Label

HUTANG MEMBEBANKAN (KEWANGAN)

>> Temui kaunselor jika masalah kewangan sukar diurus

INGKAR membayar pinjaman dan gagal menjelaskan hutang kad kredit membawa kesan sangat buruk. Kita mungkin didakwa oleh institusi kewangan. Kereta atau harta kita akan dilelong.

Ahli keluarga akan membantu kita menjelaskan hutang tersebut.

Penjamin kita, jika ada, terpaksa menanggung sama kerana tindakan undang-undang boleh diambil terhadap mereka. Kita mungkin diisytiharkan muflis.

Kita juga mungkin mengalami tekanan emosi apabila mendapat panggilan secara berterusan daripada peguam dan pemiutang yang ingin mendapatkan pinjaman mereka semula.

Dalam keadaan sebegini, kita kurang produktif dan kerja serta kesihatan kita terjejas. Tanda yang menunjukkan kita menghadapi masalah kewangan:
Jika kita tidak dapat mengawal perbelanjaan – iaitu perbelanjaan melebihi pendapatan.
Jika hutang lebih daripada apa yang boleh kita uruskan.
Kita hanya mampu membayar lima peratus setiap bulan bagi bil kad kredit.
Kita tiada tabungan untuk menghadapi kecemasan peribadi atau keluarga.
Kita mendapat panggilan yang kerap daripada peminta hutang.
Kita dihadapkan dengan surat saman.

Sekiranya kita menghadapi masalah seperti di atas, segeralah mendapatkan pertolongan dan nasihat kewangan daripada kaunselor kewangan profesional.

Berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia (BNM) dan Sistem Maklumat Rujukan Kredit atau Central Credit Reference Information System (CCRIS), pembayar balik pinjaman yang baik ialah mereka yang membuat bayaran balik pinjaman tepat pada waktunya. Jumlah bayaran pula berdasarkan kadar yang dipersetujui mengikut terma dan syarat, seperti ditetapkan dalam perjanjian pinjaman.

Biro Kredit BNM beroperasi sejak 1982, berperanan mengumpul maklumat kredit berkenaan peminjam individu, perniagaan (perkongsian dan perseorangan), syarikat dan entiti kerajaan.

Maklumat ini seterusnya disalurkan semula kepada institusi kewangan. Biro ini juga akan menyimpan maklumat kredit dalam sistem CCRIS.

Maklumat berkenaan akan menjadi laporan kredit yang boleh diguna pakai oleh semua institusi kewangan untuk menilai pinjaman kita.

Salinan laporan

Setiap kali kita membuat permohonan bagi pinjaman baharu, institusi kewangan akan menyemak sejarah bayaran yang pernah kita buat menerusi Biro Kredit.

Mereka akan menggunakan maklumat itu untuk memutuskan sama ada memberikan kita pinjaman atau tidak.

Selain Biro Kredit, terdapat juga syarikat milik persendirian yang memberikan maklumat kepada pelanggan mereka dan institusi kewangan berkaitan.

Rekod bayaran balik pinjaman dan juga status sebarang tindakan undang-undang terhadap peminjam, sekiranya ada.

Simpan salinan laporan CCRIS untuk membolehkan kita memantau pinjaman serta mengawal pola pembayaran kad kredit. Kita boleh menyemak sama ada mempunyai jadual pembayaran balik terurus atau tidak.

Sekiranya laporan CCRIS menunjukkan yang kita gagal atau selalu lewat membuat bayaran, institusi kewangan mempunyai pilihan untuk menolak permohonan pinjaman kita kerana laporan tadi memberikan gambaran bahawa kita tidak menguruskan pinjaman dengan baik atau kita sebenarnya menghadapi kemelut kewangan.

Kalau kita pembayar balik pinjaman yang baik, laporan kredit juga akan menunjukkan sedemikian. Bermula 1 Julai 2008, kita menerima ganjaran sekiranya menjelaskan bayaran kad kredit dengan segera, di mana institusi kewangan mengenakan caj mengikut asas bertingkat, bergantung kepada pembayaran balik yang dibuat.

Kesimpulan

Ketika membuat permohonan pinjaman, tanyakan dulu kepada diri kita, tujuan pinjaman berkenaan dan tentukan sama ada kita mampu membuat bayaran ansuran.
Jangan sesekali membuat pinjaman daripada peminjam wang yang tidak berlesen.
Berwaspada terhadap syarat dan terma pinjaman yang diambil.
Biasakan diri bertanya tentang kadar faedah efektif yang dikenakan bagi pinjaman sewa beli dan kadar tetap pinjaman berjangka.
Jumlah bayaran bulanan bagi semua pinjaman dan hutang kad kredit tidak boleh melebihi satu pertiga daripada gaji kasar kita.
Jangan terpedaya dengan penggunaan kad kredit dan kad caj sebagai wang ‘percuma’.
Membayar hanya bayaran minimum bil kad kredit menyebabkan hutang bertambah besar kerana kesan kompaun.
Berusaha menjadi pembayar balik pinjaman yang baik agar mendapat laporan kredit positif.

Petikan artikel dari Berita Harian, 31 Ogos 2013

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan