BERKAHWIN membawa maksud berkongsi tanggungjawab kewangan. Dengan rasa cinta di dada, mungkin segala-galanya diterima.
Ketua Jabatan Komunikasi Korporat Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Mohamad Khalil Jamaldin, berkata tidak salah jika langkah berjaga-jaga diambil untuk masa depan bersama dan kawalan bebas beban kewangan.
Jelasnya, hutang berperanan penting dalam kehidupan kita. Kebanyakan daripada kita tidak mampu membeli semua keperluan yang di kehendaki secara tunai.
“Oleh itu, kita tiada pilihan, terpaksa berhutang untuk membolehkan kita membeli aset seperti rumah dan kereta. Lainlah, kalau kita memang daripada keluarga kaya raya yang mempunyai wang menimbun dalam bank untuk membolehkan kita mampu membeli rumah dan kereta secara tunai.
“Bagaimanapun, kalau digunakan secara bijak, hutang juga boleh menjadi alat berguna untuk membantu mencapai matlamat kewangan kita,” jelasnya ketika dihubungi baru-baru ini.
Bantu capai keinginan
Katanya, hutang bukan semestinya perkara tidak baik kerana ia juga membolehkan kita memiliki apa yang diinginkan dengan cepat dan selesa.
Cuma kata Mohamad Khalil, kalau pasangan pengantin mengambil hutang dengan cara berlebihan, itu yang mungkin menyebabkan mereka bakal menghadapi masalah untuk membayarnya. Ini seterusnya mendatangkan masalah kewangan kepada keluarga mereka.
Punca pertelingkahan
Semakin cekap kita menguruskan hutang, semakin baik hubungan kita dengan ahli keluarga. Sering kali pertelingkahan atau salah faham yang berlaku antara ahli keluarga adalah berpunca daripada masalah kewangan.
Pengurusan hutang yang baik akan mengeratkan hubungan kita dengan keluarga, kawan dan rakan sekerja. Ini pasti memupuk suasana lebih harmonis di rumah dan di tempat kerja.
“Memiliki aliran tunai positif penting supaya kita mempunyai dana berlebihan membantu membina tabung kecemasan, mengurangkan hutang dan juga boleh memanfaatkan peluang pelaburan baik,” jelasnya.
Info:
• Sehingga 31 Julai lalu, lebih daripada 229,334 pelanggan mendapatkan perkhidmatan kaunseling AKPK di mana 93,652 daripada mereka sudah dibantu melalui Program Pengurusan Kredit.
• Pelanggan menerima perkhidmatan AKPK dalam kebanyakan kes menyumbang kepada masalah hutang dan ketidakupayaan membayar balik pinjaman disebabkan perancangan kewangan lemah, tidak mempunyai pengetahuan membuat perancangan kewangan dan tidak hidup mengikut kemampuan kerana tahap disiplin kewangan yang kurang.
Sebelum membuat pinjaman, perlu mempertimbangkan perkara berikut:
• Semasa membuat permohonan pinjaman, tanya kepada diri, apakah tujuan pinjaman dan tentukan sama ada mampu membuat bayaran ansuran bulanan.
• Jangan sesekali membuat pinjaman daripada peminjam wang tidak berlesen.
• Waspada terhadap syarat pinjaman diambil.
• Biasakan diri bertanya tentang kadar efektif dikenakan bagi pinjaman sewa beli dan kadar tetap pinjaman berjangka.
• Jumlah bayaran bulanan bagi semua pinjaman dan hutang kad kredit tidak boleh melebihi satu pertiga daripada gaji kasar anda.
• Jangan terpedaya dengan penggunaan kad kredit dan kad caj sebagai ‘wang percuma’.
• Membayar hanya bayaran minimum bil kad kredit menyebabkan hutang bertambah besar kerana kesan kompaun.
• Berusaha untuk menjadi pembayar balik pinjaman yang baik agar mendapat laporan kredit positif.
Tanda-tanda anda menghadapi masalah kewangan:
• Jika anda tidak dapat mengawal perbelanjaan – iaitu perbelanjaan melebihi pendapatan.
• Jika hutang melebihi jumlah yang boleh anda uruskan.
• Anda hanya mampu membayar 5% setiap bulan bagi penyata kad kredit.
• Anda tiada tabungan untuk menghadapi kecemasan peribadi atau keluarga.
• Anda kerap terima panggilan daripada pemungut hutang.
• Anda menerima surat saman tuntutan hutang.
Petikan artikel dari Berita Harian, 4 Oktober 2013
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan