>> Guna kemudahan ketika memerlukan, bukan untuk berlagak
HARI INI, hampir semua orang yang bekerja memiliki kad kredit. Sesetengah orang memiliki kad kredit bukanlah kerana memerlukan sangat, tetapi ada yang sekadar hendak menunjuk-nunjuk.
Memiliki kad kredit melambangkan gaya dan status individu.
Namun begitu, tidak dinafikan ramai juga memiliki kad kredit menjadi satu keperluan ketika menghadapi kecemasan.
Ketika melancong ke luar negara, pihak hotel kebiasaannya lebih utamakan kad kredit ketika kita hendak buat tempahan bilik.
Dalam erti kata lain, kad kredit dalam panggilan biasa ‘kad hutang’ atau ‘wang plastik’ adalah kaedah pembayaran yang membolehkan kita membeli barangan atau mendapatkan perkhidmatan secara elektronik tanpa menggunakan wang tunai.
Apabila kita menggunakan kad kredit, pengeluar kad ini akan membayarkan terlebih dahulu kepada peniaga bagi pihak kita. Selepas itu, pengeluar kad kredit akan meminta bayaran daripada kita menerusi bank yang mengeluarkan kad ini.
Lazimnya, had kredit adalah dua hingga tiga kali ganda gaji bulanan kita. Sekiranya kita menggunakan had maksimum, kita harus ingat bahawa kita sudah membelanjakan dua hingga tiga gaji bulanan kita yang akan datang.
Namun begitu, kad kredit memang berguna kalau kita tahu cara menggunakannya. Faedahnya termasuklah;
• Kaedah pembayaran yang mudah dan cekap
• Boleh menggunakan penyata bulanan yang dihantar untuk menjejaki perbelanjaan
• Ada kad kredit menyediakan perlindungan kemalangan peribadi dan insurans perjalanan secara percuma, bergantung kepada jenis kad yang ditawarkan.
• Ada pengeluar kad kredit memperkenalkan skim menarik seperti skim bayaran ansuran tanpa faedah, skim bayaran fleksibel dan pindahan baki pada kadar kosong (0) peratus untuk membolehkan kita memaksimumkan pembelian
• Kita boleh memperolehi mata ganjaran kalau menggunakan kad kredit yang biasanya tidak dapat dinikmati apabila bayaran dibuat secara tunai
• Boleh memanfaatkan kadar faedah melalui struktur harga berperingkat berdasarkan rekod pembayaran bulanan yang baik
Kad debit kurang disiplin
Kad caj adalah seperti kad kredit. Untuk kad kredit, kita boleh membuat pembayaran minimum selepas menerima penyata bil bulanan, tetapi tidak bagi kad caj.
Dengan kad caj, anda mestilah membayar sejumlah wang sepenuhnya setiap bulan mengikut penyata yang dihantar. Kalau tidak, caj bayaran lewat akan dikenakan.
Kad debit lebih menyamai kad ATM, kecuali kita tidak perlu mengeluarkan wang tunai dari mesin ATM anda. Kita boleh menggunakan kad debit di tempat yang menerima kad ini.
Jumlah yang dicajkan akan ditolak serta-merta daripada akaun bank. Seperti juga kad kredit, adalah mudah menggunakan kad debit kerana kita tidak perlulah membawa wang tunai yang banyak.
Kad prabayar pula boleh digunakan untuk membuat belian tetapi terhad kepada jumlah wang yang kita masukkan dalam kad itu. Ia seperti kad prabayar telefon atau kad Touch & Go, iaitu kita mempunyai sejumlah wang yang terhad untuk dibelanjakan.
Apabila wang yang dimasukkan berkurangan, kita boleh menambah semula jumlahnya atau top-up ke had maksimum seperti yang ditetapkan oleh pengeluar kad.
Kad debit dan kad prabayar adalah pilihan yang lebih sesuai bagi mereka yang kurang berdisiplin dalam soal kewangan.
Perangkap kredit
Seperti sedia maklum, di sebalik kebaikan, ada keburukannya kad kredit. Ini sering berlaku kepada mereka yang suka berbelanja menggunakan kad kredit tanpa berfikir panjang, sama ada barang yang dibeli itu benar-benar diperlukan atau tidak.
Selain itu, kita juga mungkin berpuas hati dengan membuat bayaran minimum bulanan bagi penyata kad kredit, lebih-lebih lagi kalau ini membantu dalam aliran tunai kita.
Malangnya, ada buruknya kalau kita berbuat demikian. Kita akan dikenakan caj faedah dan masa yang lebih lama untuk menyelesaikan hutang tertunggak ini.
Akibatnya?
Bebanan hutang kita semakin banyak dalam jangka masa yang singkat. Buat masa ini, kebanyakan pengeluar kad mengenakan caj kewangan sebanyak 1.5% sebulan, pada kadar harian dan dikompaun secara bulanan.
Petikan artikel dari Berita Harian, 5 Januari 2013
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan