Label

PENYELESAIAN AWAL PINJAMAN KENDERAAN (KEWANGAN)

ANDA berhak mendapat rebat ke atas faedah jika anda memilih untuk menyelesaikan lebih awal baki hutang di bawah perjanjian pinjaman sewa beli. Ini berdasarkan kiraan mengikut formula “Peraturan 78” yang sebahagian besar daripada faedah dikenakan pada peringkat awal pinjaman.

Jika anda memutuskan untuk menjual kereta semasa tempoh pinjaman, anda perlu:
Periksa jumlah penebusan dengan pihak pembiaya
Periksa nilai pasaran kereta
Bersedia untuk menjelaskan sepenuhnya baki pinjaman, jika ada, sebelum memindahkan hak milik atau menjual kenderaan kepada orang lain. Anda bertanggungjawab ke atas baki pinjaman selagi pinjaman sewa beli masih dibawah nama anda.

Apa perkara lain yang perlu diawasi?

Caj bayaran lewat

Mengikut Akta Sewa Beli 1967 (Pindaan 2010), caj bayaran lewat maksimum terhadap ansuran tertunggak yang dikira setiap hari adalah 8% setahun. Oleh itu, disarankan anda membayar ansuran sewa beli sebelum tarikh akhir pembayaran bagi mengelakkan caj bayaran lewat dan penarikan balik kereta anda.

Klausa penarikan balik

Institusi kewangan boleh menarik balik kereta dalam keadaan seperti berikut:
Apabila penyewa gagal membayar dua ansuran berturut turut. Jika jumlah ansuran telah dibayar melebihi 75% daripada harga tunai kenderaan, pengambilan semula milikan boleh dibuat setelah mendapat Perintah Mahkamah; atau
Sekiranya penyewa meninggal dunia dan ansuran tidak berbayar selama empat bulan berturut-turut.

Penyewa dikehendaki membayar kos penarikan balik dan kos penyimpanan di samping caj bayaran lewat untuk menuntut semula kereta tersebut.

Contoh Kes:

Jualan yang bukan sebenarnya jualan
Usia: 33 tahun
Pekerjaan: Operator kilang
Status Perkahwinan: Berkahwin

Salleh telah membeli sebuah kereta bernilai RM60,000 dengan menggunakan pinjaman sewa beli. Jumlah gaji termasuk elaun kerja lebih masanya yang agak lumayan membolehkan dia membayar pinjaman sewa beli tersebut dengan selesa.

Tidak beberapa lama kemudian, Salleh telah hilang pekerjaan kerana syarikat telah mengecilkan saiz operasinya. Salleh menganggur hampir setahun dan terpaksa menggunakan tabungannya untuk menampung perbelanjaan harian dan juga membayar ansuran keretanya. Akhirnya, dia tidak mampu lagi dan mengambil keputusan untuk menjual keretanya.

Salleh memaklumkan kepada kawannya Ahmad bahawa dia ingin menjual kereta tersebut ekoran keadaan kewangan yang semakin meruncing. Ahmad telah menawarkan untuk ‘membeli’ kereta tersebut dan bersetuju menyambung pembayaran ansuran pinjaman sewa belinya di mana baki pinjaman adalah RM40,000. Di samping itu, Ahmad juga telah menawarkan untuk membayar RM1,000 tunai. Salleh yang sedang dalam kesempitan kewangan bersetuju dan terus menyerahkan kunci keretanya kepada Ahmad.

Selepas setahun, Salleh menerima surat peringatan daripada pihak bank kerana kegagalan membayar ansuran pinjaman sewa belinya. Salleh merasa hairan dan cuba menghubungi Ahmad tetapi gagal. Malangnya, kawan berserta keretanya juga tidak dapat dikesan. Oleh kerana baki pinjaman telah mencecah lebih daripada RM30,000, Salleh telah diberi notis kebankrapan oleh pihak bank tersebut.

Salleh merasa bimbang dan memaklumkan pegawai bank bahawa dia sebenarnya telah ‘menjual’ keretanya kepada Ahmad. Pegawai bank sebaliknya menjelaskan penyewa tidak boleh menjual keretanya kepada pihak ketiga selagi belum menjelaskan pinjaman dengan sepenuhnya.

Salleh cemas dengan penjelasan itu dan terkejut kerana dia masih bertanggungjawab ke atas pinjaman tersebut. Sekarang Salleh tidak tahu apa yang perlu dilakukannya dan tertanya-tanya bagaimana hendak menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapinya ini. Untuk mengelak tindakan kebankrapan, Salleh mendapatkan bantuan AKPK.

Petikan artikel dari Berita Harian, 12 November 2013

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan