Label

UJIAN RUTIN SEMASA HAMIL (SAKIT PUAN)

Soalan

SEMASA pemeriksaan kehamilan baru-baru ini, jururawat ada mengambil darah saya untuk membuat ujian kumpulan darah dan juga rhesus. Saya tidak tahu apakah kepentingan mengetahui jenis rhesus wanita hamil. Saya amat mengharap agar doktor dapat membantu saya.

Puan Salina, Ulu Langat

Jawapan

SETIAP wanita hamil dikehendaki memeriksa kumpulan darah, bukan sahaja bertujuan untuk mengetahui jenis kumpulan darah sama ada A, B, AB atau O tetapi untuk mengenal pasti jenis rhesus. Rhesus merupakan satu lagi jenis komponen pengenalan pada sel darah. Rhesus terbahagi kepada dua iaitu rhesus positif atau rhesus negatif.

Permasalahan rhesus semasa hamil boleh berlaku apabila wanita yang negatif mempunyai pasangan rhesus positif. Hal ini boleh memberi kesan kepada janin yang dikandung jika bayi atau janin tersebut mempunyai rhesus jenis positif. Jika anak dalam kandungan yang pertama positif, sel-sel darah daripada anak dapat bercampur dengan darah ibu terutama sekali semasa bersalin. Sel-sel ini walaupun sedikit akan menimbulkan rangsangan dalam badan ibu dan membentuk antibodi (antibodi anti-D) yang memusnahkan sel-sel darah rhesus positif bayi.

Jika janin mempunyai rhesus positif, masalah boleh timbul jika sel darah janin bercampur dengan sel darah ibu. Jika tidak dirawat, sel darah ibu akan membentuk antibodi yang akan memusnahkan sel-sel darah rhesus positif janin. Antibodi yang terbentuk ini boleh memberi masalah kepada janin dan boleh mengakibatkan kematian janin.

Pembentukan antibodi ini boleh terjadi dalam keadaan berikut, iaitu:

i. Kelahiran yang lebih cenderung dalam pembedahan caesarean, kelahiran kembar dan kelahiran stillbirth.

ii. Prosedur D & C.

iii. Prosedur mengeluarkan uri yang lambat lekang selepas bersalin (manual removal of the placenta).

iv. Prosedur tertentu sewaktu kehamilan. Contohnya, amniosentesis dan chorionic villous sampling ketiga seperti kemalangan, hentakan dan sebagainya.

Antibodi (antibodi anti-D) yang dibentuk dalam ibu akan berkekalan dan kalau seseorang itu telah dijangkiti demam campak, badannya telah membentuk antibodi yang melawan virus itu dan kemudiannya, dia tidak akan dijangkiti lagi kerana antibodi yang ada ini akan mengenal virus campak pada kali yang kedua dan terus memusnahkannya.

Jadi, jika seseorang ibu mengandung kali kedua dan kandungan anak itu positif, antibodi daripada ibu akan memasuki salur darah bayi dan memusnahkan sel darahnya. Bayi ini akan meninggal kerana kurang darah yang menyebabkan kegagalan fungsi jantung (lemah jantung). Bila dilahirkan, ia kelihatan bengkak kerana cecair berlebihan di dalam badan. Keadaan ini dinamakan hydrops fetalis.

Banyak kajian dilakukan mengenai masalah ini, sehingga sekarang jarang sangat ada kematian bayi berikutan masalah rhesus.

Penyelaras Unit Perkembangan Kesihatan Wanita (Pakar Obstetrik & Ginekologi)

Pusat Pengajian Sains Perubatan Kampus Kesihatan Universiti Sains Malaysia Kubang Kerian, Kelantan.

Sebarang soalan dan pertanyaan berkaitan sakit puan, boleh e-mel ke adawiyah.koh@utusan.com.my

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan