>> Usah terlebih belanja, perlu menabung
DENGAN ketibaan hujung tahun, ramai daripada kita tentunya sibuk dengan persediaan untuk perayaan.
Seelok-eloknya kita tidak usah terlebih belanja di musim ini memandangkan kita perlu juga menabung untuk situasi yang tidak diduga seperti kecemasan.
Di sini AKPK menyediakan beberapa tip asas untuk membantu anda menghindari tabiat boros berbelanja pada musim menarik ini.
• Sediakan senarai bajet yang anda harus patuhi
Penyediaan bajet sebelum keluar membeli belah sememangnya berguna. Suatu senarai beli belah boleh membantu anda berbelanja mengikut peruntukan wang yang anda tetapkan. Apabila membuat bajet, pastikan ia realistik. Memandangkan sumber kewangan anda terhad, kenal pasti perbelanjaan yang paling perlu terlebih dahulu.
• Opsyen balik kampung
Sekiranya anda perlu berjalan jauh untuk balik ke kampung halaman, rancanglah dengan sempurna awal-awal lagi. Lazimnya pada musim perayaan, kesesakan trafik tidak dapat dielakkan. Pastikan anda servis kenderaan anda sebelum membuat perjalanan untuk mengelakkan kejadian tidak diingini, termasuk apa-apa kesulitan yang akan memerlukan wang. Jika anda menggunakan kenderaan awam untuk balik kampung, cubalah dapatkan tiket anda seawal mungkin atau pada waktu jualan murah. Tabiat merancang awal tentunya akan menguntungkan anda.
• Jadilah pembeli bijaksana
Selalu tinjau harga barangan dan perkhidmatan dan buatlah perbandingan harga. Adakah perlu untuk membeli barangan berjenama mahal? Apa salahnya membeli alternatif keluaran umum yang lebih murah dan tidak kurang kualitinya? Tulis dan bawa dengan anda senarai barangan yang perlu dibeli. Terdapat pelbagai pusat beli belah yang mengadakan jualan murah apabila musim perayaan tiba. Akan tetapi, janganlah terlalu ghairah pada waktu ini untuk mengelakkan terlebih belanja. Wang berlebihan yang disimpan boleh digunakan untuk tabungan ataupun keperluan lain.
• Amalkan tabiat kitar semula
Mengguna semula hiasan seperti langsir, alas kusyen dan butiran kecil seperti hiasan perayaan boleh membuka kreativiti dan inovasi anda serta keluarga. Cara ini turut membolehkan anda menjimatkan wang. Jangan lupa menabung walaupun tiba masanya untuk beraya.
• Buatlah persediaan sendiri
Rekodkan segala perbelanjaan anda. Kenal pasti perbelanjaan tetap dan berubah serta perbelanjaan budi bicara anda. Sekiranya anda dapati diri anda berbelanja lebih, cuba hadkan perbelanjaan kepada apa yang perlu sahaja.
• Baju baru – berapa set sebenarnya?
Mempunyai baju dan kasut baru adalah suatu kebiasaan di musim perayaan. Apa kata anda membeli baju yang anda tahu anda akan pakai semula di masa kelak. Adakah perlu membeli jenama mahal dan berbaloikah untuk nilai wang anda? Adakah anda akan mengguna semula pakaian tersebut dengan kerap?
• Beli apa yang anda perlu, bukan apa yang anda mahu
Perubahan gaya hidup akan memanfaatkan situasi kewangan anda. Pastikan anda membayar penuh bil kad kredit anda sekiranya anda ingin menggunakan kad tersebut. Ini kerana baki hutang kad kredit yang dibawa ke bulan seterusnya akan dikenakan faedah kompaun, walaupun anda membayar bayaran minimum. Belanjalah untuk keperluan, bukan untuk barangan mewah.
• Jangan lupakan kewajipan anda
Memang menjadi kebiasaan untuk bergembira di musim perayaan dan akhir tahun. Menabung terlebih dahulu dan seperti biasa, pastikan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada gaji bersih anda ditabungkan. Cuma beli apa perlu mengikut bajet ditetapkan. Sekiranya anda perlu membeli barangan mahal, pastikan ia dilihat sebagai suatu pelaburan yang baik, iaitu untuk jangkamasa panjang. Hidup secara sederhana dan praktikkan tangguhan kepuasan sehingga anda benar-benar mampu berbelanja. Ambillah beberapa hari untuk memastikan sama ada anda boleh hidup tanpa barangan atau perkhidmatan berkenaan.
• Berseronoklah secara sederhana
Berdisiplin dan jadikan tabiat menabung gaya hidup anda tidak kira peristiwa atau waktu. Anda cuma memerlukan sedikit kreativiti dan rancangan untuk beraya dengan sederhana. Lagipun, yang paling penting ialah pertalian silaturrahim antara keluarga dan rakan-rakan.
Petikan artikel dari Berita Harian
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan