SOALAN
SAYA mengalami alahan yang sangat teruk sepanjang trimester pertama kehamilan. Benarkah terdapat ubat yang mampu mengatasi masalah ini? Jika ada, adakah ubat ini akan memberi kesan terhadap kandungan?
JAWAPAN
KEBIASAANNYA, wanita mengandung akan mengalami alahan dalam trimester pertama. Punca sebenar alahan sebenarnya masih kurang jelas. Kebanyakan penyelidik percaya yang alahan wanita mengandung disebabkan oleh perubahan fizikal dan aras hormon kehamilan yang dikenali sebagai 'human chorionic gonadotrophin' yang meningkat. Apabila usia kandungan mencecah trimester kedua, alahan akan beransur-ansur hilang kerana aras hormon tersebut akan berkurangan selepas trimester pertama. Bagaimanapun, ada sesetengah individu akan mengalami alahan yang berlanjutan sehingga bersalin.
Tiada ubat spesifik yang perlu diambil bagi mengatasi masalah alahan ini. Secara amnya doktor akan memberikan nasihat bagi mengurangkan simptom alahan dengan mengamalkan pemakanan yang kerap atau mengambil hidangan dalam kuantiti yang kecil supaya perut tidak kosong (contoh: setiap dua jam) walaupun anda tidak lapar. Makan apa sahaja yang anda mahu tapi elakkan dari mengambil makanan pedas, berlemak dan bergoreng. Jika tidak tahan dengan bau yang kuat ketika memasak, buka tingkap dan kipas dan mengelakkan dari mengambil kafein.
Semasa peringkat ini juga seseorang wanita perlu minum air dengan kerap sehingga 10 hingga 12 cawan sehari. Bagi rutin harian pula, anda hendaklah berehat secukupnya. Pada kebiasaannya, pengambilan vitamin mengandung tidak diberikan secara rutin pada peringkat ini kerana ia mungkin menyebabkan alahan bertambah teruk.
Selain dari mengamalkan panduan di atas, kebiasaannya doktor akan memberikan ubat tahan muntah (anti-emetik) jika perlu. Anda perlu dimasukkan ke wad jika alahan tersebut teruk dan mengalami simptom dehidrasi (kekurangan air dalam badan). Simptom dehidrasi adalah pening-pening, dahaga dan pengeluaran air kencing yang sedikit daripada biasa. Jika anda mengalami simptom-simptom ini, anda memerlukan rawatan dengan segera.
(Sumber Utusan Malaysia)
Dapatkan produk kesihatan untuk suami isteri di http://www.blogbioasli.com/dikme
Tiada ulasan:
Catat Ulasan