Label

CARA MERAWAT PENYAKIT TIROID (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA pernah mendengar tentang penyakit tiroid lebih kerap menyerang wanita berbanding lelaki. Baru-baru ini kakak ipar saya disahkan menghidap penyakit ini semasa hamil. Dr, apakah yang menyebabkan ibu hamil berisiko menghidap penyakit ini dan apakah rawatannya. Mohon Dr menjelaskan lebih lanjut mengenainya.

Su,
Johor

JAWAPAN

PENYAKIT tiroid lebih kerap berlaku di kalangan wanita berbanding lelaki. Penyakit ini boleh berlaku semasa dan selepas kehamilan. Bagaimanapun penyakit ini selamat serta mudah dirawat jika diagnosis dan rawatan pada peringkat awal dilakukan.

Kelenjar tiroid

Secara anatomi, kelenjar tiroid terbahagi dua, seperti rama-rama. Dua hormon dikeluarkan kelenjar ini iaitu hormon tiroksin (T4) dan juga triiodotiroksin (T3). Hormon ini mengawal metabolisme (pengeluaran tenaga) manusia. Jika tiroid tidak berfungsi dengan sempurna, ia memberi kesan terhadap aspek kesihatan, terutama berat badan, kemurungan dan tahap tenaga.

Dengan metabolisme tinggi, anda mungkin berasa panas dan sebaliknya. Jadi kelenjar tiroid membantu fungsi badan berjalan pada kadar selamat dan berkesan. Kawalan kelenjar ini dilakukan oleh kelenjar pituitari pada otak, melalui hormon perangsang tiroid. Apabila aras hormon tiroid tinggi, akan timbul penyakit hipertiroidisme dan jika aras hormon terlalu rendah, penyakit hipotiroidisme pula berlaku. Penyakit lain seperti diabetes mellitus juga boleh mengganggu pengeluaran hormon tiroid.

Terdapat ujian, pemeriksaan dan juga simptom tertentu yang boleh digunakan untuk mendiagnosis penyakit tiroid. Anda juga mungkin akan menghidap penyakit lain susulan daripada perjalanan fungsi kelenjar tiroid yang tidak teratur.

Ada dua jenis penyakit tiroid iaitu hipertiroidisme dan hipotiroidisme yang biasa menyerang wanita berbanding lelaki. Empat nisbah satu penyakit tiroid menyerang wanita berusia 20 tahun ke atas kerana sebab dan alasan yang tidak diketahui hingga kini.

Penyakit hipotiroidisme


Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid tidak berfungsi secara optimum sehingga hormon tidak dikeluarkan secukupnya. Ubat yang dimakan untuk merawat fungsi tiroid berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit hipotiroidisme.

Lazimnya, penyakit hipotiroidisme disebabkan keradangan pada kelenjar tersebut, yang dipanggil tiroiditis. Penyakit ini juga dikenali sebagai penyakit Hashimoto iaitu sejenis penyakit autoimun yang merangsang pertahanan badan supaya mengeluarkan antibodi terhadap kelenjar tiroid. Akibatnya, otak mengeluarkan isyarat melalui hormon perangsang tiroid supaya kelenjar tiroid berkerja lebih kuat. Akibatnya, kelenjar tersebut membesar dan dipanggil goiter. Akhirnya, kelenjar tiroid tidak lagi dapat mengeluarkan hormon yang diperlukan oleh badan.

Simptom hipotiroidisme adalah bengkak kaki, ingatan terganggu, lembap, malas, kuat tidur, badan sering terasa sejuk dan boleh mengakibatkan masalah jantung jika tidak segera dirawat. Pesakit yang mengalami penyakit ini mudah dirawat, tetapi terpaksa mengambil hormon tiroksin seumur hidup. Dos ubat juga mungkin diubah secara berkala bergantung kepada aras hormon tiroid.

Hipertiroidisme

Penyakit ini berlaku apabila kelenjar tiroid mengeluarkan hormon berlebihan. Biasanya ia disebabkan penyakit autoimun manakala badan manusia pula menghasilkan antibodi yang mampu merangsang kelenjar tiroid. Hipertiroidisme berlaku apabila kelenjar tiroid terlalu aktif dan menghasilkan terlalu banyak hormon tiroksin. Penyakit Grave adalah penyebab utama peningkatan aktiviti kelenjar. Selain itu, ubat yang diambil untuk hipotiroidisme mungkin menyebabkan hipertiroidisme, jadi pengawasan doktor amat penting. Simptom hipertiroidisme adalah hilang berat badan, kerap buang air besar, berpeluh, berdebar-debar, menggeletar, penglihatan terjejas dan bertambah selera makan.

Rawatan yang diberikan akan mengurangkan pengeluaran hormon tiroid. Ubat untuk mengurangkan debaran jantung mungkin perlu diberikan. Sekiranya rawatan yang diberikan gagal, mungkin rawatan menggunakan iodin beradioaktif diberikan untuk memusnahkan sebahagian kelenjar tiroid. Pembedahan juga salah satu daripada kaedah rawatan.

Penyakit tiroid semasa hamil


Penyakit tiroid memberikan risiko pada anda dan juga kandungan. Sebab itulah pentingnya anda menjalani pemeriksaan kesihatan semasa lawatan pertama ke klinik ibu mengandung.

Dengan rawatan, anda boleh mengandung secara normal dan selamat. Rawatan anda juga mungkin diubah dos ubat secara berkala di samping ujian darah dan ujian lain yang difikirkan perlu akan dilakukan.

Rawatan iodin beradioaktif tidak akan diberikan pada pesakit hamil. Ada sesetengah ibu mengalami masalah tiroid selepas bersalin. Ini dipanggil postpartum tiroiditis. Lazimnya aras hormon tiroid ibu terbabit kembali ke normal dengan pantas. Namun, ada segelintir ibu mungkin mengalami hipotiroidisme pada masa hadapan. Perlu ditegaskan ujian pengesanan atau ujian darah hormon tiroid bukan pemeriksaan rutin semasa pemeriksaan antenatal.

Sebenarnya, tiroid boleh menyebabkan kematian jika tidak dirawat segera, apatah lagi kepada ibu hamil serta bayi dalam kandungan yang menyebabkan keguguran, kelahiran pra matang, janin kecil dan kecacatan mental. Kes ini biasanya di bawah pengawasan doktor pakar yang biasanya akan dipantau di 'combine clinic' iaitu doktor pakar perbidanan dan doktor pakar endokrin. Usah gusar, ia selamat dan mudah dirawat. Sama-sama juga saya doakan agar kakak ipar anda dan bayi yang dikandung selamat dilahirkan.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

MENYUSUKAN BAYI BANTU KURUSKAN BADAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

APAKAH cara yang terbaik menurunkan berat badan? Saya juga ingin bertanya, benarkah berat badan seorang ibu akan turun apabila menyusukan anak dan akan bertambah selepas berhenti menyusukan anak?

Nor,
Shah Alam

JAWAPAN

SOALAN
yang diutarakan amat praktikal sekali. Masalah berat badan ini amat sensitif dalam kalangan wanita. Saya tahu ramai wanita di luar sana yang mencuba pelbagai produk pelangsing yang ditawarkan dan sanggup membelanjakan wang yang banyak untuk masalah ini.

Sudah menjadi lumrah, sebagai wanita dan isteri, kita semua berharap agar dapat mengekalkan bentuk tubuh badan yang menarik untuk menambat hati suami. Yang kurus nak gemuk dan yang gemuk pula nak kurus. Bukan tidak puas dengan apa yang dikurniakan, tapi nak menjadi yang lebih baik. Tapi maklum sahajalah, bila dah bersalin sekali dua, berat badan susah nak turun. Tambahan pula, bila menyusukan anak sepenuhnya, bukan saja tak boleh mengambil ubat pelangsing sebarangan tetapi nak berdiet berlebihan pun kurang digalakkan kerana dikhuatiri menjejaskan pengeluaran susu atau membahayakan bayi.

Kesabaran

Menurunkan berat badan bagi ibu-ibu yang sedang menyusukan anak bukan satu perkara yang mustahil, tetapi ia memerlukan kesabaran dan komitmen yang tinggi. Ini kerana, proses menurunkan berat badan sewaktu menyusukan anak perlu dilakukan secara perlahan-lahan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada susu yang diberi kepada bayi.

Secara asasnya, menyusukan bayi tidak membuatkan berat badan bertambah. Malah menurut kajian, ibu-ibu yang menyusukan anak lebih mudah menurunkan berat badan berbanding ibu-ibu yang tidak menyusukan anak kerana menyusukan bayi menggunakan antara 200 hingga 500 kalori setiap hari. Bagaimanapun perlu diingat, kita masih perlu menjaga pemakanan.

Ada beberapa panduan yang mungkin berguna untuk ibu-ibu yang ingin menurunkan berat badan. Paling utama ibu tersebut perlu minum air secukupnya. Air yang mencukupi dapat melancarkan sistem badan termasuk mengekalkan metabolisme kita pada kadar yang sepatutnya. Seelok-eloknya hanya minum air setengah jam selepas makan. Ibu juga dinasihatkan untuk makan apabila perut berasa lapar. Mereka juga perlu ingat pada wasiat Rasulullah "Makan apabila lapar, berhenti sebelum kenyang". Paling baik sekali adalah makan empat ke enam kali sehari dengan kuantiti yang kecil. Utamakan sarapan pagi. Sarapan pagi perlu diambil dalam masa sejam selepas bangun tidur.

Makanan yang dimakan juga perlu dikunyah secara perlahan-lahan. Paling baik sekali jika makanan tersebut dikunyah 44 kali untuk mengurangkan beban penghadaman. Selain itu, otak akan menerima isyarat kekenyangan pada waktu yang tepat. Kalau makan laju sangat, otak tidak sempat memberi isyarat yang kita dah terlebih kenyang. Kurangkan percakapan semasa makan untuk mengelakkan tidak perasan yang kita sudah terlebih makan.

Makanan yang diambil perlu seimbang. Kajian menunjukkan bahawa ramai orang yang terlebih berat badan disebabkan zat yang tidak mencukupi. Kekurangan protein akan menyebabkan badan tidak dapat menghasilkan enzim (enzim terbina daripada asid amino) yang mencukupi untuk mencernakan makanan. Selain itu, orang yang kekurangan protein biasanya mempunyai nafsu makan yang sangat tinggi. Protein biasanya membuatkan kita rasa kenyang dalam jangka masa lebih panjang. Vitamin B6 adalah zat penting dalam metabolisme lemak. Kalau berkurangan, lemak tidak dapat dibakar dan berkumpul secara berlebihan.

Kesimpulannya, makanan yang diambil perlu seimbang. Kurangkan pengambilan gula dan makanan rapu. Gula membekalkan kalori yang tiada nilai zat. Gula juga menambah potensi seseorang diserang penyakit diabetes mellitus apabila pengambilan tidak dikawal. Manakala makanan rapu yang mengandungi garam yang tinggi bukan sahaja menyebabkan nafsu makan sukar dikawal bahkan dikaitkan dengan risiko penyakit hipertensi (darah tinggi).

Aktiviti fizikal

Banyakkan aktiviti fizikal. Saya pasti ibu-ibu tidak mengalami masalah untuk memperbanyakkan aktiviti fizikal. Walaupun tidak dapat meluangkan masa ke gimnasium atau senamrobik, ibu-ibu akan sentiasa sibuk dengan tugasan harian. Aktiviti senaman sekurang-kurangnya 15 minit, dua kali seminggu adalah sangat digalakkan.

Bagaimanapun, bagi yang tidak dapat meluangkan masa untuk bersenam, eloklah mengambil alternatif seperti menggunakan jalan lebih jauh untuk sampai ke satu-satu tempat dengan berjalan, berjalan sambil menghayunkan tangan, melakukan kerja rumah, aktiviti santai bersama anak-anak dan banyak menggunakan tangga daripada lif.

Puan juga hendaklah sentiasa berfikiran positif dan banyak bersabar kerana pengurangan berat badan ini adalah lebih kurang dua kilogram sahaja dalam masa sebulan. Teruskan dengan penyusuan kerana ada banyak lagi keistimewaan yang anda akan kecapi.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BERSALIN TAMBAH RISIKO RAHIM JATUH (SAKIT PUAN)

UTERUS atau dalam bahasa harian lebih senang disebut rahim, mungkin boleh dilambangkan sebagai kasih sayang bagi seorang wanita.

Di dalam organ inilah, 'benih' cinta antara dua individu bersatu, membesar selama 40 minggu dan apabila sampai masanya, menyingkap dunia melalui frasa yang cukup istimewa.

Sebagai organ yang mempunyai fungsi ajaib melahirkan cahayamata, pastinya tugas berat tersebut sedikit sebanyak membebankan dan boleh mendatangkan masalah di kemudian hari.

Rahim jatuh atau uterovaginal prolapse adalah satu daripadanya. Ia berlaku apabila rahim turun atau jatuh daripada kedudukan anatomi asalnya di aras tonjolan tulang iskium (ischial spine).

"Punca utamanya ialah kelemahan otot-otot dan ligamen-ligamen sokongan rahim serta lantai pelvis yang disebabkan oleh beberapa perkara," kata Dr. Ixora.

Menurut beliau, otot-otot lantai pelvis atau saraf pudendal iaitu saraf yang menjadi penyambung di bahagian tersebut boleh tercedera ketika proses kelahiran. Tambahan lagi kepada wanita yang melalui proses kelahiran lebih daripada empat kali, mereka sangat terdedah kepada risiko mengalami rahim jatuh.

Faktor lain seperti kekurangan tisu kolagen sama ada sejak lahir atau disebabkan oleh menopaus dan masalah keabnormalan tulang belakang seperti 'spina bifida' juga mengundang masalah ini.

Dianggarkan sekitar 30 peratus wanita berusia mengalami masalah rahim jatuh tetapi peratusan sebenarnya tidak diketahui dengan tepat kerana ramai yang malu untuk berjumpa doktor.

Walaubagaimanapun kata beliau, terdapat juga wanita muda yang mengalami masalah ini tetapi ia jarang berlaku. Jika berlaku sekali pun mungkin berpunca daripada masalah saraf pudendal yang wujud secara semula jadi sejak lahir atau akibat kecederaan saraf tunjang atau penyakit saraf seperti gullain-barre dan poliomyelitis.

"Individu yang mengalami masalah kesihatan seperti obesiti, sembelit dan batuk yang berpanjangan serta selalu mengangkat beban berlebihan atau berpanjangan untuk tempoh yang lama boleh menyebabkan otot lantai pelvis lemah," kata beliau.

Jelas Dr. Ixora, biasanya masalah rahim jatuh akan diiringi masalah organ-organ pelvis lain seperti pundi kencing, faraj, uretra (salur kencing), rektum (usus besar) dan usus kecil yang dipanggil pelvic organ prolapse (POP).

Antaranya masalah cystocoele ( pundi kencing jatuh / bonjolan pundi kencing ke dalam faraj) dan rectocoele (usus besar rektum jatuh / bonjolan rektum ke dalam faraj).

Selain daripada itu ia juga diiringi oleh masalah kencing seperti stres inkontinens (kebocoran akibat batuk, bersin atau ketawa) dan masalah pundi kencing terlalu aktif.

Kategori rahim jatuh:

>> Peringkat pertama : serviks turun dari kedudukan normalnya sehingga bukaan faraj tetapi rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat kedua : serviks dan sebahagian rahim turun dari kedudukan normalnya sehingga melepasi bukaan faraj tetapi fundus rahim masih di dalam faraj

>> Peringkat ketiga (procidentia) : serviks dan keseluruhan rahim termasuk fundusnya dan dinding faraj turun melepasi bukaan faraj.

Simptom-simptomnya:

>> Terasa sesuatu terkeluar di bahagian faraj

>> Ketulan pada faraj

>> Sakit pelvis / ari-ari (dragging pelvic pain)

>> Sakit belakang

>> Sakit semasa hubungan seks

>> Pendarahan faraj selepas menopaus

>> Inkontinens kencing

>> Sukar buang air kecil / besar

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

RAWATAN SELEPAS BERSALIN (SAKIT PUAN)

AMALAN berpantang selepas bersalin bukan sahaja menitik beratkan soal pemakanan ibu semata-mata tetapi juga merangkumi penjagaan tubuh badannya secara luaran dan dalaman.

Selain menjaga makan dan minum, proses mengembalikan kesegaran tubuh juga amat penting kerana seorang ibu perlu sentiasa sihat semasa menjaga bayi mereka dan bekerja semula selepas berpantang.

Namun kini, ramai yang menganggap amalan berpantang tidak lagi penting dan dianggap remeh.

Malah ada yang menganggap amalan berpantang hanyalah sesuatu yang merugikan.

Bagi wanita yang baru lepas bersalin, antara perkara yang ditekankan ialah urutan bagi menaikkan rahim atau di kalangan orang Melayu sebut sebagai sengkak rahim. Urutan ini dilakukan bagi menaikkan semula rahim yang kendur atau terjatuh semasa proses melahirkan anak.

Rawatan tradisional seperti sengkak rahim membantu mengecutkan otot-otot rahim dan menolak rahim masuk semula.

Ini dibantu dengan pemakanan yang betul seperti mengelakkan pengambilan makanan sejuk yang boleh menyebabkan urat kembang atau masuk angin.

Bertungku

Selain itu, amalan bertungku sering dipraktikkan semasa dalam pantang.

Ini kerana bertungku jika diamalkan selalu boleh membantu mengempiskan perut, menghilangkan garis kesan pembedahan untuk mereka yang baru bersalin dan memulihkan rahim yang jatuh atau 'simpan batu merian'.

Proses bertungku itu dilakukan sambil berbaring dan tungku ditekan perlahan-lahan pada sekitar perut, pangkal paha, berhampiran ari-ari, kaki, telapak kaki dan tumit.

Ia dilakukan selama satu jam dari bahagian hadapan hingga ke belakang. Jika dilakukan semasa berpantang, darah nifas akan mengalir dengan lancar selepas bertungku.

Justeru bertungku adakala diteruskan hingga keluar darah terakhir berwarna seakan-akan putih keperangan atau dipanggil darah meroyan.

Pada zaman moden ini, rawatan selepas bersalin ini bukan sahaja boleh dilakukan sendiri atau bidan di rumah, sebaliknya pusat kecantikan turut menyediakan rawatan tradisional untuk ibu bersalin seperti sauna, urutan dan tunku herba.

Di Tini Spa misalnya, menawarkan pakej rawatan bersalin di kedua-dua buah cawangan yang terletak di Ampang dan Shah Alam, Selangor.

Tidak hanya tertumpu untuk mendapatkan tubuh badan langsing, rawatan selepas bersalin ini sebenarnya penting untuk kesihatan luar dalam seorang ibu.

Selain amalan tersebut, si ibu juga turut diberikan jamu dengan ramuan-ramuan tersendiri bagi menguatkan lagi kesihatan dalaman seseorang wanita.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

CUBA RAWATAN KESUBURAN IUI (SAKIT PUAN)

SOALAN

SUDAH hampir lima tahun saya berkahwin dan masih tidak mempunyai zuriat. Saya dan suami sudah menjalani ujian kesuburan di salah sebuah hospital kerajaan.

Doktor pakar menyatakan kami subur tetapi hingga ke hari ini, saya masih tidak hamil. Doktor ada memberikan asid folik untuk tiga bulan.

Kadang-kadang saya rasa tidak sempurna menjadi seorang isteri kerana tidak mampu menjadi seorang ibu. Suami banyak membantu daripada sudut emosi dan memberi semangat kepada saya serta banyak bersabar dengan keadaan saya.

Daripada sudut pemakanan, saya tidak pernah berpantang makan termasuk buah-buahan, sayuran, nasi, roti dan susu. Ketinggian saya adalah 157 sentimeter dengan berat badan hanya 39 kilogram. Mungkin BMI saya tidak sesuai dan saya buntu mencari kaedah untuk menaikkan berat badan bagi mendapatkan zuriat.

Arnis,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

DENGAN ketinggian anda, berat badan yang ideal adalah di antara 47 hingga 61 kilogram, anda dinasihatkan berjumpa pakar dietetik untuk mendapatkan nasihat pemakanan bagi meningkatkan berat badan anda.

Ia mungkin berkaitan dengan masalah kesuburan anda walaupun kebanyakannya juga mempunyai gangguan haid. Kurang berat badan boleh memberi masalah apabila anda hamil kelak, sama ada terhadap anda sendiri mahupun terhadap kandungan.

Secara ringkasnya, apabila doktor mengatakan kedua-dua anda dan suami subur, ini bermakna:

- Anda mempunyai struktur faraj, rahim, tiub fallopio dan ovari yang normal.

- Ovari anda juga menghasilkan telur (ovulasi) secara teratur pada setiap kitaran. Ia dapat dipantau menggunakan ultrabunyi yang dilakukan secara berturut ataupun menggunakan ujian darah hormon.

- Kedua-dua tiub fallopio anda normal. Lazimnya, ini diketahui setelah anda menjalani prosedur memasukkan cecair melalui pintu rahim (serviks) bagi menguji sama ada ia masuk melalui kedua-dua belah tiub fallopio. Ini dapat dibuktikan secara sinaran-x (HSG) ataupun pembedahan kecil (laparoskopi diagnostik) ataupun lebih jarang lagi secara ultrabunyi (Hycose).

- Ujian air mani suami juga normal iaitu dengan kepekatan sperma sebanyak sekurang-kurangnya 20 juta bagi setiap mililiter air mani. Peratus bilangan sperma yang bergerak ke hadapan juga sekurang-kurangnya 50 peratus manakala peratus bilangan sperma yang mempunyai bentuk atau ciri normal juga sekurang-kurangnya 30 peratus.

Jika demikian, anda boleh memilih untuk menjalani rawatan kesuburan secara permanian berhadas (IUI) kerana kajian membuktikan bagi pasangan yang diperiksa dan didapati tidak mempunyai masalah berkaitan, IUI dapat meningkatkan peluang kehamilan sebanyak tiga hingga empat kali ganda berbanding peluang asal anda setelah lima tahun berkahwin iaitu sebanyak dua hingga empat peratus sahaja.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

STRES ISTERI PANAS BARAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 47 tahun dan isteri berusia 40 tahun. Kami telah mendirikan rumah tangga hampir 20 tahun dan mempunyai empat anak.

Anak yang sulung berumur 20 dan yang kecil 10 tahun. Baru-baru ini, saya perhatikan dia akan cepat marah dan perilakunya agak agresif. Perkara yang remeh-temeh akan menjadi isu pertengkaran. Selalunya saya akan mendiamkan diri daripada melayan kerenahnya. Lama-kelamaan kesabaran saya tercabar juga. Kadang-kala saya dan anak-anak berasa stres dengan keadaan ini. Di sini ingin saya mendapat penjelasan doktor, adakah keadaan isteri saya ini satu penyakit dan bolehkah ia diubati serta pada doktor bahagian manakah perlu saya membuat rujukan?

Suami tertekan, Perak.

JAWAPAN

BERDASARKAN cerita saudara, susah untuk saya kesan sama ada tanda-tanda itu ada hubungan dengan penyakit. Sifat cepat naik marah dan agresif ada hubungannya dengan tanda-tanda menopaus.

Kebiasaannya ia menyerang wanita berumur 45 tahun ke atas. Susah nak dikatakan sekiranya panas baran tersebut ada kaitan dengan tanda-tanda awal menopaus. Sebaiknya, bawa dia berjumpa pakar sakit puan.

Sekiranya sifatnya tidak ada kaitan dengan menopaus, mungkin anda boleh membawa isteri berjumpa dengan kaunselor perkahwinan atau pakar psikiatri.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KETUAT DI KEMALUAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA adalah gadis berumur 21 tahun, merupakan anak sulung dan tidak pernah melakukan seks. Baru-baru ini saya dapati ketuat di kemaluan (genital wart) saya berasa sakit. Ketuat itu memang ada sejak saya kecil dan meningkat dewasa.

Soalan saya, adakah mempunyai 'genital wart' itu normal? Bagaimana ia boleh tumbuh? Adakah perubahan pada ketuat tersebut disebabkan perubahan hormon? Adakah ketuat yang berdarah boleh menjadi tanda kanser servik? Bolehkah ketuat bertukar kepada malignant cell dan menyebabkan kanser di bahagian reproduktif wanita?

Terima kasih.
Gadis, Ipoh

JAWAPAN

DARIPADA cerita di atas saya kurang pasti sama ada ketuat di kemaluan yang dialami itu genital wart atau tidak. Genital wart adalah tidak normal jika dialami oleh seseorang wanita. Genital wart atau kutil genitalis (Kondiloma Akuminata) merupakan kutil yang tumbuh di dalam atau di sekeliling faraj atau dubur. Ia berjangkit melalui hubungan seksual dan disebabkan oleh 'human papiloma virus'. Kebiasaannya kutil tersebut timbul selepas satu hingga enam bulan diinfeksi dan tumbuh dalam bentuk kluster dan bukannya satu sahaja. Wanita yang mengalami masalah ini disarankan menjalani ujian pap smear.

Saya yakin apa yang dialami sudah bertahun-tahun (sejak kecil lagi) adalah suatu ketumbuhan (kutil) yang jinak dan tidak bermasalah. Ketumbuhan yang ganas akan membesar dalam masa yang singkat. Kutil sebegini dikenali sebagai 'cutaneous skin tag', seperti kulit yang terlebih tumbuh. Kebiasaannya berlaku pada bahagian lipatan iaitu di bahagian leher, ketiak dan celah paha (pangkal paha). Ia tidak memudaratkan dan tidak sakit, tidak membesar dalam masa yang singkat. Selalunya ia bertangkai dan sebesar biji halba atau beras. Ia bertukar rupa dan mungkin menimbulkan kesakitan jika terluka dan diinfeksi oleh bakteria. Anda tidak memerlukan apa-apa rawatan bagi kutil sebegini. Bagi wanita yang ingin mendapat perawatan disarankan berjumpa dengan pakar kulit. Perawatan secara laser, krioterapi (pembekuan) atau pembedahan dengan bius lokal.

Untuk pengetahuan anda, sekarang sudah ada vaksin bagi mencegah diinfeksi oleh human papiloma virus. Human papiloma virus (HPV) jenis 16 dan 18 adalah penyebab utama kanser serviks bagi wanita. Vaksin yang ada di negara kita adalah Cervarix dan Gardasil. Vaksin ini boleh mencegah seseorang wanita daripada diinfeksi oleh HPV utama tersebut. Anda boleh berjumpa dengan doktor untuk mendapatkan nasihat berkenaan pengambilan vaksin ini.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

REHAT ATASI ALAHAN MENGANDUNG (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA mengalami alahan yang sangat teruk sepanjang trimester pertama kehamilan. Benarkah terdapat ubat yang mampu mengatasi masalah ini? Jika ada, adakah ubat ini akan memberi kesan terhadap kandungan?

JAWAPAN

KEBIASAANNYA, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan aras hormon kehamilan yang dikenali sebagai 'human chorionic gonadotrophin' yang meningkat. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang kerana aras hormon tersebut akan berkurangan selepas trimester pertama. Bagaimanapun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.

Tiada ubat spesifik yang perlu diambil bagi mengatasi masalah alahan ini. Secara amnya doktor akan memberikan nasihat bagi mengurangkan simptom alahan dengan mengamalkan pemakanan yang kerap atau mengambil hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap dua jam) walaupun anda tidak lapar. Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan dari mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng. Jika tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas dan mengelakkan dari mengambil kafein.

Semasa peringkat ini juga seseorang wanita perlu minum air dengan kerap sehingga 10 hingga 12 cawan sehari. Bagi rutin harian pula, anda hendaklah berehat secukupnya. Pada kebiasaannya, pengambilan vitamin mengandung tidak diberikan secara rutin pada peringkat ini kerana ia mungkin menyebabkan alahan bertambah teruk.

Selain dari mengamalkan panduan di atas, kebiasaannya doktor akan memberikan ubat tahan muntah (anti-emetik) jika perlu. Anda perlu dimasukkan ke wad jika alahan tersebut teruk dan mengalami simptom dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi adalah pening-pening, dahaga dan pengeluaran air kencing yang sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

APA ITU SELAPUT DARA? (SAKIT PUAN)

SOALAN

DOKTOR, saya seorang ibu, ingin bertanya suatu perkara yang sungguh merunsingkan saya. Saya ternampak kemaluan anak perempuan saya yang baru berusia sembilan bulan. Sebelum ini lubang atau pun ‘selaput dara’ anak saya kecil tetapi baru-baru ini, saya nampak sudah semakin besar.

Macam-macam perkara buruk bermain di fikiran saya. Adakah ia disebabkan anak saya telah dicabul oleh orang lain?

Atau apakah ia sesuatu yang normal dalam tumbesaran seorang anak perempuan? Saya bimbang suami mencabul anak saya atau mungkinkah selaput dara anak saya terkoyak dengan sendirinya? Apakah kesan buruk yang boleh terjadi terhadap anak kecil saya itu? Saya berharap doktor dapat memberikan maklum balas secepat mungkin sebelum saya berbuat sesuatu.

Ibu Delima.

JAWAPAN


Puan Delima,
terima kasih di atas soalan yang diutarakan pada minggu ini. Sebagai seorang ibu yang prihatin, saya dapat memahami dan bersimpati dengan kerisauan puan. Untuk pengetahuan Puan, selaput dara atau yang sering dikenal dengan sebutan ‘hymen’ adalah suatu lipatan selaput lendir yang menutupi pintu kemaluan (introitus vagina). Pada kebiasaannya berbentuk bulat sebagaimana bentuk liang faraj, tetapi ada juga yang seperti bulan sabit (bentuk semilunar), bahkan ada yang mempunyai septum (pemisah). Lubang selaput dara yang masih utuh (tidak terkoyak) umumnya hanya dilalui oleh jari kelengkeng. Pada bayi, kondisi selaput dara cenderung besar dan tebal. Tetapi semakin bayi itu membesar, jaringan selaput dara akan menipis, lebar dan terbuka.

Namun begitu, terdapat juga segelintir wanita dilahirkan tanpa selaput dara. Tisu ini pula terdapat dalam berbagai-bagai bentuk. Ada yang nipis, ada juga yang tebal dan menutupi keseluruhan lubang faraj hingga menyukarkan pengeluaran darah haid. Dalam situasi ini ada kalanya bantuan pakar perubatan diperlukan bagi membuat pembukaan (incision) untuk mengalirkan darah haid. Lazimnya ia hanya terkoyak semasa kemasukan zakar yang tegang semasa persetubuhan. Bagaimanapun, strukturnya boleh tercedera akibat senaman ataupun aktiviti lasak. Oleh yang demikian, wujud atau tidak selaput dara bukan ukuran tepat bagi menentukan kegadisan seseorang wanita.

Ia boleh terkoyak sama ada secara sengaja atau tidak sengaja, apatah lagi jika telah melakukan hubungan jenis sebelum pernikahan. Suatu hal yang patut diketahui ialah bahawa selaput dara boleh juga terkoyak walaupun tanpa melakukan persetubuhan.

Terdapat pelbagai bentuk selaput dara. Ada yang seperti kelopak bunga, ada yang seperti cincin, ada yang berlubang dua, ada yang berlubang banyak dan malah ada wanita yang memang tidak ada selaput dara sejak dilahirkan. Sekiranya selaput dara telah terkoyak, iaitu kerana jimak atau tercedera akibat terjatuh dan sebagainya, selaput dara itu masih ada tetapi tidak lagi utuh atau mungkin ia bertaut kembali. Namun begitu jika seorang wanita telah melahirkan anak maka selaput daranya akan hilang.

Mengambil pemikiran positif dan bersangka baik terutama terhadap pasangan hidup dan ahli keluarga adalah jalan terbaik dalam membesarkan anak-anak. Mungkin ia sebahagian daripada perubahan normal setelah bayi perempuan anda membesar. Bagaimanapun, langkah berhati-hati perlu diambil dan usul periksa sebelum mengambil tindakan. Implikasi tindakan seseorang mungkin akan menghambat kehidupan pada masa depan. Saya sarankan puan membawa anak puan berjumpa doktor untuk pemeriksaan lanjut bagi mendapatkan pengesahan.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BIMBANG CYST GANGGU BAYI (SAKIT PUAN)

SOALAN

ISTERI saya disahkan hamil 10 minggu dan ketika imbasan, doktor di klinik swasta menyatakan ada cyst berukuran 11 sentimeter x 8 sentimeter. Ini adalah kehamilan pertama isteri saya.

Dia tidak menghidapi senggugut yang teruk, pedih atau sakit di perut sebelum ini. Keadaannya normal dan hanya mengalami alahan biasa seperti muntah.

Persoalannya, mengapa cyst sebesar ini tidak menunjukkan simptom atau tanda awal seperti sakit atau sebagainya? Adakah cyst ovari ini akan mengganggu dan menjejaskan kandungan serta tumbesaran bayi yang dikandung?

Apakah langkah dan jenis rawatan yang diperlukan untuk menyembuhkan penyakit cyst ini? Pandangan dan nasihat doktor amat diperlukan.

Khairul Azhar,
Shah Alam, Selangor.

JAWAPAN

SEBENARNYA ramai wanita yang tidak menyedari kehadiran ketumbuhan pada ovari (misalnya cyst) ataupun pada rahim (misalnya fibroid), malah kebanyakannya hanya disedari atau dikesan oleh suami mereka.

Jika isteri anda bertubuh kecil, dia mungkin menganggapnya sebagai kembung perut atau dirinya gemuk. Pada usia kehamilan 10 minggu, tiada perubahan saiz perut iaitu sama seperti wanita yang tidak hamil kerana saiz rahim masih kecil dan tersorok di dalam rangka pelvis.

Kesakitan lazimnya dialami jika ovari yang mengandungi cyst terbabit terpintal pada tangkainya sehingga menyekat aliran darah ke seluruh ovari berkenaan. Keadaan ini dinamakan ‘torsion’ atau ovari ‘twisted’ dan ia memerlukan pembedahan segera bagi memulihkan aliran darah.

Dengan saiz sebesar 11 sentimeter, cyst boleh mengganggu kehamilan yang semakin membesar. Ruang abdomen yang terhad dengan saiz kandungan boleh mengundang risiko kontraksi pramatang, kelahiran pramatang dan seumpamanya.

Malah, pembedahan lewat lebih menyukarkan disebabkan ruang yang terhad ini. Bawalah isteri anda berjumpa pakar perbidanan untuk pengesahan. Jika benar ia cyst ovari, doktor lazimnya akan menunggu sehingga kandungan memasuki trimester kedua sebelum melakukan pembedahan untuk membuangnya.

Jika berlaku komplikasi contohnya terpintal atau jangkitan kuman atau pecah mengakibatkan pendarahan, pembedahan akan dilakukan segera.

Buat sementara ini, doktor akan memantau saiz cyst serta melakukan ujian darah petanda tumor serta ujian berkait dengan kehamilan. Berdasarkan ciri-ciri pada imbasan ultrabunyi, jenis cyst dapat diagak sama ada cyst fisioligi, cyst penyakit contohnya endometriosis, teratoma dan seumpamanya. Ada juga kemungkinan sewaktu pemantauan ini, cyst terbabit mengecil dan hilang dengan sendirinya.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KERAP HAMIL JEJAS TULANG (SAKIT PUAN)

MEMILIKI zuriat yang ramai selalunya mampu memberikan kebahagiaan dalam kehidupan berkeluarga.

Namun, kehamilan yang kerap dan dalam jarak masa yang singkat turut mengundang risiko kepada ibu mengandung.

Seorang pakar perubatan rehabilitasi dari Fakulti Kedoktoran, Universiti Indonesia, Dr. Siti Annissa Nuhonni berkata, bayi di dalam kandungan memerlukan kalsium yang banyak untuk proses pembesarannya.

Kalsium tersebut disumbangkan oleh ibu dan kuantitinya perlu dikongsi bersama. Ia secara tidak langsung menunjukkan bahawa ibu hamil memerlukan kuantiti kalsium yang tinggi berbanding biasa.

Selain itu, setelah proses melahirkan anak, kuantiti kalsium yang banyak masih diperlukan untuk disalurkan kepada bayi melalui susu ibu.

“Ini secara tidak langsung menyebabkan seorang ibu memerlukan jumlah kalsium yang lebih berbanding keadaan biasa,” jelasnya.

Tambah Annissa, jarak kehamilan dan kelahiran yang dekat akan turut menyebabkan ketidakseimbangan kandungan hormon estrogen di dalam tubuh.

Ketidakseimbangan hormon penting wanita tersebut secara tidak langsung akan mengganggu penyerapan kalsium ke dalam tulang.

“Estrogen penting untuk penyerapan kalsium. Jadi, apabila ia terganggu, struktur tulang juga akan terganggu akibat kekurangan kalsium,” ujar Annissa.

Lebih memburukkan keadaan apabila darah kehabisan kandungan kalsium dan ia mula menyerapnya daripada tulang dan gigi pula.

Ini kerana sebanyak 80 peratus kandungan kalsium dalam badan terdapat pada bahagian itu.

Setelah banyak kalsium diserap keluar, ia akan mengganggu struktur tulang dan gigi. Ia akan mengurangkan kepadatan struktur itu yang akhirnya mengundang penyakit berkaitan tulang.

Dalam pada itu, Pakar Perunding Pemulihan Perubatan WQ Park, Dr. Tunku Nor Taayah Tunku Zubir menjelaskan bahawa kekurangan kalsium di dalam badan boleh menyebabkan masalah kerapuhan tulang.

Berpantang

“Kalsium adalah elemen terpenting dalam pembentukan tulang. Justeru ia diperlukan dalam kuantiti yang mencukupi untuk mengekalkan kekuatan tulang.

“Apabila kurang kalsium, ia akan menyebabkan masalah osteoporosis yang sering menyerang wanita terutamanya yang sudah menopaus,” katanya kepada Jurnal.

Ibu hamil digalakkan minum banyak susu dan mengambil sumber kalsium lain seperti keju, yogurt dan sayur berdaun hijau sebagai cara untuk mengoptimumkan jumlah kalsium dalam badan.

Sebagai langkah untuk membantu mengekalkan kesihatan tulang dalam kalangan wanita, Pakar Perunding Seksual dan Kesihatan Reproduktif, Dr. Mohd. Ismail Tambi menasihatkan mereka yang berisiko agar menjarakkan tempoh kehamilan.

Sambil merujuk kepada kepentingan amalan berpantang selepas bersalin, Ismail menjelaskan bahawa wanita perlu menjaga kesihatan reproduktif sepanjang tempoh mengandung sehingga melepasi waktu bersalin.

“Amalan berpantang adalah penting kerana ia merangkumi tempoh seseorang wanita yang baru bersalin untuk pulih dari segi mental dan fizikal.

“Jarak masa yang lama sebelum kembali mengandung dapat digunakan oleh ibu untuk mengembalikan kalsium dalam badan dan menghilangkan trauma kelahiran,” katanya.

Seseorang ibu bukan sahaja memerlukan tempoh pantang sebelum kembali mengandung bahkan masa yang lebih lama sebagai langkah menjaga kesihatannya. Sambil menyebut saranan Islam supaya wanita menjarakkan kehamilan selama dua tahun, Ismail menasihati pasangan agar merancang kehamilan dengan pelbagai kaedah.

“Terdapat banyak cara untuk mengelakkan kehamilan berlaku. Ini termasuk mengambil hormon dan pil selain menggunakan kondom atau IUCD iaitu alat pencegahan kehamilan dalam rahim,” katanya.

(Sumber Kosmo)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

DUA KALI JALANI PROSEDUR CUCIAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 34 tahun dan belum dikurniakan cahaya mata. Saya berkahwin pada usia 33 tahun dan hamil pada usia yang sama. Setelah kandungan saya berusia lapan minggu saya sering mengalami sakit di perut dan turun darah pada usia kandungan 11 minggu. Doktor mengambil keputusan supaya saya menjalani prosedur cucian D&C. Saya berpantang dan berurut.

Selepas tiga bulan keguguran, saya disahkan hamil lagi dan pada usia kandungan lapan minggu ke atas kesakitan yang sama berulang lagi. Saya mempunyai keputihan tetapi doktor menyatakan ia bukannya serius, cuma keputihan biasa saja dan apabila dilakukan imbasan, doktor menyatakan janin tidak membesar pada usia kehamilan 12 minggu.

Setiap kali sakit perut, saya ke klinik dan sehingga usia kandungan saya berusia 14 minggu, saya mengalami masalah sama iaitu turun darah. Doktor menasihatkan supaya saya menjalani prosedur cucian kerana takut ada jangkitan kuman. Selepas sebulan keguguran, saya ke klinik swasta untuk mendapatkan nasihat doktor dan ubat-ubatan. Doktor menjalankan ujian air kencing dan mendapati ada jangkitan kuman dan menyatakan masalah hormon.

Doktor membekalkan ubat yang berkaitan dan doktor nasihatkan supaya saya mengambil ubat untuk hamil dan mengambil ubat tahan gugur sekiranya hamil kali ini. Saya juga berurut dengan bidan dan dia menyatakan kedudukan rahim ke tepi.

Saya bimbang dan hampir setahun memendam rasa takut untuk hamil. Adakah keguguran saya ini disebabkan masalah rahim tidak kuat, jangkitan kuman berlaku sewaktu kehamilan atau masalah hormon? Apakah yang patut saya lakukan memandangkan usia saya sudah lewat?

Apakah saya perlu menunggu setahun lagi supaya rahim saya betul-betul kuat?

Adakah saya perlu mengambil suplemen lain seperti Biodex atau jus Mona Vie?

Ijan,
Terengganu

JAWAPAN


SAYA musykil dengan keadaan kehamilan anda, apakah benar anda hamil? Pada usia kehamilan lapan minggu, janin dapat dikesan dengan jelas menggunakan imbasan ultrabunyi malah degupan jantungnya juga dapat didengar menggunakan teknik Doppler (jika ada) pada mesin ultrabunyi terbabit.

Anda juga tidak memberikan maklumat lanjut mengenai pemantauan pada kandungan sejak lapan minggu sehingga hari anda turun darah (11 minggu dalam ‘kehamilan’ pertama dan 14 minggu dalam ‘kehamilan’ kedua). Apabila doktor mengesyaki kandungan mengalami kematian di dalam (secara imbasan ultrabunyi), kepastian akan dibuat sama ada:

- Mendapatkan pengesahan daripada doktor yang lain.

- Memeriksa sekali lagi setelah beberapa hari (perkembangan atau saiz janin serta degupan jantungnya).

- Melakukan ujian darah hormon fl-hCG yang dilakukan berturutan hari atau selang sehari. Paras yang meningkat memberi petanda kandungan masih ‘hidup’ manakala paras yang menurun memberi petanda kandungan sudah tiada.

Sekiranya anda disahkan mengalami keguguran (kandungan tidak membesar), doktor memberi pilihan sama ada untuk menunggu ia keluar sendiri atau menjalani prosedur cuci (D&C).

Pilihan pertama memerlukan pemantauan ujian darah untuk mengesan risiko jangkitan kuman dan masalah pembekuan darah, anda tidak menyatakan sama ada anda menjalani ujian ini. Selepas ‘keguguran’ kedua, doktor anda mungkin ada menghantar isi kandungan yang dicuci itu untuk pengesahan makmal. Hasil keputusan histologi ini (singkatan HPE) mungkin sudah diberikan kepada anda.

Setelah dua kali ‘keguguran’ berturut-turut, kebanyakan doktor mula menjalankan beberapa ujian saringan penyakit walaupun ada yang menunggu sehingga tiga kali berturut-turut. Keadaan keguguran berturut-turut tiga kali ini dinamakan keguguran berulang.

Saya memilih untuk tidak menjawab soalan mengenai suplemen yang tidak berasaskan kajian klinikal secara statistik. Suplemen yang dilaporkan meningkatkan kesuburan adalah multivitamin yang boleh didapati di hampir semua farmasi tanpa memerlukan preskripsi doktor.

Pun begitu, anda hendaklah memastikan kandungannya kerana berlebihan vitamin tertentu juga boleh ‘mencacatkan’ janin dan memberi kesan kepada hati anda.

Produk yang dikatakan membuahkan kehamilan kembar tidak mustahil mengandungi bahan seperti yang terdapat dalam pil kesuburan. Ini kerana kita hanya mengeluarkan satu telur saja dalam setiap kitaran kecuali segelintir wanita yang lazimnya lebih berusia yang boleh mengalami kehamilan kembar (satu di dalam 80 atau 1.25 peratus saja).

Memandangkan pil kesuburan dilaporkan ada kaitan dengan kanser ovari, penggunaannya penting dihadkan dos dan bilangan kitarannya seperti yang ada dalam garis panduan beberapa persatuan perubatan antarabangsa.

Kita perlu tahu dengan terperinci mengenai jenis makanan, ubat atau produk yang kita ambil. Ini bagi memelihara daripada kesan sampingan yang mungkin hanya dikesan atau ditanggung apabila lebih berusia kelak.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

DARAH TAK BERHENTI (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA baru saja mendirikan rumah tangga tahun ini. Masalahnya sejak tiga bulan lalu hingga ke hari ini, saya mengalami pendarahan yang tidak henti yang mana saya perlu memakai tuala wanita setiap hari sehingga kini.

Saya mula didatangi haid pada 7 Mei lalu dan ia masih tidak berhenti. Saya tidak tahu bagaimana amalan pada bulan puasa ini tetapi saya berpuasa dan solat seperti biasa walaupun pada masa sama, saya mengalami pendarahan.

Saya sudah membuat ujian UPT tetapi hasilnya negatif. Saya ada berjumpa dengan doktor pakar sakit puan yang lain dan mereka hanya memberikan saya pil Diane untuk dimakan selama 21 hari setiap bulan.

Sehingga hari ini setelah makan pil terbabit, tiada tanda perubahan. Untuk pengetahuan doktor, saya agak lemah tetapi kuatkan diri untuk menguruskan hal seharian. Saya tidak dapat mengamalkan suruhan Allah dengan baik kerana perlu kerap menukar seluar dan tuala wanita selain saya tidak dapat menjalankan tugas saya sebagai seorang isteri untuk melayan suami.

InsyaAllah hujung tahun ini saya akan melanjutkan pengajian PhD dan perlu menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Adakah keadaan saya ini menyukarkan saya untuk hamil? Apakah pandangan doktor mengenai rawatan penyakit saya ini?

Nora,
Kuala Lumpur

JAWAPAN

KEBANYAKAN pesakit kini lebih prihatin mengenai kesihatan mereka. Bukan saja mereka mendapatkan pemeriksaan doktor, mereka juga lazimnya bertanya lebih lanjut sekiranya tidak berpuas hati dengan penerangan yang diberikan atau pergi mendapatkan pandangan atau pemeriksaan kedua dengan doktor lain. Alam siber juga membolehkan mereka mendapatkan informasi lanjut.

Sebagai pesakit, anda berhak mendapatkan penerangan mengenai diagnosis yang diberikan doktor, punca sebenar masalah haid anda, pilihan rawatan yang ada, pemeriksaan susulan serta penilaian mengenai peluang anda sembuh sepenuhnya juga sama ada ia memberikan kesan sampingan yang lain misalnya masalah kesuburan yang anda utarakan.

Kebanyakan punca masalah haid adalah dari ovari ataupun dalam rahim itu sendiri, kadangkala ia boleh berpunca daripada peradangan atau penyakit serviks (pintu rahim) dan lebih jarang lagi, dari faraj.

Walaupun ujian UPT negatif, doktor boleh mengulangi dengan ujian yang lebih tepat iaitu ujian darah bhCG untuk mengecualikan kemungkinan kehamilan atau keguguran. Anda juga mungkin sudah menjalani ujian darah yang lain serta imbasan ultrabunyi pelvis. Tidak mustahil sekiranya anda mengalami kekurangan darah (paras haemoglobin darah yang rendah) akibat pendarahan setiap hari dalam tempoh yang lama.

Rawatan hormon perancang termasuk yang anda ambil mengandungi kedua-dua hormon estrogen dan progestin yang menyerupai tindakan hormon yang dikeluarkan oleh kedua-dua ovari kita. Hormon ini mempengaruhi pertumbuhan atau penebalan, pematangan dan pengeluaran lapisan endometrium yang membentuk haid jika kita tidak hamil.

Rawatan hormon ini bersifat sementara untuk ‘mencantikkan’ haid anda, bukannya merawat punca asal. Sepatutnya dengan pengambilan pil perancang, haid bukan saja teratur, malah kuantitinya juga sedikit saja, melainkan jika seseorang terlupa mengambilnya mengikut aturan ataupun sebenarnya ia bukanlah masalah hormon.

Jika masalah masih tidak selesai, anda mungkin akan diminta menjalani pemeriksaan lanjut secara pembedahan kecil menggunakan teropong kecil yang dimasukkan ke dalam ruang rahim dan mengambil biopsi jika perlu.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

13 TAHUN TIDAK DATANG HAID (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 25 tahun dan mula datang haid ketika berumur 12 tahun.

Selepas dua kali datang haid (ketika itu haid datang teratur), sehingga kini saya tidak didatangi haid. Saya dan keluarga sudah berusaha untuk merawat penyakit saya.

Saya juga berjumpa dua doktor pakar, tetapi tiada perubahan. Ketika saya berjumpa doktor pakar, doktor memberikan beberapa jenis ubat secara berperingkat. Saya berjumpa doktor pakar sebanyak tiga kali dan ketika membuat rawatan sebanyak tiga kali itu, doktor memberikan tiga jenis ubat berlainan mengikut kesannya.

Apakah yang perlu saya lakukan kini? Adakah benar mereka yang mengalami masalah seperti saya ini sukar untuk hamil kelak?

Anis,
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN

ADAKAH anda maksudkan selama ini, anda hanya didatangi haid sebanya dua kali iaitu ketika baligh dan sebulan selepas itu? Adakah benar ia haid? Jika benar, setidak-tidaknya ia bermakna anda mempunyai ovari (yang mengeluarkan hormon haid), rahim (tempat pembentukan lapisan endometrium atau haid), laluan serviks (pintu rahim) dan faraj yang sempurna (laluan keluar darah haid dari rahim).

Bagaimanapun, sekiranya haid sudah tiada untuk tempoh yang lama, kemungkinan masalah pada ovari atau bahagian lain seperti kelenjar tiroid atau bahagian kelenjar pituitari otak (yang mengeluarkan hormon pengawal) perlu diselidiki.

Memberikan ubat mendatangkan haid hanya menggantikan hormon estrogen dan progesteron yang mungkin kekurangan atau tiada pada anda. Ia menjadikan anda seolah-olah bergantung kepada ubat terbabit.

Ujian asas dan lanjutan perlu untuk mengenal pasti dari organ mana punca masalah anda. Ukuran rahim dan kedua-dua ovari (sama ada mengecil) dapat memberi panduan. Lazimnya ia berupa ujian darah sebelum ujian lanjutan (radiologi, ujian darah yang lain) dilakukan berdasarkan hasil ujian asas.

Lebih elok jika anda mengetahui nama ubat yang diambil serta menyimpan salinan hasil ujian yang dijalani untuk fail bagi rujukan kemudian hari. Ia juga dapat menjimatkan dan tidak perlu diulangi sekiranya anda berjumpa doktor lain.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BUANG AIR KECIL TIDAK TERATUR (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 25 tahun dan sering mengalami masalah kerap membuang air kecil secara tidak teratur. Saya amat risau jika ia berterusan.

Saya mengalami simptom seperti ini sejak tahun lalu. Walaupun kadang-kadang saya tidak banyak minum air, masalah ini tetap berlaku.

Apabila saya cuba menahan, urat rahim saya terasa kembang dan agak sakit. Saya berharap doktor dapat memberikan nasihat mengenai rawatan masalah saya ini.

Tasha,
Kuching, Sarawak

JAWAPAN

SAYA kurang jelas dengan masalah membuang air kencing secara tidak teratur kerana tiada aturan pembuangan air kencing.

Sekiranya ia adalah masalah kerap membuang air kencing, kemungkinan jangkitan kuman di dalam pundi kencing, penyakit lain atau ubat, produk, makanan atau minuman yang menyebabkan diuresis ataupun masalah saraf yang mengawal pembuangan air kencing. Anda boleh memilih untuk berjumpa pakar sakit puan terutama uro-gynae ataupun pakar pembedahan urologi untuk pemeriksaan dan ujian lanjut.

Sebelum itu, anda mungkin ingin berjumpa doktor panel anda untuk menjalani ujian air kencing secara mikroskopik (singkatan UFEME) dan ujian kultur air kencing (C&S) kerana jika sebenarnya ia jangkitan kuman, ia mudah dirawat dengan ubat yang disyorkan daripada hasil ujian terbabit.

Saya juga musykil anda dapat membezakan bagaimana rasanya apabila ‘urat rahim kembang dan sakit’.

Rahim terletak di belakang pundi kencing, mungkin apa yang anda alami berpunca dari pundi kencing. Segeralah jalani ujian air kencing, jangkitan pada pundi kencing boleh ‘naik’ ke buah pinggang jika tidak dirawat.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

JERAWAT DI BAHAGIAN ALAT SULIT (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur awal 20-an dan belum berkahwin. Sejak belasan tahun, saya mendapat jerawat di bahagian kemaluan, tetapi pada masa itu ia tidak terlalu kerap.

Namun sekarang, jerawat itu semakin kerap muncul iaitu boleh dikatakan ia muncul sekali dalam tempoh sebulan atau dua bulan.

Apakah masalah yang saya hadapi ini? Apakah bentuk rawatan yang bersesuaian?

Shima,
Kuala Lumpur

JAWAPAN

ADAKAH
jerawat terbabit berulang pada tempat atau titik yang sama? Kemungkinan jangkitan kuman pada kulit atau kelenjar yang tersumbat perlu difikirkan.

Anda tidak digalakkan mencukur bulu kemaluan sebaliknya menggunting kerana mencukur boleh menyebabkan luka abrasi pada permukaan kulit yang boleh mengundang jangkitan kuman yang sememangnya sedia ada pada permukaan terbabit untuk masuk ke dalam.

Selain itu, anda juga mungkin diminta menjalani ujian darah paras glukos, terutama jika ahli keluarga mempunyai penyakit diabetes.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BIBIR FARAJ TIDAK SAMA SAIZ (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 30 tahun dan bakal melangsungkan perkahwinan pada akhir tahun ini. Kini saya amat risau dengan keadaan bibir faraj saya yang memanjang hanya pada sebelah kiri.

Adakah ia mungkin memudaratkan atau memberi kesan sekiranya saya hamil kelak?

Nani,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN


KEADAAN kedua-dua belah bibir faraj yang tidak sama saiz ada berlaku di kalangan wanita, sama seperti keadaan tidak simetri pada pasangan anggota badan yang lain.

Kebanyakannya tidak menampakkan perbezaan yang begitu ketara, namun ada segelintir yang jelas kelihatan sehingga memberi kesan terhadap keyakinan diri.

Keadaan yang anda alami tidak membahayakan atau memberi kesan pada kehamilan. Jika adapun, mungkin penghujung bawahnya menyentuh dubur dan boleh menyebabkan jangkitan dari dubur ke bahagian kemaluan. Daripada sudut kesihatan yang lain, ia tidak memberikan perbezaan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

ELAK JANGKITAN PENYAKIT KELAMIN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 23 tahun. Tahun lalu pasangan saya mengalami jangkitan pada alat kelamin iaitu gonorrhea serta mendapat rawatan suntikan dan ubat antibiotik.

Namun pada diri saya, saya tidak merasakan apa-apa kesan. Adakah saya bebas daripada jangkitan itu? Apakah kesannya pada saya jika tidak menyedari bahawa jangkitan itu sebenarnya ada pada saya?

Ujie,
Kota Kinabalu, Sabah

JAWAPAN


LAZIMNYA, apabila seseorang dikesan mengalami jangkitan seksual seperti gonorrhea, herpes dan seumpamanya, pasangan atau pasangannya yang lain juga disarankan menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan.

Ini bagi mengelakkan berlakunya jangkitan semula kepadanya oleh pasangan terbabit dan pada masa sama, dapat mengelakkan jangkitan daripada pasangannya kepada orang lain.

Tidak semestinya jangkitan terbabit menunjukkan petanda, malah kebanyakan jangkitan ini tidak mendatangkan petanda langsung. Selain gonorrhea, pasangan anda juga disarankan menjalani ujian lain yang berkaitan seperti hepatitis, HIV dan Chlamydia.

Wanita juga disarankan menjalani ujian Pap smear secara lebih kerap misalnya setiap enam bulan sebagai saringan penyakit serviks yang boleh bertukar kepada kanser serviks sekiranya tidak dirawat.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

SAKIT TERUK KETIKA HAID (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 27 tahun dan mempunyai dua anak berusia setahun dan tiga tahun. Anak pertama saya dilahirkan melalui pembedahan dan anak kedua secara normal.

Sebelum saya melahirkan anak kedua, saya tidak pernah mengalami kesakitan yang teruk apabila kedatangan haid.

Masalah saya kini apabila datang haid, saya mengalami kesakitan yang teruk sehingga sukar untuk bergerak dan berjalan.

Ari-ari saya juga terasa amat sakit dan jika saya menekan kawasan itu, ia terasa sakit.

Saya terpaksa mengambil Panadol untuk menahan rasa sakit. Kesakitan ini tidak datang setiap bulan, mungkin sekali dalam masa dua bulan dan cuma berlaku pada hari pertama haid saja.

Kitaran haid saya tetap setiap bulan dan selama tujuh hingga sembilan hari. Untuk makluman doktor, saya pernah jatuh terlentang selepas beberapa bulan melahirkan anak pertama.

Ketika anak pertama saya berusia setahun, saya lewat datang haid tetapi ujian kehamilan negatif dan setelah melakukan imbasan, ia juga negatif tetapi saya mendapat suntikan dan makan ubat untuk mengeluarkan darah.

Adakah perkara ini memberi kesan kepada kedatangan haid saya sekarang?

Ibu Runsing,
Shah Alam

JAWAPAN

SESUATU penyakit kronik lazimnya sudah muncul sejak awal lagi tetapi hanya memberikan masalah atau petanda setelah sesuatu tempoh.

Dalam keadaan anda, ia juga mungkin begitu. Anda mungkin ingin mendapatkan maklumat mengenai keadaan dalaman bahagian pelvis anda yang dapat dinilai secara langsung sewaktu doktor menjalankan pembedahan Caesarean tiga tahun dahulu.

Jika tiada, anda mungkin terpaksa bergantung kepada penilaian kini secara luaran. Dalam sebahagian kes, ia mungkin tidak dapat dikesan melalui pemeriksaan fizikal dan imbasan ultrabunyi sehingga memerlukan penilaian lanjut secara pembedahan diagnostik menggunakan kaedah teropong pula.

Pilihan terbabit terletak pada anda yang terpaksa menderita kesakitan setiap bulan sehingga sukar bergerak.

Memandangkan kesakitan itu hanya berkait dengan kedatangan haid, kemungkinan penyakit endometriosis perlu diselidiki.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

ASID LEMAK UNTUK WANITA (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA telah mengamalkan pengambilan minyak evening primrose (EPO) sejak lebih daripada setahun yang lalu. Saya dapat rasai perubahan pada kelembapan kulit dan saya terfikir untuk diberikan kepada ibu. Apakah pengambilannya turut memberi kebaikan kepada ibu yang sudah berusia 52 tahun?

JAWAPAN

KEGUNAAN minyak evening primrose bukanlah sesuatu yang baru, malah secara tradisionalnya ia telah digunakan oleh masyarakat asli Amerika untuk menangani masalah kulit dan keseluruhan pokoknya direbus untuk masalah batuk, sakit kerongkong, artritis, lebam dan beberapa lagi. Pada kurun ke-20 ahli saintis Jerman mengetahui bahawa minyak daripada biji evening primrose boleh diekstrak. Hasil analisis mendapati bahawa minyaknya kaya dengan asid lemak perlu (EFAs), iaitu linoleik (LA) dan asid gamma-linolenik (GLA).

Kandungannya yang kaya dengan GLA ini semakin mendapat perhatian dan kajian tidak terhenti begitu sahaja, malah kini ia dikenali dan digunakan di seluruh dunia.

Keajaiban dan kemujaraban kandungan minyak evening primrose ini mendapat pengiktirafan banyak pihak untuk menyokong kegunaannya ke atas beberapa masalah kesihatan termasuklah sindrom prahaid (PMS), artritis reumatoid, diabetik neuropati (masalah terjejasnya fungsi saraf akibat diabetes), ekzema, kesakitan payudara, alergi, menopos dan beberapa lagi. Ini menjadikan tumbuhan yang berasal dari Amerika Tengah ini semakin berkembang dan lebih dikenali.

Asid-asid lemak perlu (EFA) adalah kumpulan lemak politaktepu yang penting untuk fungsi tubuh. Asid lemak perlu merupakan komponen membran sel dan sel-sel saraf. Ia juga membantu mengekalkan intergriti membran-membran sel yang membenarkan nutrien-nutrien memasuki sel-sel dan penyingkiran bahan buangan. Asid-asid lemak ini juga menyumbang kepada kebendaliran membran sel untuk membolehkan komunikasi antara sel-sel berlaku.

Bagi mereka yang mengalami sesetengah masalah kesihatan seperti diabetes, pengambilannya mungkin lebih diperlukan kerana penukaran linoleic acid kepada GLA menjadi lebih sukar dan perlahan. Ini penting kerana untuk membolehkan ia digunakan sepenuhnya oleh tubuh, ia perlu ditukar kepada GLA.

Selain itu, faktor pemakanan dan gaya hidup juga boleh menjejaskan penukaran ini. Ini merangkumi makanan yang tinggi dengan lemak tepu, makanan proses, kolesterol, gula dan alkohol, stres dan peningkatan usia. Penukaran yang lemah ini boleh mengakibatkan paras prostaglandin yang lebih rendah.

Prostaglandin adalah bahan yang menyerupai hormon yang bertanggungjawab kepada beberapa fungsi tubuh, termasuklah dalam pengawalan tekanan darah, merehatkan salur darah untuk peredaran darah yang lebih baik, mencegah pembekuan darah, menghalang sintesis kolesterol, mengawal tindak balas hormon dalam sistem reproduktif dan juga mengawal paras insulin dan sebagainya.

Pengambilan asid lemak melalui makanan harian adalah perlu memandangkan ia tidak boleh dihasilkan oleh tubuh. Sumber GLA daripada makanan agak terhad dan hanya boleh dijumpai dengan jumlah yang kecil dalam oat dan juga daging organ. Untuk memperolehi sejumlah GLA yang lebih tinggi atas alasan kesihatan tertentu, minyak yang diekstrak daripada biji bunga evening primrose, iaitu dalam bentuk suplemen merupakan alternatif yang lebih mudah dan menyenangkan.

Dengan itu, jika diambil kira faktor-faktor seperti peningkatan usia, faktor kesihatan, pemakanan dan gaya hidup kini, pengambilan minyak evening primrose boleh memberi manfaat kepada wanita sama ada untuk alasan kesihatan mahupun kecantikan secara umum.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

TAMPIL MENGGODA DI MATA SUAMI

BIMBANG suami memandang wanita lain yang lebih cantik jelita, para isteri sanggup berbuat apa saja untuk menarik perhatian suami kepada diri mereka. Ada yang menghabiskan wang beribu ringgit untuk rawatan kecantikan dan juga pelangsingan badan.

Tak kurang juga yang sanggup mengamalkan ilmu-ilmu tertentu termasuklah yang bertentangan dengan agama untuk memastikan dirinya kelihatan cantik dan menggoda di mata suami.

Hakikat sebenarnya bagi memastikan diri tampil menarik dan berahi di pandangan suami, isteri hanya perlu bermodalkan apa yang ada pada tubuh badan mereka saja. Ini cara yang perlu anda lakukan.

Rambut Terurus

Bermulalah daripada bahagian paling atas tubuh. Rapikan rambut walaupun anda duduk di rumah. Jangan biarkan rambut yang panjang kusut dan menggerbang sebaliknya dandanlah rambut agar menawan.

Selain itu rawat rambut agar sihat, berkilat dan halus. Biarkan rambut yang panjang melurut ke bahu. Melihat rambut yang cantik halus dan berbau harum ada kalanya mampu mengundang nafsu suami.

Bibir Merah Menggoda

Bibir mungil sememangnya tarikan mata lelaki. Namun jika anda tidak memiliki bentuk bibir sebegini, ada cara untuk menjadikan bahagian ini sebagai tarikan suami. Oles gincu merah ketika anda mendampinginya, lebih berkesan jika anda mengenakan gincu di hadapannya kerana ia dilihat seksi oleh lelaki.

Pamerkan Kulit

Pamerkan kulit tubuh anda yang bersih dan putih pada suami. Jika anda tidak memilikinya maka belajarlah mengenakan losen. Dalam pada itu ambil kesempatan menyapu losen ini di hadapan suami. Gerakan anda membelai tangan, badan dan kaki sebenarnya cukup erotis buat suami malah lebih erotis dari menonton adegan cumbu-cumbuan dalam filem.

Bayangan Menggiurkan

Bangunkan suami di pagi hari dengan pandangan yang menggiurkan. Pakailah baju tidur yang jarang dari kain yang lembut halus seperti sutera. Biarkan rambut anda mengurai tapi bukannya menggerbang. Melihat tubuh anda sebegini akan membangkitkan nafsu suami.

Tukar Gaya

Jika selalu anda berbaju T dan berkain batik ketika di rumah, apa kata tukar gaya tersebut. Ketika di rumah bersama suami tak salah kalau anda mengenakan sesuatu yang lebih cantik dan seksi untuk tontonannya. Sekali sekala, kenakan skirt pendek atau baju tanpa lengan yang seksi untuk tatapan suami. Perubahan gaya selalunya akan menyemarakkan keinginan suami apatah lagi jika ia dikenakan di malam hari.

Pelihara Organ Intim

Dalam banyak-banyak bahagian tubuh wanita yang dianggap seksi oleh lelaki, organ kewanitaan adalah bahagian yang paling seksi. Oleh itu para isteri disarankan menjaganya dengan baik. Pastikan vagina bersih, tidak berbau dan terhindar dari sebarang penyakit kelamin. Jangan biar suami mengadu apa-apa perkara tentang organ intim ini.

(Sumber Mingguan Wanita)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

KENCING KOTOR BUKAN TANDA SAKIT BUAH PINGGANG (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA telah berkahwin selama enam bulan. Masalah saya disini, saya selalu dijangkiti kencing kotor secara kerap.

Saya telah membuat check up di klinik berdekatan dan beliau memberi saya 3 jenis ubat iaitu painkiller (Diclofenac Sodium 50mg), antibiotik (Ceturoxime 250mg) dan pelawas kencing (Ural Effervescent Granules). Kekerapan jangkitan ini selalu terjadi ketika saya datang bulan. Kitaran datang bulan saya normal dan teratur iaitu 22 hingga 23 hari. Doktor mengdiagnosi melalui simptom loya, sakit di bahagian ari-ari, pinggang dan pundi kencing. Saya tidak mengalami kesakitan ketika membuang air kencing atau air besar cuma kesakitan yang dirasai ketika saya sedang duduk berehat dan sedang aktif seperti berjalan atau berlari. Saya cuma mengalami kencing berdarah pada kali pertama dijangkiti kencing kotor.

Jangkitan berikutnya tidak diikuti dengan darah kecuali sakit seperti yang saya jelaskan tadi.

Doktor yang merawat menasihatkan saya supaya minum air lebih, jangan menahan kencing dan cuci bahagian kemaluan selepas bersama suami. Persoalannya di sini, adakah saya berkemungkinan besar menghidapi masalah buah pinggang dan sekiranya saya mengandung, adakah ubat yang diberi oleh doktor yang merawat saya boleh menjejaskan kandungan saya? 

Lynn
Kajang, Selangor.

JAWAPAN


KEBIASAANNYA, orang ramai mempunyai tanggapan yang salah tentang kencing kotor. Kencing kotor biasanya terjadi akibat jangkitan kuman. Cara yang terbaik untuk mengesahkan anda mendapat jangkitan kuman atau tidak, lakukan pemeriksaan air kencing di makmal. Ia juga boleh mengesan sama ada masalah kencing kotor anda ada kaitan dengan sakit buah pinggang.

Jika ia hanya jangkitan air kencing biasa, ia tidak ada kaitan dengan sakit buah pinggang. Begitu juga sekiranya anda mengandung, kencing kotor dan ubat-ubatannya tidak menjejaskan kandungan melainkan anda disahkan sakit buah pinggang.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PAYUDARA GATAL (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berumur 21 tahun dan belum berkahwin. Saya mengalami masalah kegatalan pada kedua-dua payudara saya iaitu di tempat yang berwarna coklat gelap. Akibatnya ia luka kerana saya kerap menggaru.

Sehelai rambut juga tumbuh dengan aktif pada kawasan itu. Saya mula alami masalah ini sejak tiga tahun lalu, tetapi lepas itu, ia berhenti. Kini masalah itu datang semula dan sudah sebulan saya mengalaminya. Adakah ia petanda sebarang penyakit? Apa yang patut saya lakukan?

Dilema,
Balik Pulau

JAWAPAN

KAWASAN
sekeliling puting payu dara yang berwarna coklat gelap itu dinamakan areolar. Kegatalan mungkin disebabkan oleh keadaan permukaan kulit yang kering, akibat trauma geselan dengan baju dalam, tindak balas lelehan atau peluh daripada kelenjar rerambut yang tumbuh itu atau mungkin penyakit lain. Berjumpalah doktor untuk pemeriksaan fizikal.

Sekiranya didapati tiada punca yang merisaukan, doktor mungkin akan menasihatkan anda untuk menyapu krim berunsur mentega untuk melembapkan kulit areolar serta agar anda bertukar kepada saiz baju dalam yang lebih longgar atau tidak memakai baju dalam apabila di rumah.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

CANTIK DI PERTENGAHAN USIA (SAKIT PUAN)

SOALAN

CADANGAN pengambilan evening primrose di kalangan wanita terutamanya di pertengahan usia dan juga menopaus begitu popular untuk kesihatan kulit. Namun saya tidak begitu memahami manfaatnya. Penerangan mengenainya diharap boleh membantu saya.

JAWAPAN

MINYAK Evening Primrose atau dikenali ramai sebagai EPO merujuk kepada minyak yang diperolehi daripada biji tumbuhan Evening Primrose yang tinggi kandungan asid gama linolenik (GLA) dan tergolong dalam asid lemak omega-6. Pengambilannya popular di kalangan wanita ekoran hasil penyelidikan yang menunjukkan ia banyak memberi kesan positif ke atas masalah berkaitan wanita.

Asid-asid lemak poli tak tepu merupakan komponen penting pada dinding setiap sel kulit seluruh tubuh. Memperolehi asid-asid lemak poli tak tepu yang mencukupi penting untuk menjadikan dinding-dinding sel lebih lembut dan mengurangkan kehilangan air. Kekurangan asid-asid lemak ini dalam diet akan menjurus kepada kulit kering, memandangkan dinding-dinding sel akan menjadi kurang berkesan dalam mengekalkan lembapan serta proses penyembuhan yang lemah.

Sebenarnya pengambilan minyak evening primrose tidak hanya terbatas kepada wanita, tetapi juga lelaki disarankan di atas masalah-masalah tertentu. Penghidap ekzema contohnya seringkali mengalami kulit yang merah, radang, kulit pecah serta merekah dan berdarah. Kawasan lazim yang terjejas termasuklah muka, jari, jari kaki, siku, lutut serta mana-mana bahagian tubuh bagi kes-kes yang ekstrem. Kawasan yang terjejas akan terasa lebih kasar dan kering serta gatal. Bagi kebanyakan penghidap ekzema, kegatalan merupakan simptom paling teruk.

Kajian klinikal ke atas penghidap ekzema atopi menunjukkan bahawa minyak evening primrose boleh memperbaiki kelicinan kulit pada kawasan terjejas serta kawasan yang tidak terjejas.

Asid-asid lemak perlu memainkan peranan penting dalam mengubah keadaan kulit seseorang melalui beberapa cara seperti:

- Ia mewujudkan lapisan berkesan kulit untuk mencegah kehilangan air. Dengan itu peningkatan paras asid-asid lemak politaktepu dalam kulit boleh mengurangkan kehilangan air dan memperbaiki masalah kulit termasuk kelembapan kulit.

- Pengambilan asid lemak politaktepu seperti GLA boleh meningkatkan paras Prostaglandin dan mengurangkan keradangan kulit (Prostaglandin E1 adalah bahan anti radang yang poten yang dihasilkan oleh tubuh apabila asid lemak mencukupi).

Hasil tindakan antiradang akan mengurangkan tompok kemerahan yang gatal pada kulit di kalangan penghidap ekzema. Kajian telah membuktikan perubahan dalam kelicinan kulit di kalangan mereka yang normal dan juga di kalangan mereka yang mempunyai kulit bermasalah.

Untuk masalah berkait kitaran haid, pengambilanya dicadangkan memandangkan asid lemak ini membantu mengawal penghasilan prostaglandin. Ia membantu mengurangkan kesan hipersensitiviti tisu-tisu tubuh terhadap paras prolaktin yang normal (sejenis hormon dalam tubuh wanita). Selain itu, penghidap artritis reumatoid juga memperolehi manfaat dengan pengambilan asid lemak perlu, terutamanya yang menggabungkan omega-3 dan omega-6.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

18 BULAN PALING SESUAI (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA bersalin secara pembedahan pada April lalu dan bayi sulung saya itu kini berusia lapan bulan.

Bilakah waktu yang sesuai untuk saya hamil anak kedua? Saya ingin tahu tempoh paling minimum yang membolehkan saya untuk hamil semula.

Ju
Putrajaya

JAWAPAN


RAWATAN perubatan sepatutnya mengambil kira faktor individu terbabit walaupun secara lazimnya ia berpandukan kepada beberapa perkara asas.

Selain tempoh jarak kelahiran terdahulu dengan kehamilan akan datang, usia wanita, komplikasi kelahiran terdahulu yang memungkinkan parut pembedahan pada rahim kurang tegar, masalah sewaktu kehamilan terdahulu dan seumpamanya juga memainkan peranan penting.

Anda seeloknya mendapatkan maklumat mengenai beberapa perkara berkaitan pembedahan kelahiran terdahulu:

- Jenis pembedahan sama ada ‘segmen bawah’ (LSCS) ataupun ‘segmen atas’ (klasik).

- Komplikasi sewaktu mengeluarkan bayi sehingga terpaksa membuat belahan jenis ‘T terbalik’.

- Komplikasi jangkitan kuman pada rahim (endometritis) yang menjadikan parut lemah dan mudah merekah atau koyak. Sekiranya ada mengalami pendarahan nifas berpanjangan, berbau atau mengalami demam sewaktu berpantang, anda mungkin mengalami komplikasi ini.

Tujuan menjarakkan kelahiran selepas pembedahan adalah untuk mengurangkan risiko rahim koyak atau pecah sewaktu kelahiran akan datang, malah ia juga boleh berlaku sebelumnya iaitu sewaktu kehamilan lagi.

Selain itu, tempoh yang dijarakkan ini membolehkan kesihatan ibu pulih semula dan paras hemoglobinnya menjadi optimum.

Secara amnya, tempoh sekurang-kurangnya 18 bulan disarankan sebelum seseorang itu hamil semula.

Malah, ada doktor yang menasihatkan tempoh dua hingga tiga tahun sebagai langkah keselamatan. Tempoh kurang daripada 12 bulan, lebih-lebih lagi kurang daripada enam bulan dikaitkan dengan peningkatan risiko dinding rahim merekah atau pecah sewaktu kehamilan atau proses bersalin kelak.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BAYI TOLAK SUSU BADAN (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA ibu kepada seorang bayi lelaki berusia empat setengah bulan. Saya bersalin melalui kaedah Caesarean dan selepas melahirkan anak, hanya mampu menyusukan bayi selama sebulan.

Keadaan ini agak mengecewakan kerana saya berazam untuk menyusukan anak melalui susu badan. Masalahnya bayi saya menolak untuk diberikan susu badan kerana lebih selesa menyusu botol. Mungkin ketika itu air susu badan saya agak berkurangan.

Adakah sebarang alternatif untuk mengaktifkan kembali air susu badan? Bagaimana memujuk bayi saya supaya dapat menerima susu badan walaupun dia sudah biasa menyusu susu botol?

Ibu Resah,
Kuching, Sarawak

JAWAPAN

MEMBINCANGKAN persoalan anda sama seperti wanita yang ingin menyusukan bayi angkat. Untuk menghasilkan susu badan, ia memerlukan semangat dan kerajinan kerana hasilnya tidak kelihatan dalam sekelip mata.

Faktor utama adalah rangsangan manual terhadap puting payudara kerana ia membantu menghasilkan hormon oksitosin yang akan memancutkan susu dari payudara.

Terdapat ubat yang dikatakan dapat membantu menghasilkan susu di dalam payudara walaupun sebenarnya ia hanyalah satu daripada kesan sampingan ubat terbabit iaitu ubat itu dihasilkan atau dipasarkan bukan untuk kegunaan menghasilkan susu badan.

Anda boleh pergi mendapatkan nasihat daripada kumpulan penyusuan badan yang lazimnya terdiri daripada jururawat dan doktor sesuatu hospital yang ditauliahkan sebagai hospital rakan bayi.

Bayi anda mungkin mengambil masa untuk menyesuaikan semula dengan puting payudara berbanding puting tiruan yang lebih mudah. Kesabaran dan ketekunan sangat penting dalam perkara ini.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

TIDAK PERNAH DATANG HAID (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA tidak pernah didatangi haid sehingga umur saya kini 26 tahun dan bakal berkahwin. Saya mempunyai berat 40 kilogram dan tinggi 156 sentimeter.

Pada 2000, saya membuat pemeriksaan di hospital kerajaan. Difahamkan, doktor tidak dapat melihat ovari saya. Doktor itu menggunakan kaedah ultrabunyi, begitu juga pada laluan permukaan di bawah, ia tidak kelihatan.

Pada April 2008, saya didatangi haid tapi saya tidak pasti itu darah haid atau tidak. Darah itu berwarna kecoklatan yang datang untuk dua atau tiga hari saja.

Selepas itu, darah itu tidak muncul hingga kini. Adakah saya mengalami sebarang masalah pada saluran peranakan? Jika saluran peranakan tersumbat dan melakukan pembedahan, adakah saya boleh hamil?

Nora,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

SAYA jangkakan anda sebenarnya mempunyai ovari dan kedua-duanya berfungsi mengeluarkan hormon kewanitaan. Ovari tidak mudah kelihatan secara ultrabunyi melalui kulit abdomen, lebih-lebih lagi jika pada waktu itu pundi kencing tidak penuh.

Saya masih kurang jelas apa yang anda maksudkan dengan ultrabunyi melalui laluan permukaan di bawah, sangat jarang doktor melakukan ultrabunyi trans-vaginal (melalui faraj) ke atas gadis kerana ia boleh memberi trauma kepada selaput daranya.

Mungkin apa yang dilakukan doktor adalah ultrabunyi melalui dubur (trans-rektal) ataupun penghujung alat terbabit hanya menyentuh bibir kemaluan berhampiran bukaan faraj sahaja.

Ovari mengeluarkan hormon estrogen yang memberikan kita penampilan kewanitaan sama ada ciri-ciri fizikal, seksual dan perawakan. Tetapi untuk mendatangkan haid, kita memerlukan rahim (uterus atau kadangkala disebut sebagai peranakan).

Rahim adalah satu organ wanita yang terletak di bahagian tengah tubuh di belakang pundi kencing. Pada lapisan dinding rahim yang terdalam ini terbentuknya tisu haid (endometrium). Jika tidak berlaku kehamilan pada kitaran haid terbabit, tisu endometrium ini akan gugur dan menuruni pintu rahim ke dalam faraj sebelum keluar sebagai haid.

Sekiranya pendarahan pada 2008 itu adalah haid, ia mengubah keseluruhan perbincangan mengenai tatacara perawatan masalah anda ini. Tetapi jika sebenarnya episod pendarahan itu bukanlah haid dan anda sememangnya tidak pernah didatangi haid, anda mengalami masalah yang dinamakan amenorea primer di mana terdapat satu siri berlainan mengenai penyebabnya.

Menerusi amenorea primer, perkara pertama yang perlu dipastikan – adakah anda mempunyai rahim atau peranakan?

Memandangkan usia anda kini sudah pun 26 tahun, saya tidak menjangkakan anda mempunyai masalah penyumbatan laluan haid (iaitu faraj), ia lebih lazim dikesan dalam bulan awal gadis sepatutnya didatangi haid (awal belasan tahun).

Telahan saya, anda mungkin mempunyai masalah rahim sama ada ketiadaan rahim ataupun rahim terlalu kecil, keadaan ini dinamakan ‘Mullerian dysgenesis’.

Berjumpalah doktor pakar sakit puan untuk pemeriksaan dan kepastian, seeloknya biarlah sebelum berkahwin.

Sekiranya pemeriksaan fizikal mengesahkan anda mempunyai ciri-ciri seksual sekunder seorang wanita normal, besar kemungkinan anda membawa genetik perempuan dan mempunyai ovari.

Kemudian, penilaian selanjutnya adalah secara ultrabunyi pelvis melalui kulit abdomen untuk melihat sama ada anda mempunyai rahim ataupun tidak. Berpandukan kepada pundi kencing (seeloknya penuh), lokasi rahim adalah di belakang pundi kencing. Pada masa sama, keadaan ovari juga turut diperiksa, ovari anda saya jangkakan sebenarnya normal.

Sekiranya rahim anda tidak kelihatan melalui imbasan ultrabunyi, anda mungkin diminta menjalani ujian lanjutan untuk pengesahan secara imbasan MRI serta jika perlu, ujian lain bagi menilai keadaan organ lain yang berkaitan misalnya sistem pembuangan air kencing (buah pinggang dan saluran ureter) , imbasan jantung dan pemeriksaan pendengaran.

Anda juga mungkin akan dinasihatkan menjalani pembedahan diagnostik secara laparoskopi untuk melihat secara terus keadan rahim (jika ada) dan juga organ peranakan yang lain.

Kadangkala, rahim sebenarnya ada tetapi pembentukannya terencat iaitu sangat kecil. Ini mungkin boleh dibantu dengan ubat pil yang mengandungi hormon estrogen dan progestin untuk merangsang endometrium untuk membesarkan saiznya dan membolehkannya didatangi haid walaupun sedikit pada permulaannya.

Selain itu, jika rahim ada, anda mempunyai peluang untuk hamil (walaupun kecil).

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

INGIN TAHU KESAN MANJAKANI (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA keguguran anak kedua dalam masa dua minggu di dalam rahim dan doktor menyarankan supaya melakukan cucian perut bagi membersihkan rahim yang mengalami pendarahan lebih seminggu.

Saya juga tidak mendapatkan urutan tradisional kampung selepas anak pertama saya dilahirkan. Selepas itu, saya tidak mengambil sebarang ubat perancang keluarga tapi saya cuma memakan buah manjakani selama sebulan selepas mengalami keguguran.

Kini saya merancang untuk anak ketiga. Adakah tindakan saya memakan buah majakani menyebabkan saya tidak mengandung?

Mungkinkah ia disebabkan cucian perut oleh doktor terbabit? Saya ingin meminta nasihat doktor untuk saya merancang zuriat berikutnya.

ASNAH
Shah Alam, Selangor

JAWAPAN

SAYA tidak dapat memberi komen mengenai kesan sampingan manjakani (quercus infectoria) kerana tidak dibuat perbandingan kesahihannya secara ujian statistik saintifik, tetapi hanya secara perbandingan umum atau pemerhatian.

Prosedur ‘cucian perut’ yang anda maksudkan pula adalah prosedur ‘suction & curettage’ ke atas permukaan dalaman rahim yang disyaki masih mengandungi sisa kandungan yang masih melekat.

Seeloknya semua hasil ‘cuci’ ini dihantar untuk pengesahan makmal, bukan sahaja untuk mengesahkan terdapat sisa kandungan, tetapi untuk memastikan tidak terkandung tisu dinding otot rahim kerana ia boleh membawa erti kemungkinan komplikasi jangka panjang yang membabitkan kesuburan.

Prosedur itu jarang menyebabkan gangguan kesuburan kecuali jika anda mengalami jangkitan rahim (endometritis) ataupun hakisan otot rahim (sindrom Asherman).

Anda pernah hamil dua kali, berkemungkinan anda masih belum mempunyai masalah kesuburan. Jika ada pun, peluang anda berjaya hamil dengan rawatan kesuburan lebih tinggi berbanding wanita yang belum pernah hamil.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

HAID TIDAK TERATUR SEJAK DARA (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 28 tahun dan baru mendirikan rumah tangga pada Jun 2010. Ketinggian saya ialah 160 sentimeter dengan berat 70 kilogram.

Saya teringin menimang cahaya mata secepat mungkin, tetapi mempunyai masalah haid tidak teratur sejak anak dara lagi. Pada mulanya haid teratur, tetapi setelah berjumpa doktor pakar untuk masalah jerawat pada muka dua tahun lalu, haid saya tidak teratur.

Saya mungkin mengambil ubat yang agak kuat menyebabkan tidak boleh hamil ketika pengambilan ubat jerawat itu.

Kemudian, saya berjumpa pakar sakit puan untuk mengatasi masalah haid. Hampir setengah tahun membuat susulan sehingga April 2010 dan haid saya kembali seperti biasa seperti sebelum berkahwin.

Bagaimanapun, apabila berkahwin, haid saya tidak teratur semula. Saya datang haid pada Jun, Julai kemudian September dan terkini pada 20 Disember lalu.

Adakah ubat untuk mengawal jerawat menjadi punca haid tidak teratur? Adakah saya berpeluang untuk hamil secara semula jadi atau perlu pengambilan ubat kesuburan?

Shim,
Shah Alam, Selangor.

JAWAPAN

SAYA  keliru dengan kenyataan anda sama ada mengalami haid tidak teratur sejak penggunaan ubat jerawat dua tahun lalu pada usia 26 tahun atau lama sebelum itu.

Anda tidak menyatakan tempoh penggunaan ubat jerawat terbabit. Saya andaikan ubat ini mungkin mengandungi bahan isotretinoin atau asid retinoik yang boleh menyebabkan kecacatan janin jika hamil dalam waktu berkenaan.

Apabila berjumpa pakar sakit puan, anda tentu sudah diberi penjelasan mengenai penyebab haid tidak teratur pada diri anda. Lazimnya ia disebabkan gangguan pengeluaran telur, sama ada jarang-jarang (oligo-ovulasi) atau tiada langsung (anovulasi).

Pada masa sama, doktor akan membuat pemeriksaan atau ujian pengecualian terhadap penyakit lain yang juga boleh menyebabkan gangguan haid contohnya hormon tiroid dan prolaktin.

Saya jangkakan mungkin penyakit anda ada kaitan dengan sindrom tertentu yang menyebabkan:

- Gangguan haid akibat gangguan pengeluaran telur

- Berlebihan hormon kelelakian (jerawat, kulit kasar dan berminyak serta rerambut tubuh berlebihan)

- Berlebihan berat badan (berat yang sesuai untuk ketinggian anda adalah di antara 49 hingga 63.7 kilogram)

Ubat mendatangkan haid lazimnya hanya bertindak pada lapisan endometrium sahaja, sama ada menebalkannya dahulu (menggunakan bahan estrogenik) atau mematangkannya (menggunakan bahan progestin).

Penyiasatan lanjut ke atas keupayaan ovari anda untuk menghasilkan telur matang serta ovulasi boleh dilakukan.

Jika ada, peluang anda hamil semula jadi memang ada, tetapi jika tiada, anda mungkin memerlukan rawatan kesuburan. Bahan isotretinoin atau asid retinoik juga boleh menyebabkan gangguan haid, tetapi dijangka pulih dalam masa tiga hingga enam bulan penggunaannya dihentikan.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

HAID DATANG SEMULA PADA USIA 64 TAHUN (SAKIT PUAN)

SOALAN

IBU saya kini berusia 64 tahun dan baru-baru ini ada memberitahu dia didatangi haid semula.

Sebenarnya haid ibu saya sudah berhenti semasa usianya 43 tahun.

Saya tidak pasti sama ada darah yang keluar itu adalah darah haid atau sebaliknya.

Adakah saya perlu membawa ibu untuk mendapatkan rawatan doktor pakar?

Ingin Tahu,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

SAYA nasihatkan anda segera membawa ibu anda berjumpa pakar sakit puan.

Sekiranya terdapat pakar sakit puan gine-onkologi (dengan kepakaran tambahan dalam bidang kanser sakit puan), pilihan ini lebih baik.

Secara semula jadi, putus haid (menopaus) dialami oleh wanita berusia di antara 45 hingga 55 tahun, kebanyakannya mengalaminya pada usia 50 hingga 51 tahun.

Doktor pakar akan memastikan tiada masalah pada faraj, pintu rahim (serviks) dan rahim ibu anda.

Di samping itu, kedua-dua ovarinya juga akan diperiksa walaupun pada usia begini, saiz ovari menjadi kecil dan menyebabkan ia mungkin sukar dikesan menggunakan pemeriksaan fizikal mahupun ultrabunyi.

Kesempatan ini juga boleh digunakan untuk ibu anda menjalani pemeriksaan kesihatan am.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

BAHAYA SEKS USIA MUDA (SAKIT PUAN)

SEDARKAH anda dalam tempoh sesingkat empat minit nyawa seseorang wanita di rantau Asia Pasifik melayang? Semuanya bahana kanser pangkal rahim yang meragut sejumlah 500,000 nyawa di seluruh dunia setiap tahun. Dalam konteks Asia, sekurang-kurangnya 266,000 disahkan menghidap kanser ini setiap tahun dengan 143,000 kematian. Di negara-negara membangun, hanya 41 peratus daripada wanita berpeluang mendapatkan rawatan seandainya mereka ingin terus hidup. Realitinya pakar-pakar perubatan juga tidak seratus-peratusnya pasti terhadap punca sesuatu penyakit. Keadaan itu merupakan kenyataan yang memeritkan.

Di Malaysia, 10.5 peratus wanita meninggal dunia akibat kanser ini dan 80 peratus pesakit dikesan pada tahap akhir.

Kebanyakan kes kanser pangkal rahim disebabkan sejenis virus yang dikenali sebagai Human Papilloma Virus (HPV). Ia disebarkan melalui hubungan seks. Virus itu akan menyerang sel-sel pada rahim sebelum menyebabkan perubahan pada sel-sel selular dan menjadi berbahaya.

HPV ialah satu kumpulan virus yang terdiri daripada lebih 100 virus saling berhubung kait. Ia juga dipanggil papillomaviruses kerana sesetengah daripada jenis virus itu boleh mengakibatkan ketumbuhan atau papiloma yang tidak berbahaya. Misalnya, virus yang menyebabkan kutil biasa di tangan dan kaki.

Namun, ia akan menjadi berbahaya apabila ketumbuhan berlaku di bahagian tengkorak atau genital (organ pembiakan).

Sekiranya dirawat jangkitan HPV akan hilang begitu sahaja tanpa meninggalkan kesan penyakit yang berisiko meragut nyawa.

Tetapi pendedahan lama tanpa merujuk kepada doktor akan menyebabkan perubahan dalam sel. Inilah yang meningkatkan risiko wanita terdedah kepada kanser pangkal rahim.

Menjelaskan tentang kanser pangkal rahim, Pakar Runding Obstetrisian dan Ginekologi Pusat Perubatan Pakar Pantai Klang, Selangor, Dr. S. Jeevaretanam berkata, mereka yang sering bertukar pasangan seks berisiko dijangkiti HPV.

Selain itu, mereka yang melakukan hubungan seks seawal usia 16 tahun turut berisiko.

"Wanita yang mempunyai tabiat merokok, melakukan hubungan seks dengan lelaki yang sering bertukar pasangan, penggunaan kontraseptif oral dalam jangka masa yang lama dan obesiti antara berisiko dijangkiti HPV. Bagaimanapun, terdapat vaksin untuk mencegah jangkitan virus tersebut yang sekali gus mencegah serangan kanser pangkal rahim.

Ia juga dapat mencegah lebih daripada 70 peratus jangkitan virus dan kanser itu," tambahnya.

Dalam pada itu, timbul juga isu sama ada pemberian vaksin HPV secara percuma untuk pelajar berumur 13 tahun menggalakkan seks usia muda.

Kementerian Kesihatan dan badan bukan kerajaan berusaha memberi kesedaran kepada rakyat tentang kanser ini.

Vaksin HPV sebenarnya mampu bertahan sekurang-kurangnya 20 tahun sebagai pencegahan awal.

Selain mengambil vaksin yang sesuai untuk mencegah jangkitan virus HPV, pemeriksaan Pap Smear juga digalakkan supaya langkah pencegahan diambil lebih awal. Dr. S. Jeevaretanam menjelaskan, pemeriksaan Pap Smear adalah kaedah mudah melihat sebarang perubahan pada sel-sel dalam pangkal rahim.

"Semua wanita digalakkan melakukan ujian Pap Smear diikuti pemeriksaan pelvik. Ujian tersebut perlu dibuat dalam tempoh masa tiga tahun setelah mempunyai hubungan seksual ataupun sudah pun berusia 21 tahun.

Ujian seperti itu merupakan perlindungan terbaik bagi menghalang wujudnya virus yang mengakibatkan kanser untuk jangka masa panjang," tambahnya.

(Sumber Utusan Malaysia)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

RISAU DARAH KELUAR BERKETUL-KETUL (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 23 tahun dan sudah berkahwin. Saya datang haid ketika berumur 10 tahun lagi.

Masalah saya kini haid berpanjangan, kadang-kadang sampai sebulan. Saya memang risau kerana haid saya juga berketul-ketul.

Sudah banyak kali saya berjumpa doktor, tetapi tidak tahu masalah saya. Saya berharap doktor dapat memberi pandangan.

Eja,
Kuantan, Pahang.

JAWAPAN

SAYA cadangkan anda berjumpa pakar sakit puan berhampiran untuk:

- Menjalani pemeriksaan fizikal, pemeriksaan menggunakan spekulum ke dalam faraj, ultrabunyi pelvis ke atas rahim dan ovari serta ujian darah hormon.

- Menilai lebih lanjut ke atas kemungkinan masalah di dalam rahim atau endometrium misalnya polip, hyperplasia dan seumpamanya. Ia lebih mudah dikesan menggunakan teknik ultrabunyi trans-vaginal.

- Mengetahui tahap pendarahan ke atas paras hemoglobin darah anda serta kesan (jika sudah berlaku anemia atau kekurangan darah).

- Diberikan rawatan ubat-ubatan bagi menghentikan pendarahan sementara menunggu hasil ujian dan rawatan sebenar. Jika perlu, anda mungkin diminta menjalani persampelan tisu endometrium secara biopsi ataupun DD&C.

- Mengetahui kesan lain yang berkait dengan penyakit anda misalnya pembesaran dan pengeluaran telur.

- Ujian Pap smear juga akan dilakukan (memandangkan anda sudah memulakan hubungan seks) walaupun ia mungkin tiada kaitan dengan masalah pendarahan anda.

Sewaktu ujian ini, doktor juga akan melihat permukaan faraj sehingga penghujung atasnya dan permukaan pintu rahim.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

PULIHKAN NAFSU SECARA SEMULAJADI

NAFSU SEKS BAIK SUAMI MAHU PUN ISTERI ADA PASANG SURUTNYA. ADA MASANYA GHAIRAH BERGELORA HINGGA TIDAK DAPAT DITAHAN-TAHAN LAGI DAN ADA KETIKANYA LANGSUNG TIDAK BERNAFSU WALAU PUN SUDAH DIGODA BERIA-IA OLEH PASANGAN.

Namun sekiranya nafsu seks berpanjangan merudum maka sudah masanya untuk bertemu doktor untuk mengetahui sebab dan cara rawatannya. Pun begitu untuk mengakui punya masalah seks bukan sesuatu yang mudah.

Ramai yang sanggup memendamkannya daripada bertemu doktor kerana masih gusar dan dibayangi perasaan malu. Bagi anda yang termasuk golongan ini sebagai langkah permulaan anda mungkin boleh mencuba dulu cara semula jadi di bawah ini untuk mengatasi masalah nafsu yang semakin menghilang entah ke mana.

1. Kembalikan keyakinan diri

Tidak ada yang dapat menurunkan hasrat seksual seseorang selain rasa rendah diri. Oleh itu cubalah untuk mendapatkan kembali keyakinan diri. Manjakan diri ketika anda berasa tidak yakin ataupun sisihkan waktu untuk bersantai atau melakukan aktiviti yang dapat membuatkan anda berasa lebih baik.

2. Urutan

Teknik urutan dapat dilakukan untuk meningkatkan rangsangan seksual terutama jika anda sedang stres, runsing atau marah. Sediakan bilik dengan suasana yang romantik, muzik yang lembut dan mulakan mengurut pasangan. Setelah siap mintalah pasangan mengurut anda pula.

3. Makan dengan betul

Jika tubuh lemah akibat tahap kesihatan yang buruk, tidak mustahil hubungan seksual juga akan terkena tempiasnya. Bukan saja masalah nafsu makin menurun tapi anda juga mungkin menghadapi masalah yang berkaitan dengan organ seksual anda. Bagi mengelakkan masalah ini dari berlaku amalkan pemakanan yang sihat. Makanlah lima sehingga sembilan jenis buah-buahan dan sayuran sehari untuk menjaga kesihatan. Vitamin dan antioksidan yang terkandung pada makanan akan membantu menjaga aliran darah pada organ seksual dan mencegah penyakit kronik tertentu.

4. Kurangi berat badan

Memiliki berat badan yang berlebihan mampu mempengaruhi kualiti kehidupan intim. Obesiti dapat menimbulkan penyakit pembuluh darah yang mengurangi aliran darah ke organ genital. Akibatnya ereksi sukar terjadi.

5. Senaman

Senaman teratur akan membantu meningkatkan aliran darah ke organ seksual. Selain itu, ia juga dapat membantu anda merasa lebih yakin pada diri sendiri. Sesuatu yang dapat meningkatkan keyakinan diri akan meningkatkan nafsu seks.

6. Berhenti merokok

Jika anda memang seorang perokok, fikirkanlah akan kemungkinan anda menghadapi masalah seks. Memang telah lama dikenal pasti bahawa rokok memiliki pengaruh yang buruk terhadap aliran darah ke organ seksual. Ia mampu menyebabkan penyempitan pembuluh darah di bahagian sulit. Di samping itu merokok juga melemahkan stamina baik untuk melakukan kegiatan harian mahupun aktiviti seks.

7. Hilangkan stres

Salah satu punca nafsu semakin menghilang adalah kerana stres. Tekanan di tempat kerja, masalah dengan pasangan ataupun anak-anak menyebabkan otak penat hingga tiada lagi memikirkan tentang aspek seks. Oleh itu belajarlah menguruskan stres jika tidak mahu kehidupan seks anda terus merudum.

Herba Berguna Untuk Tenaga Batin

• Ginko biloba

Herba yang memiliki khasiat penyembuhan ini berasal dari daun-daun tumbuhan ginko biloba. Ia dikatakan dapat memperbaiki aliran darah ke otak dan organ seksual. Ginko biloba juga diyakini memiliki kesan meningkatkan hasrat, kesenangan seksual dan orgasma.

• Yohimbine


Ia mungkin agak asing bagi masyarakat kita namun Yohimbine telah lama digunakan di Afrika sebagai ubat perangsang nafsu berahi dan sering di sebut Viagra semula jadi. Yohimbine diyakini dapat memperbaiki impotensi pada lelaki walaupun percubaan secara klinikal belum lagi terbukti.

• Tongkat Ali

Sejak berzaman masyarakat Melayu mengaitkan herba ini dengan keperkasaan lelaki. Justeru tidak hairanlah banyak minuman dan juga ubat tradisi bagi memulihkan tenaga batin yang menggunakan herba ini. Tak salah juga jika anda mahu mencubanya.

(Sumber Mingguan Wanita)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme

INGIN TAHU PROSES LAKUKAN IVF (SAKIT PUAN)

SOALAN

SAYA berusia 31 tahun dan pada Oktober 2010, saya menjalani laparoskopi kerana mengandung luar rahim.

Doktor sudah membuang tiub fallopio di sebelah kiri, sebelum itu saya sudah menjalani HSG dan doktor mengesahkan tiup fallopio sebelah kanan saya tersumbat.

Jalan terakhir untuk saya mendapatkan zuriat adalah dengan melakukan rawatan tabung uji (IVF). Bolehkah doktor terangkan proses yang harus saya lalui jika ingin melakukan IVF? Berapakah kos untuk melakukan IVF?

Shima,
Kuala Lumpur.

JAWAPAN

GABUNGAN penilaian sewaktu pembedahan laparoskopi dan maklumat HSG terdahulu dapat memberikan maklumat ke atas beberapa perkara berikut:

- Punca anda mengalami kehamilan ektopik contohnya endometriosis dan PID melalui pengamatan ke atas seluruh kandungan ruang pelvis anda.

- Keadaan tiub fallopio kanan anda sewaktu pembedahan laparoskopi.

- Prosedur 'salpingotomy' (jika ada dilakukan) bagi membuka tiub fallopio kanan yang dikatakan tersumbat.

- Rawatan perubatan susulan pembedahan terbabit.

IVF adalah proses rumit yang lazimnya hanya dilakukan oleh pakar sakit puan yang setelah itu menjalani latihan lanjut dalam bidang IVF.

Secara amnya terdapat tiga protokol rawatan IVF yang berbeza mengikut jenis ubat dan tempoh rawatan. Ia membabitkan beberapa proses:

1. Merangsang pembesaran sekumpulan telur di dalam ovari kanan dan kiri (lazimnya menggunakan sejenis suntikan yang diambil setiap hari sebelum ditambah suntikan kedua sehingga pada hari terakhir suntikan di mana suntikan ketiga akan diberi).

Pemantauan berterusan amat penting (termasuk pemerhatian anda terhadap perubahan yang dirasai) untuk mengelakkan komplikasi terlebih rangsangan, ini dinamakan sindrom hiper-stimulasi ovari atau OHSS.

2. 'Menyedut' kantung telur berpandukan imbasan ultrabunyi faraj (lazimnya menggunakan pembiusan atau ubat tidur). Anda lazimnya dibenarkan pulang pada hari yang sama tetapi diberikan cuti rehat.

3. Suami mengeluarkan air mani pada hari terbabit.

4. Di makmal IVF - sperma dan telur akan dieramkan bersama di dalam bahan cecair khas dan inkubator. Keesokannya pakar embriologi akan menilai sama ada sudah berlaku persenyawaan membentuk embrio.

5. Embrio yang terbentuk akan dieramkan untuk beberapa hari lagi. Anda juga diberikan ubat tertentu untuk membantu persediaan rahim menerima embrio kelak.

6. Embrio kemudiannya akan dimasukkan ke dalam rahim anda menggunakan bantuan imbasan ultrabunyi. Tidak perlu berpuasa dan anda boleh pulang ke rumah pada hari yang sama.

7. Ujian darah pengesahan kehamilan akan diaturkan pada kira-kira dua minggu selepas prosedur 'menyedut' telur.

Kos IVF adalah mahal, kebanyakannya sekitar RM12,000 hingga RM16,000 mengikut usia anda (keperluan dos ubat sederhana sahaja).

Sekiranya layak, anda boleh memohon bantuan Yayasan Fertiliti Tunku Azizah (TAFF) yang menanggung kos IVF di pusat IVF terpilih. Peluang kejayaan sekali rawatan adalah sekitar 25 hingga 35 peratus, bagaimanapun ia bergantung kepada penyakit yang anda alami.

(Sumber Harian Metro)

Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme