Label

TERINGIN HAMIL LAGI (SAKIT PUAN)

SAYA berumur 35 tahun dan berada dalam keadaan sihat. Pada perkahwinan pertama, saya dikurniakan tiga anak dan ketiga-tiganya bersalin secara pembedahan.

Doktor sudah mengikat peranakan saya dan kemudian saya bercerai tiga tahun lalu. Kini saya sudah berkahwin dan teringin menimang cahaya mata dengan suami sekarang. Apakah yang perlu saya lakukan?

Untuk pengetahuan doktor, anak saya berumur 12 tahun, sembilan tahun dan bongsu, lapan tahun. Harap doktor dapat memberi pandangan.

Puan Ami,
Selangor

TERDAPAT dua perkara penting dalam keadaan anda.

Pertama, mengenai prosedur mengikat tiub fallopio. Saya meneka semasa pembedahan Caesarean terakhir, kaedah yang digunakan adalah memotong bahagian tengah tiub fallopio yang diikat, namun ada juga doktor yang turut memotong bahagian hujung tiub (fimbria).

Dalam keadaan struktur tiub fallopio sebegitu, ia tidak lagi ‘normal’ untuk mengambil telur daripada ovari, menjadi tempat persenyawaan telur oleh sperma, menolak embrio ke dalam ruang rahim dan seumpamanya. Walaupun potongan terbabit dicantumkan semula, panjang serta sifatnya tidak lagi seperti dahulu, malah risiko kehamilan luar rahim (ektopik) juga boleh meningkat.

Dalam keadaan di atas, peluang hamil terbaik adalah secara kaedah IVF (persenyawaan in-vitro atau tabung uji) kerana kaedah ini tidak memerlukan tiub fallopio.

Kedua adalah mengenai keadaan rahim anda. Adakah dinding rahim anda masih utuh untuk menanggung kehamilan dan kontraksi bersalin kelak?

Apakah keadaan ruang dalam pelvis sewaktu pembedahan terakhir? Adakah terdapat banyak perlekatan sehingga menyukarkan doktor melakukan pembedahan? Bagaimanakah keadaan organ penting berhampiran contohnya pundi kencing? Adakah terdapat perlekatan tebal dan banyak?

Seeloknya anda mendapatkan maklumat pembedahan terakhir dari hospital sebelum berjumpa doktor pakar sakit puan untuk mendapatkan penilaian.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan