SAYA hamil kembar kira-kira 13 minggu. Ketika hamil enam minggu, saya mengalami pendarahan selama seminggu. Pihak hospital memberi cuti sakit selama seminggu supaya saya dapat berehat secukupnya.
Selepas seminggu saya kembali pulih, tiada pendarahan lagi tetapi pada usia kandungan 13 minggu, saya mengalami pendarahan sekali lagi iaitu darah keluar seperti darah haid.
Apabila dilakukan imbasan di hospital kerajaan, doktor memberitahu bayi saya masih dalam keadaan baik dan jantung masih berfungsi. Doktor membuat imbasan faraj dan mendapati rahim masih tertutup dan tiada bukaan. Keadaan ini membimbangkan saya.
Adakah ini tanda saya akan mengalami keguguran? Adakah saya perlu membuat suntikan bagi menguatkan rahim? Adakah suntikan ini memberi kesan negatif kepada perkembangan bayi?
ROHAIDA
Kuala Lumpur
PADA usia kandungan 13 minggu, doktor dapat memberikan beberapa maklumat penting bagi kandungan kembar:
- Jenis kembar iaitu sama ada ia berkongsi kantung, berkongsi uri atau tidak.
- Kedudukan uri.
- Sekiranya berkongsi kantung dan uri - sama ada janin bercantum pada bahagian tertentu atau terpisah.
Maklumat lain termasuk aktiviti jantung, saiz janin, sama ada terdapat bonjolan (funnelling) terowong pintu rahim dari pangkalnya, tanda pengumpulan ketulan atau darah pada mana-mana bahagian dinding dalam rahim dan seumpamanya.
Suntikan 'menguatkan' rahim sebenarnya mengandungi hormon progestin (menyerupai hormon progesteron badan), sama seperti ubat progestin dalam bentuk kapsul, gel atau peluru yang dimasukkan ke dalam faraj atau bentuk pil yang dimakan.
Jika anda diberikan salah satu ubat faraj terbabit, anda tidak perlu mengambil suntikan kerana keberkesanannya adalah sama dalam menjayakan kehamilan. Jika anda diberikan ubat pil, berkemungkinan doktor akan mencadangkan anda mengambil suntikan pula sebagai tambahan.
Kesannya bukanlah dengan menjadikan rahim lebih kuat tetapi sebenarnya 'melemahkan' aktiviti rahim secara merehatkannya daripada pengecutan otot yang boleh menjurus kepada keguguran.
Anda juga seeloknya berehat dan tenang secukupnya. Hormon progesteron secara semula jadinya dihasilkan bekas kantung telur di dalam ovari kita, kadangkala penghasilannya tidak mencukupi. Kelak apabila uri sudah aktif menghasilkan hormon terbabit, masalah yang anda alami akan berhenti kecuali jika sebenarnya uri berada pada lokasi dinding rahim bawah.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan