SOALAN
SAYA seorang suri rumah dan baru bersalin enam bulan lalu. Selepas bersalin, saya mengambil pil perancang dan menyusukan bayi.
Ketika anak saya berusia dua bulan, saya mengalami kencing berdarah. Apabila kencing, saya tak berasa sakit tapi rasa ingin kencing lagi walaupun sudah kencing. Saya juga rasa sakit di bahagian perut terutama apabila saya mengangkat benda berat atau terlalu penat.
Saya mendapatkan rawatan di hospital dan doktor mengatakan saya mungkin mengalami batu karang. Saya ingin bertanya, adakah memakan pil perancang boleh menyebabkan batu karang?
Sehingga kini, hampir setiap hari saya menahan sakit dan kencing berdarah apabila mengangkat benda berat dan kadangkala sakit bahagian perut dan kencing berdarah selepas bersama dengan suami.
Adakah saya perlu menjalani ujian Pap smear atau rawatan lain?
Lily,
Kota Kinabalu, Sabah
JAWAPAN
PERKARA pertama adalah memastikan sama ada benar pendarahan itu berasal daripada sistem kencing ataupun faraj ataupun sebenarnya air kencing yang bercampur dengan darah haid.
Adakah darah itu sebati bercampur dengan air kencing ataupun adakah ia hanya dikesan apabila anda mengesat kemaluan?
Sekiranya anda disyaki mengalami batu karang dalam air kencing, pemeriksaan susulan lazimnya akan dilakukan bagi memastikan batu karang itu sudah keluar melalui air kencing.
Selain ujian air kencing, ujian sinaran-X dan/atau ultrabunyi dapat membantu mengesan lokasi batu karang ini. Anda juga mungkin dinasihatkan menjalani prosedur kecil menggunakan teropong ke dalam pundi kencing.
Ada juga kemungkinan ia bukannya batu karang tetapi jangkitan kuman di dalam air kencing yang lazimnya disebabkan bakteria. Mungkin juga pendarahan itu akibat luka pada bahagian bukaan saluran kencing (urethra) yang berlaku akibat geselan hubungan seks. Sama ada ia disebabkan batu karang ataupun jangkitan kuman, kedua-duanya memerlukan rawatan khusus.
Selain itu, doktor mungkin akan menjalankan ujian lanjut sekiranya anda disyaki mengalami kelainan pada kedudukan atau fungsi otot pengawal bukaan (sfinkter) saluran kencing. Kadangkala, kelemahan pundi kencing dan sfinkter ini boleh disebabkan trauma yang berlaku sewaktu proses bersalin.
Kita sedia faham setiap ubat atau bahan mempunyai kesan sampingan tersendiri. Namun dalam dunia perubatan moden, sesuatu ubat moden yang tersenarai untuk kegunaan umum perlu melalui tempoh ujian tertentu dan disahkan mempunyai kebaikan melebihi keburukannya. Kesahihan ujian ini bukan dilihat dari segi pengamatan tetapi mesti melepasi ujian kesahihan secara analisis statistik.
Setelah diluluskan untuk kegunaan umum, kesan sampingan ubat-ubatan ini masih dipantau dan laporan kesan sampingannya diberi perhatian, ia mungkin akhirnya mengubah hasil kajian.
Terdapat kesan sampingan kategori 'rendah', 'sangat rendah atau jarang' dan 'belum ditentukan' kekerapannya. Anda juga perlu faham, setiap orang menunjukkan pengalaman kesan sampingan yang berbeza apabila menggunakan sesuatu ubat, ada yang serasi dan sebaliknya ada yang didapati tidak sesuai.
Penggunaan pil perancang jenis tertentu ada dilaporkan menyebabkan masalah buah pinggang. Anda dinasihatkan berbincang dengan doktor mengenai hal ini. Ujian Pap smear memang disarankan bagi wanita yang pernah melakukan hubungan seks.
(Sumber Harian Metro)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan