Label

TIDAK PERNAH DATANG HAID (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA tidak pernah didatangi haid sehingga umur saya kini 26 tahun dan bakal berkahwin. Saya mempunyai berat 40 kilogram dan tinggi 156 sentimeter.

Pada 2000, saya membuat pemeriksaan di hospital kerajaan. Difahamkan, doktor tidak dapat melihat ovari saya. Doktor itu menggunakan kaedah ultrabunyi, begitu juga pada laluan permukaan di bawah, ia tidak kelihatan.

Pada April 2008, saya didatangi haid tapi saya tidak pasti itu darah haid atau tidak. Darah itu berwarna kecoklatan yang datang untuk dua atau tiga hari saja.

Selepas itu, darah itu tidak muncul hingga kini. Adakah saya mengalami sebarang masalah pada saluran peranakan? Jika saluran peranakan tersumbat dan melakukan pembedahan, adakah saya boleh hamil?

Nora,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

SAYA jangkakan anda sebenarnya mempunyai ovari dan kedua-duanya berfungsi mengeluarkan hormon kewanitaan. Ovari tidak mudah kelihatan secara ultrabunyi melalui kulit abdomen, lebih-lebih lagi jika pada waktu itu pundi kencing tidak penuh.

Saya masih kurang jelas apa yang anda maksudkan dengan ultrabunyi melalui laluan permukaan di bawah, sangat jarang doktor melakukan ultrabunyi trans-vaginal (melalui faraj) ke atas gadis kerana ia boleh memberi trauma kepada selaput daranya.

Mungkin apa yang dilakukan doktor adalah ultrabunyi melalui dubur (trans-rektal) ataupun penghujung alat terbabit hanya menyentuh bibir kemaluan berhampiran bukaan faraj sahaja.

Ovari mengeluarkan hormon estrogen yang memberikan kita penampilan kewanitaan sama ada ciri-ciri fizikal, seksual dan perawakan. Tetapi untuk mendatangkan haid, kita memerlukan rahim (uterus atau kadangkala disebut sebagai peranakan).

Rahim adalah satu organ wanita yang terletak di bahagian tengah tubuh di belakang pundi kencing. Pada lapisan dinding rahim yang terdalam ini terbentuknya tisu haid (endometrium). Jika tidak berlaku kehamilan pada kitaran haid terbabit, tisu endometrium ini akan gugur dan menuruni pintu rahim ke dalam faraj sebelum keluar sebagai haid.

Sekiranya pendarahan pada 2008 itu adalah haid, ia mengubah keseluruhan perbincangan mengenai tatacara perawatan masalah anda ini. Tetapi jika sebenarnya episod pendarahan itu bukanlah haid dan anda sememangnya tidak pernah didatangi haid, anda mengalami masalah yang dinamakan amenorea primer di mana terdapat satu siri berlainan mengenai penyebabnya.

Menerusi amenorea primer, perkara pertama yang perlu dipastikan – adakah anda mempunyai rahim atau peranakan?

Memandangkan usia anda kini sudah pun 26 tahun, saya tidak menjangkakan anda mempunyai masalah penyumbatan laluan haid (iaitu faraj), ia lebih lazim dikesan dalam bulan awal gadis sepatutnya didatangi haid (awal belasan tahun).

Telahan saya, anda mungkin mempunyai masalah rahim sama ada ketiadaan rahim ataupun rahim terlalu kecil, keadaan ini dinamakan ‘Mullerian dysgenesis’.

Berjumpalah doktor pakar sakit puan untuk pemeriksaan dan kepastian, seeloknya biarlah sebelum berkahwin.

Sekiranya pemeriksaan fizikal mengesahkan anda mempunyai ciri-ciri seksual sekunder seorang wanita normal, besar kemungkinan anda membawa genetik perempuan dan mempunyai ovari.

Kemudian, penilaian selanjutnya adalah secara ultrabunyi pelvis melalui kulit abdomen untuk melihat sama ada anda mempunyai rahim ataupun tidak. Berpandukan kepada pundi kencing (seeloknya penuh), lokasi rahim adalah di belakang pundi kencing. Pada masa sama, keadaan ovari juga turut diperiksa, ovari anda saya jangkakan sebenarnya normal.

Sekiranya rahim anda tidak kelihatan melalui imbasan ultrabunyi, anda mungkin diminta menjalani ujian lanjutan untuk pengesahan secara imbasan MRI serta jika perlu, ujian lain bagi menilai keadaan organ lain yang berkaitan misalnya sistem pembuangan air kencing (buah pinggang dan saluran ureter) , imbasan jantung dan pemeriksaan pendengaran.

Anda juga mungkin akan dinasihatkan menjalani pembedahan diagnostik secara laparoskopi untuk melihat secara terus keadan rahim (jika ada) dan juga organ peranakan yang lain.

Kadangkala, rahim sebenarnya ada tetapi pembentukannya terencat iaitu sangat kecil. Ini mungkin boleh dibantu dengan ubat pil yang mengandungi hormon estrogen dan progestin untuk merangsang endometrium untuk membesarkan saiznya dan membolehkannya didatangi haid walaupun sedikit pada permulaannya.

Selain itu, jika rahim ada, anda mempunyai peluang untuk hamil (walaupun kecil).

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

Tiada ulasan:

Catat Ulasan