SOALAN
SAYA berusia 31 tahun dan pada Oktober 2010, saya menjalani laparoskopi kerana mengandung luar rahim.
Doktor sudah membuang tiub fallopio di sebelah kiri, sebelum itu saya sudah menjalani HSG dan doktor mengesahkan tiup fallopio sebelah kanan saya tersumbat.
Jalan terakhir untuk saya mendapatkan zuriat adalah dengan melakukan rawatan tabung uji (IVF). Bolehkah doktor terangkan proses yang harus saya lalui jika ingin melakukan IVF? Berapakah kos untuk melakukan IVF?
Shima,
Kuala Lumpur.
JAWAPAN
GABUNGAN penilaian sewaktu pembedahan laparoskopi dan maklumat HSG terdahulu dapat memberikan maklumat ke atas beberapa perkara berikut:
- Punca anda mengalami kehamilan ektopik contohnya endometriosis dan PID melalui pengamatan ke atas seluruh kandungan ruang pelvis anda.
- Keadaan tiub fallopio kanan anda sewaktu pembedahan laparoskopi.
- Prosedur 'salpingotomy' (jika ada dilakukan) bagi membuka tiub fallopio kanan yang dikatakan tersumbat.
- Rawatan perubatan susulan pembedahan terbabit.
IVF adalah proses rumit yang lazimnya hanya dilakukan oleh pakar sakit puan yang setelah itu menjalani latihan lanjut dalam bidang IVF.
Secara amnya terdapat tiga protokol rawatan IVF yang berbeza mengikut jenis ubat dan tempoh rawatan. Ia membabitkan beberapa proses:
1. Merangsang pembesaran sekumpulan telur di dalam ovari kanan dan kiri (lazimnya menggunakan sejenis suntikan yang diambil setiap hari sebelum ditambah suntikan kedua sehingga pada hari terakhir suntikan di mana suntikan ketiga akan diberi).
Pemantauan berterusan amat penting (termasuk pemerhatian anda terhadap perubahan yang dirasai) untuk mengelakkan komplikasi terlebih rangsangan, ini dinamakan sindrom hiper-stimulasi ovari atau OHSS.
2. 'Menyedut' kantung telur berpandukan imbasan ultrabunyi faraj (lazimnya menggunakan pembiusan atau ubat tidur). Anda lazimnya dibenarkan pulang pada hari yang sama tetapi diberikan cuti rehat.
3. Suami mengeluarkan air mani pada hari terbabit.
4. Di makmal IVF - sperma dan telur akan dieramkan bersama di dalam bahan cecair khas dan inkubator. Keesokannya pakar embriologi akan menilai sama ada sudah berlaku persenyawaan membentuk embrio.
5. Embrio yang terbentuk akan dieramkan untuk beberapa hari lagi. Anda juga diberikan ubat tertentu untuk membantu persediaan rahim menerima embrio kelak.
6. Embrio kemudiannya akan dimasukkan ke dalam rahim anda menggunakan bantuan imbasan ultrabunyi. Tidak perlu berpuasa dan anda boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.
7. Ujian darah pengesahan kehamilan akan diaturkan pada kira-kira dua minggu selepas prosedur 'menyedut' telur.
Kos IVF adalah mahal, kebanyakannya sekitar RM12,000 hingga RM16,000 mengikut usia anda (keperluan dos ubat sederhana sahaja).
Sekiranya layak, anda boleh memohon bantuan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang menanggung kos IVF di pusat IVF terpilih. Peluang kejayaan sekali rawatan adalah sekitar 25 hingga 35 peratus, bagaimanapun ia bergantung kepada penyakit yang anda alami.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan