SAYA isteri berumur 32 tahun, berkahwin dua tahun lalu dan ada seorang cahaya mata. Baru-baru ini saya datang haid selama sebulan. Ia hanya terputus sekejap iaitu tiga hingga lima hari sebelum datang kembali.
Adakah saya mengalami masalah rahim atau masalah lain? Saya juga kerap mengalami senggugut keterlaluan. Adakah ini disebabkan saya selalu tertekan kerana berniaga dan banyak berfikir atau mungkin ada penyakit lain?
NUR
Kuala Lumpur
SOALAN ini sepatutnya disalurkan kepada pakar sakit puan, tetapi tidak mengapa. Sampai masanya lelaki juga tahu mengenai sistem reproduksi wanita dan peka dengan perubahan yang berlaku supaya lebih prihatin kepada kesihatan pasangan.
Haid ialah keluruhan selaput dalam rahim atau 'endometrium' yang menjalani perubahan tumbesaran ke peringkat penghujung dan keluar sebagai tisu hancur.
Oleh kerana keluruhan tisu itu kelihatan seperti darah, ia dikenali sebagai darah haid. Sebenarnya, ia tisu yang hancur dan mengandungi sedikit darah.
Proses keluruhan selaput dalam rahim berlaku mengikut jadual dan dalam kawalan hormon estrogen wanita dan progestogen.
Pengeluaran darah haid menandakan kedua-dua hormon tadi rendah dan ini mencetuskan proses tumbesaran 'telur' atau folikel dalam ovari untuk memulakan putaran haid baru.
Anda akan dapati putaran haid anda ada waktu kering yang panjang dan waktu haid yang pendek antara tiga hingga tujuh hari.
Apabila waktu haid panjang, ia petanda selaput endometrium anda tidak tenteram dan tidak dapat sokongan hormon untuk mengurus ketumbesarannya.
Jika haid panjang dan banyak, ini dikenali sebagai 'Menorrhagia'. Jika haid panjang dan berlaku di pertengahan putaran haid, ia dikenali 'Metrorrhagia'.
Kedua-dua masalah ini perlu rujukan pakar sakit puan. Doktor akan periksa dan mungkin melakukan ujian darah untuk menyukat hormon dan ujian imbasan untuk meneliti anggota reproduksi jika ada sesuatu yang luar biasa seperti ketumbuhan rahim atau tisu dalam rahim atau cista ovari.
Pendarahan atau haid panjang yang kronik boleh membuatkan anda kehilangan banyak zat besi dan secara langsung mengganggu kesihatan.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan