SOALAN
SAYA berumur 26 tahun, berkahwin dan mempunyai anak berumur setahun sebulan. Semasa anak saya berumur tujuh bulan, saya hamil untuk anak kedua, tetapi gugur kerana ketika itu, saya sering mengangkat benda berat. Kandungan itu gugur pada tiga minggu kehamilan.
Keguguran itu lengkap iaitu tiada yang tertinggal di dalam rahim yang boleh menyebabkan jangkitan kuman. Kini saya musykil kerana tidak didatangi haid.
Tarikh 3 November lalu adalah tarikh akhir haid saya yang bermula pada 27 Oktober. Pada 6 Disember, penguji kehamilan yang dibeli di farmasi menunjukkan saya positif. Tetapi pada 8, 9 dan 10 Disember, ada cecair keluar dari vagina berwana coklat dan kehitaman, ia juga berbau seperti darah, tetapi hanya sedikit dan tidak berlanjutan.
Adakah darah yang keluar itu menunjukkan saya mengalami keguguran? Pada masa sama, saya tetap berasa mual. Apakah pandangan doktor?
Nursaridah,
Shah Alam
JAWAPAN
ELOKLAH anda berjumpa doktor untuk memastikan keadaan sekarang:
- Sama ada benar anda hamil lagi. Ujian ultrabunyi dapat membantu mengesan kantung kandungan di dalam rahim, mengesahkan anda hamil.
Jika kurang jelas, ujian ini dilakukan secara transvaginal. Jika kantung kandungan tidak dapat dikesan, ujian pengesahan kehamilan secara ujian darah akan dilakukan, lebih-lebih lagi anda masih berasa mual.
- Kadangkala, ujian air kencing untuk kehamilan boleh menjadi positif walaupun sebenarnya seseorang tidak hamil. Ini dinamakan ‘positif palsu’.
Ujian darah lebih tepat dan ia mengukur paras hormon yang sama (hCG) serta keputusannya dapat diketahui selepas beberapa jam sahaja.
- Setelah anda disahkan hamil, status kehamilan terbabit perlu diketahui sama ada masih hamil atau sedang/sudah keguguran serta lokasi kehamilan sama ada di dalam atau di luar rahim.
- Apabila diulangi, perbezaan paras hormon bhCG ini (sama ada meningkat ataupun sebaliknya menurun) boleh memberi maklumat sama ada kandungan itu masih ada ataupun sudah keguguran.
Lazimnya ia diulangi selepas 48 jam untuk memberi maklumat tambahan mengenai kemungkinan kandungan terbabit jenis ektopik (luar rahim).
Bagaimanapun jika kantung kandungan sudah dikesan, ujian terbabit mungkin diulangi selepas sehari sahaja.
- Sementara menunggu hasil keputusan, doktor lazimnya menasihatkan anda berehat dan memberi ubat mengandungi hormon progestin untuk membantu menghentikan pendarahan.
Anda juga mungkin dinasihatkan untuk tidak melakukan hubungan seks buat sementara waktu. Sewaktu pemeriksaan dalaman, doktor juga akan melihat keadaan permukaan pintu rahim (serviks) anda.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan