Ujian lanjut seperti CT Scan, MRI boleh beri kepastian |
ASSALAMUALAIKUM doktor,
BARU-BARU ini, saya membuat ujian air kencing di rumah dan keputusannya positif. Haid lewat sembilan hari dari waktu biasa dan saya jarang lewat. Ketika membuat ujian air kencing, ada dua garisan. Bagaimanapun, garisan kedua tidak begitu jelas.
Selain itu, saya juga disahkan oleh doktor sebulan lalu menghidap sista normal. Adakah saya hamil atau disebabkan penyakit sista itu, saya sebenarnya tidak mengandung. Saya jadi buntu dan keliru.
Sekiranya saya mengandung, adakah ia mengganggu sista yang dialami dan bagaimana dengan kandungan saya? Semasa saya membuat imbasan, saiz sista berukuran 3.5 sentimeter. Adakah sista ini akan membesar bersama pembesaran kandungan saya sekiranya hamil?
Selain itu, adakah saya perlu menjaga pemakanan sekiranya mengandung dan perlu banyak berehat kerana saya bekerja yang memerlukan keluar ke lokasi tertentu untuk mensyuarat. Sejak kebelakangan ini, saya juga sering sakit pinggang dan perut seakan berdenyut. Adakah ia normal bagi pesakit seperti saya?
Lisa
ASSALAMUALAIKUM Puan Lisa,
PENJELASAN kepada masalah puan terbahagi kepada dua. Pertama, puan hamil dan mempunyai sista ovari serta kedua, puan tidak hamil tetapi mengalami masalah sista ovari dan ujian air kencing positif.
Bagi masalah pertama, ujian air kencing bagi pengesahan kehamilan adalah tepat. Tetapi tidaklah setepat dan sensitif seperti ujian Beta hCG dalam darah. Ujian kehamilan sama ada kencing atau darah akan merekodkan kewujudan Beta hCG. Bezanya ujian darah dapat merekodkan jumlah dan kadar Beta hCG dalam darah itu. Ini bermakna, ia dapat merekodkan kadar paling minimum atau positif ketika ujian air kencing menunjukkan negatif.
Apabila ujian air kencing menunjukkan samar-samar atau positif lemah, ada dua kemungkinan. Pertama, ujian ini dilakukan terlalu awal di mana kadar Beta hCG dalam kencing terlalu sedikit. Kalau terlalu awal, puan boleh ulang semula dalam masa seminggu.
Jika ujian darah dilakukan dan ia positif, maka berkemungkinan besar puan hamil. Ujian darah ini akan menjadi lebih jelas jika diulang selepas 48 jam kerana kandungan yang normal akan menunjukkan kadar Beta hCG yang bertambah dua kali ganda.
Kemungkinan yang kedua ujian air kencing itu bersifat False Positive kerana ujian ini merekodkan hormon LH (Lutenising Hormone) yang tinggi dalam air kencing. Hormon LH ini mempunyai struktur molekul yang hampir serupa dengan Beta hCG iaitu hormon kandungan. Jika ujian darah dilakukan, Beta hCG akan negatif.
Sekiranya puan hamil dengan sista ovari sebesar 3.5 sentimeter, majoriti tidak akan memberi apa-apa masalah kepada puan dan juga kandungan puan. Jika sista ini besar, ia boleh terpulas atau mengalami torsion ketika mengandung.
Jika ia berlaku, puan akan mengalami kesakitan di bahagian bawah perut, memulas-mulas dan boleh muntah-muntah. Ini memerlukan pembedahan pembuangan sista ketika puan mengandung. Pembedahan ini mempunyai risiko kecil yang kandungan puan boleh mengalami keguguran. Sakit yang puan alami sekarang sukar untuk saya sahkan berpunca dari mana. Ini kerana pada peringkat awal kehamilan pun, masalah sakit di bahagian ari-ari dan belakang boleh terjadi. Ini adalah normal.
Jadi saya cadangkan puan melakukan imbasan ultrasound semula untuk menentukan saiz sista itu sekarang dan doktor akan menasihati puan langkah seterusnya yang perlu dilakukan. Apapun, tentu sekali apabila puan didapati mengandung, digalakkan berehat dan makan makanan yang seimbang tapi puan perlu mengesahkan dari doktor puan.
Bagi masalah kedua, sekiranya puan disahkan tidak mengandung tetapi mempunyai masalah sista ovari yang normal dan ujian kencing positif. Bagi saya, ia akan disahkan dengan ujian darah untuk mengesan paras Beta hCG dalam darah. Kalau paras Beta hCG tinggi dalam darah, kita perlu beberapa ujian darah untuk melihat petanda kanser dalam darah.
Ada beberapa kanser dalam manusia yang mengeluarkan hormon-hormon yang boleh dipastikan dengan ujian darah. Contohnya, bagi kanser ovari, petanda kanser adalah ujian CA 125, CEA, AFP dan juga Beta hCG tadi.
Di sini, kita lihat selain dari mengandung, ovari juga boleh menghasilkan Beta hCG. Saya syorkan puan berjumpa doktor untuk ujian selanjutnya seperti yang saya terangkan tadi termasuklah ujian seperti CT scan dan MRI.
Perlu diingat jika ujian kencing positif tetapi tidak terdapat kehamilan dalam rahim, kita kena fikirkan kemungkinan kehamilan berada di luar atau ektopik. Rumusannya, puan perlu berjumpa dengan doktor pakar ginekologi bagi mendapatkan rawatan selanjutnya.
(Sumber Berita Harian)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan