Label

KEPEDIHAN ULU HATI (SAKIT PUAN)

 
Pedih ulu hati merupakan gejala yang biasa dialami wanita hamil

Soalan

SAYA baharu sahaja melakukan ujian kehamilan di rumah dan keputusannya positif. Saya merasa amat tidak selesa sejak seminggu dua ini dan kerap terasa pedih di hulu hati. Saya amat berharap agar doktor dapat membantu saya, apakah sebenarnya masalah ini. Adakah ini perkara biasa?

Puan Salmiah
Negeri Sembilan

Jawapan

KETIDAKCERNAAN atau pedih ulu hati merupakan gejala yang biasa dialami wanita hamil. Walaupun menyakitkan, pedih hulu hati ialah perkara biasa dalam kehamilan dan tidak membahayakan ibu dan bayi. Pedih hulu hati ialah rasa panas dan pedih seperti terbakar yang biasanya dirasakan pada bahagian bawah tekak sehingga ke bahagian bawah tulang dada. Ini berlaku apabila asid perut naik ke bahagian esofagus. Asid ini boleh naik hingga ke tekak atau mulut dan meninggalkan rasa masam dan pahit. Perkara ini dipercayai berlaku akibat perubahan hormon dan fizikal dalam badan ketika hamil.

Peningkatan hormon progesteron semasa hamil melonggarkan otot-otot lembut dalam rahim. Pakar percaya bahawa hormon ini melonggarkan injap yang mengasingkan esofagus daripada perut. Ini menyebabkan asid gastrik dapat melonjak naik ke atas melalui saluran tersebut dan menyebabkan rasa terbakar. Hormon progesteron juga menyebabkan proses pencernaan menjadi lembab. Pada hujung kehamilan, bayi anda yang semakin besar akan menolak usus dan perut anda ke atas. Ini menyebabkan proses pengosongan perut menjadi lambat, justeru memaksa asid di dalam perut naik ke dalam esofagus.

Masalah pedih hulu hati merupakan gejala yang biasa dialami wanita hamil. Ini menyebabkan rasa kembung dan tidak selesa selepas makan mungkin berpunca daripada tahap hormon yang tinggi dihasilkan oleh badan anda pada awal kehamilan mengendurkan otot-otot di seluruh badan. Keadaan ini termasuklah otot-otot dalam sistem pencernaan anda dan menyebabkan proses pencernaan menjadi lambat. Akibatnya, anda akan berasa seperti kembung, pedih hulu hati, loya atau memuntahkan sisa makanan. Kesan ketidakcernaan tidak menjejaskan bayi. Sistem pencernaan anda yang perlahan mungkin berfaedah bagi bayi kerana ia memberikan lebih masa kepada badan untuk menyalurkan nutrien melalui plasenta yang akan disalurkan kepada bayi atau janin.

Cara melegakan pedih hulu hati

Anda mungkin terpaksa bertahan dengan masalah ini semasa hamil, tetapi ada beberapa langkah yang boleh diambil untuk melega atau mengelakkan kembung iaitu mengelak dari memberi tekanan berlebihan kepada perut anda semasa ia sedang mencernakan makanan selepas makan. Duduk tegak, pakai pakaian yang longgar dan selesa, dan tunggu sekurang-kurangnya satu jam selepas makan sebelum anda baring. Jika anda perlu membongkok, bengkokkan lutut dan bukannya pinggang.

Anda juga dinasihatkan makan beberapa hidangan kecil sepanjang hari, berbanding makan tiga hidangan besar. Ambil masa untuk makan dan kunyah makanan sehingga benar-benar hancur. Elakkan makanan yang boleh menyebabkan ketidakcernaan termasuk makanan yang berlemak, pedas, coklat dan jus buah-buahan. Anda boleh cuba simpan diari makanan untuk melihat makanan mana yang membuatkan simptom anda menjadi lebih teruk.

Minuman yang mengandungi kafein atau alkohol juga boleh memburukkan lagi ketidakcernaan. Lagipun, anda memang perlu mengurangkan pengambilan bahan-bahan ini.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan