Label

BAHAYA KEMURUNGAN (KESIHATAN)

LAPORAN Pencegahan Pembunuhan Diri di Malaysia oleh Kementerian Kesihatan pada tahun lalu menyebut kadar kematian pada tahun 2004 adalah antara sembilan hingga 12 kes bagi setiap 100,000 penduduk, manakala tahun 2012 pula 13 kes dalam setiap 100,000 orang.

Antara faktor yang menjadi penyumbangnya adalah masalah gangguan mental atau emosi. Dengan bahasa mudah, ia berkaitan aspek kemurungan berpanjangan yang berpunca daripada tekanan atau bebanan kerja.

Kemurungan sedemikian bukan hanya menyebabkan seseorang itu mempunyai idea untuk bunuh diri tetapi turut merancang dan juga melakukan cubaan bunuh diri.

Menurut Pensyarah dan Pakar Psikiatri Pusat Perubahan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Prof. Madya Dr. Marhani Midin, dalam satu kajian menunjukkan bahawa mereka yang berumur antara 16 hingga 24 tahun lebih cenderung untuk bunuh diri atas pelbagai sebab.

Malah, beliau berkata, pegangan agama yang semakin longgar dalam kalangan remaja atau golongan muda Islam akibat pengaruh internet, turut menyebabkan mereka hilang pedoman sehingga sanggup mengambil tindakan bunuh diri.

Antara tanda atau ciri-ciri kemurungan daripada segi klinikal adalah cara berpakaian, air muka yang tidak ceria, cepat putus asa dan bercakap dalam satu nada sahaja.

Selalunya, individu terbabit berpandangan negatif pada diri sendiri, orang sekeliling dan juga masa depannya sendiri," katanya ketika ditemui di pejabatnya di PPUKM, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dr. Marhani turut menyenaraikan faktor biologi, sosial dan psikologi sebagai antara punca utama yang membawa kepada kemurungan seseorang individu tanpa mengira jantina, umur atau agama.

Bahan kimia

Mengulas lanjut, beliau berkata, daripada segi biologi, ia disebabkan oleh kandungan bahan kimia dalam otak individu terbabit iaitu Serotonin dan Noradrenalin berada di tahap rendah.

Kenapa bahan kimia itu rendah? Ia kerana masalah kewangan, rumah tangga, personaliti, pengalaman semasa kanak-kanak seperti penderaan seksual dan lain-lain yang boleh mencetus kemurungan," katanya.

Katanya lagi, faktor sosial pula disebabkan oleh kesempitan duit, penderaan domestik, memiliki penyakit yang menyebabkannya tidak boleh bekerja dan sebagainya.

Faktor psikologi pula dilihat pada personaliti seseorang yang dibentuk semasa dia masih kecil. Mungkin wujud penderaan, buli, obses kepada kesempurnaan dan lain-lain lagi," katanya.

Tanda-tanda kemurungan bermula dengan wujudnya perasaan sedih yang berpanjangan atau dengan kata lain, individu terbabit tidak boleh menikmati rasa kegembiraan dalam kehidupan sehariannya.

Selain itu, individu terbabit turut mengalami masalah untuk tidur, sama ada susah hendak lena, mudah terjaga atau bangun tidur terlalu awal.

Mereka juga akan hilang tumpuan, selera makan, minat kepada sesuatu aktiviti dan paling bahaya sekali adalah hilang harapan kerana ia akan lebih cenderung kepada idea untuk membunuh diri," kata Dr. Marhani.

Potensi pulih


Seperti mana penyakit lain, Dr. Marhani menjelaskan, kemurungan turut mempunyai potensi untuk pulih tetapi ia banyak bergantung kepada sejauh manakah komitment pesakit itu mematuhi arahan rawatan yang dikeluarkan oleh doktor atau pakar psikiatri.

Kalau dirawat dengan betul, peratusan untuk dikawal atau sembuh agak tinggi walaupun ia sejenis penyakit yang boleh berulang," katanya.

Beliau berkata, daripada segi rawatan klinikal, penyakit itu boleh dirawat dengan ubat anti kemurungan tetapi bergantung kepada sejauh mana tahap keseriusan penyakit kemurungan yang dialaminya.

Tambahnya lagi, selain diberikan penerangan tentang penyakit kemurungan yang dialaminya, pesakit akan turut diberi sokongan moral bahawa penyakitnya itu berpotensi untuk pulih atau di kawal.

Kami juga akan menyiasat latar belakang punca yang mencetuskan kemurungan itu dan seterusnys menyalurkan bantuan yang sesuai bagi menyelesaikan punca tercetusnya penyakit itu," katanya.

Dalam pada itu, Dr. Marhani turut menggariskan dua cara untuk menangani tekanan iaitu individu terbabit perlu sedar bahawa dia sedang mengalami masalah yang berpotensi mencetus kemurungan.

Kesedaran sedemikian penting bagi membolehkan dia fokus kepada pemasalahan yang dihadapi dan berusaha untuk menyelesaikannya," katanya.

Beliau berkata lagi, kalau sukar untuk menyelesaikan masalah tersebut, dia perlu melakukan sesuatu aktiviti yang boleh dia lupakannya untuk seketika, seperti menonton wayang, bersukan atau keluar beriadah bersama kawan-kawan.

Saya percaya tindakan tersebut akan memberikan peluang kepada seseorang itu untuk berfikiran lebih waras dalam mencari jalan penyelesaian masalah yang dihadapi," katanya.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan