAN)

Soalan:

ASSALAMUALAIKUM Dr Suhaimi, saya berumur 31 tahun dan sudah berkahwin selama lima tahun tetapi masih belum mempunyai cahaya mata. Saya mengalami keputihan tetapi tidak gatal.

Dua tahun pertama perkahwinan saya membuat pemeriksaan di sebuah klinik di mana sampel darah diambil untuk diuji dan perut diimbas. Hasil pemeriksaan doktor mendapati rahim saya dalam keadaan baik dan berkedudukan cantik, ujian darah pula menunjukkan tahap kesuburan saya tinggi.

Seperti rakan lain yang sudah berjumpa doktor dan mendapat pil subur berjaya mempunyai zuriat, saya juga menyatakan keinginan untuk mendapatkan pil berkenaan. Doktor tidak berani memberinya kerana takut berlakunya perubahan hormon.

Saya dan suami nekad mencuba produk kehamilan yang popular di pasaran. Belum pun habis produk itu, suami sudah tidak mahu lagi kerana mengalami cirit-birit tujuh hingga lapan kali sehari, mungkin juga akibat mengambil makanan harian yang pedas-pedas.

Bulan Februari lalu, haid saya lewat enam hari dan mengalami sakit di bahagian perut (di bawah pusat) seperti ada bengkak di dalamnya. Saya mengajak suami ke klinik lain dan doktor mengimbas perut saya dan mendapati rahim saya normal dan tiada masalah.

Saya ada menyatakan pada doktor adakah saya berkemungkinan mengalami endometriosis? Doktor menyarankan saya mengambil pil clomiphene dulu selama dua bulan dan tidak terlalu memikirkan masalah itu.

Pada Mac lalu, haid saya lewat lagi selama tujuh hari pula. Saya lihat keluar seperti selaput berwarna putih kelabu. Suami ada menjalani pemeriksaan air mani dan didapati cuma kurang dua peratus daripada biasa.

Sekarang saya mengalami keputihan hampir setiap hari dengan kuantiti yang berbeza, berwarna kuning, kadang-kadang berketul seperti dadih tetapi tidak selalu merasa gatal. Ini membuatkan saya selalu melakukan pembersihan dengan menggunakan tisu yang dibasahkan dengan air panas.

Keputihan akan hilang dalam jangka masa pendek (selama satu hingga dua hari). Harap Doktor dapat membantu mengatasi masalah saya.

Terima kasih, doktor.

Iza

Jawapan:

ASSALAMUALAIKUM Puan Iza, daripada apa yang dibaca, saya dapati dua persoalan. Pertama adalah masalah sukar untuk mendapat cahaya mata walaupun usia perkahwinan menjangkau lima tahun dan keduanya adalah keputihan atau lelehan. Kedua-dua ini tidak ada kaitan antara satu sama lain.

Masalah lelehan ini memang kerap berlaku tetapi hendak membezakan yang mana satu lelehan penyakit dan lelehan normal memerlukan pemeriksaan vagina dan pengambilan contoh lelehan untuk ujian makmal. Lelehan normal atau lelehan fisiologi berlaku seminggu sebelum haid dan kebiasaannya putih jernih. Daripada apa yang ditulis, lelehan yang berkeping seperti dadih ini adalah berpunca dari jangkitan kulat yang dipanggil candidiasis.

Selalunya ia disertai dengan kegatalan yang amat sangat di bahagian kemaluan. Rawatannya amat mudah dengan menggunakan ubat anti kulat yang perlu dimasukkan ke dalam vagina pada waktu malam untuk beberapa malam. Ada juga ubat anti kulat dalam bentuk biji dan diambil secara oral. Saya cadangkan berjumpa dengan doktor pakar untuk pemeriksaan dan ubat.

Memang benar kami perlu masukkan satu alat yang dipanggil speculum yang berupa mulut itik untuk melihat dalam vagina dan pintu rahim. Ia tidak menyakitkan jika kita dalam keadaan tenang. Kami tidak melakukan pemeriksaan speculum semasa haid kecuali ada sebab seperti pendarahan. Kebanyakan prosedur dilakukan selepas haid seperti pap smear.

Masalah kesuburan atau infertiliti ini sukar untuk disembuhkan jika tidak mendapat komitmen 100 peratus dari kedua-dua pihak isteri dan suami. Banyak kes ketidaksuburan ini tersangkut di tengah jalan kerana pelbagai sebab peribadi dan kewangan. Sebenarnya, pada zaman sekarang banyak kaedah baru yang amat berjaya dalam mendapatkan cahaya mata. Ini adalah disebabkan ubatan yang baik dan skil doktor dan pasukan mereka yang baik. Rawatan IVF contohnya mencapai 50 hingga 60 peratus kejayaan untuk mengandung.

Bagi Puan Iza, saya cadangkan puan perlu tumpukan sepenuhnya untuk mendapatkan cahaya mata yang diinginkan kerana usia puan dan masa ketidaksuburan yang lama. Pasangan yang mengalami masalah kesuburan, akan disiasat tiga sudut. Pertama, adakah wanita mempunyai folikel-folikel (benih-benih telur) yang boleh membesar dan matang beserta dengan ovulasi. Keduanya, kami menyiasat sama ada seseorang itu mempunyai masalah saluran fallopian tersumbat dan ketiganya adakah suami mempunyai sperma yang mencukupi, normal dan aktif.

Ada beberapa sebab kenapa ovari gagal berfungsi, dalam erti kata lain ovulasi tidak dapat berlaku setiap bulan. Pertama adalah disebabkan oleh Polycystic Ovarian Syndrome (PCOS). PCOS adalah masalah endokrin yang utama pada wanita. Ia punca utama (80 peratus) kes-kes subfertiliti. Pesakit PCOS kebiasannya obes, haid tidak teratur, masalah kesuburan dan ada masalah hirsutisma. Mereka ini mempunyai masalah ovulasi kerana folikel atau telur gagal membesar dan melepaskan ova. Mereka yang mengalami endometriosis juga mempunya masalah ovulasi.

Saluran fallopian boleh tersumbat disebabkan oleh endometriosis, jangkitan kuman dalam pelvis dan sebarang pembedahan di dalam perut. Bagi suami pula, jumlah minimum sperma yang diperlukan adalah 20 juta dan lebih dari 50 peratus adalah aktif dan normal.

Di antara rawatan yang ada untuk membantu wanita subfertiliti ini adalah induksi folikel dengan menggunakan Clomiphine. Masalah Clomiphine boleh menyebabkan gemuk. Kes-kes yang gagal dengan clomiphine, kami gunakan suntikan gonadotropin. Intrauterine Insemination (IUI) adalah kaedah yang kami gunakan untuk membantu suami memastikan sperma dimasukkan terus ke dalam rahim. IUI memerlukan sperma 'dibersihkan' dulu sebelum dimasukkan.

Peringkat yang terakhir kalau IUI gagal adalah IVF atau tabung uji. IVF adalah persenyawaan dilakukan di dalam makmal selepas telur atau ove dan sperma dipertemukan dalam tabung uji. Ia lebih berjaya dari Clomiphine dan IUI.

Jadi saya syorkan puan berjumpa dengan doktor pakar kesuburan bagi membantu puan kerana masalah infertiliti berpanjangan selama lima tahun. Lagi lama puan menunggu lebih kurang peluang untuk puan hamil kerana usia dan masalah folikel-folikel atau telur yang sudah berusia. Puan boleh mencuba IUI terlebih dulu tetapi syaratnya saluran fallopian tidak tersumbat dan sperma suami adalah normal. Jika mampu, IVF adalah pilihan terbaik.

(Sumber Berita Harian)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan